Razzi Armansur

Akhirnya ada 2 yang di atas

Razzi Armansur menulis: Malam tadi, 14 Jun 2008, bersama anak saya, menonton atau menyaksikan pertandingan pancaragam sekolah di Dataran Merdeka. Setiap tahun pasti meyaksikan. Setiap tahun juga pasti sekolah anak saya SMK Taman Tun Dr Ismail akan memenangi zon Bangsar dan negeri dalam kategori kawad berirama, Kadet Remaja Sekolah.

Tahun ini format diubah. Pertandingan antara zon kawad berirama dibuat berasingan, lebih awal, pada bulan April di PULAPOL.

Dalam menyaksikan pertandingan pancaragam begitu teringat semasa tingkatan lima Sekolah Menengah di SMK Telok Datok, Banting. Begitulah nakal dan riuhnya. Lebih kurang sama. Hanya mengulang sejarah.

Malam tadi juga mengingatkan kepada dua teori. Teori pertama ciptaan Al-Ries & Jack Trout. Teori kedua ciptaan saya sendiri untuk dimasukkan ke dalam buku saya dalam masa terdekat ini. Tolong jangan cilok. Gunakan ia tetapi jangan cilok.

Setiap tahun pertandingan pancaragam sekolah zon Bangsar akan hanya dimenangi oleh sama ada SMK Victoria atau SMK St. John. Setiap tahun sejak bertahun lalu.

Dalam pemasaran dan branding, kata Al-Ries dan Jack Trout, akan hanya ada 2 jenama di atas dengan jenama ketiga berpeluang menjadi yang pertama atau kedua. Akhirnya hanya ada 2 yang di atas, SMK Victoria dan SMK St John. Namun jangan lupa, SMK yang selalu mendapat tempat ke 3 seperti SMK Quan Cheng, SMK Chong Hwa berpeluang untuk menjadi nombor 1 atau 2. Jadi, buat masa ini apabila disebut band sekolah di Kuala Lumpur, hanya ada 2 pancaragam sekolah yang akan terpancar di dalam fikiran iaitu SMK Victoria atau SMK St John. Bagaimana pula dengan muka-muka baru seperti SMK Convent Bukit Nenas dan SMK Jinjang? Mereka perlu mencipta kategori sendiri supaya No. 1 dalam kategori tersebut.

Coca-cola dan Pepsi-cola, bagaimana yang ketiga? RC Cola? Kemudian ada Celcom dan Maxis, bagaimana pula dengan Digi? Ada Starbuck dan Coffee Bean. Bagaimana dengan San Francisco Cafe? Ada Nokia dengan Sony Ericsson, bagaimana dengan Motorola? Nikon dengan Canon. Akhirnya ada 2 jenama yang disebut di atas. Bagaimana hendak menjadi dua yang teratas itu? Bagaimana cara mencipta kategori supaya menjadi nombor satu dalam kategori. Bagaimana branding supaya bila disebut sahaja akan terpancar di fikiran? Mudah saja, datanglah ke seminar saya.

Ini pula teori saya sendiri dan sedang diuji kebenarannya. “Suasana menentukan tingkah laku.” Melihat perlakuan murid-murid sekolah Victoria dan St John, makin sah teori tersebut. Murid-murid sekolah tersebut yang berada di sekeliling padang meyokong sahabat mereka yang sedang bertanding kelihatan begitu tinggi tahap keyakinan mereka. Self-Confidence mereka begitu tinggi sekali. Ini dapat dilihat dari wajah dan gerak laku mereka. Mengapa? Bagaimana ia boleh terjadi? Ini kerana mereka mewakili kemenangan. Sekolah mereka sudah pasti akan menang, tanpa perlu ragu-ragu lagi.

Bagaimana dengan suasana? Dikatakan suasana sekolah mereka yang selalu dianggap sekolah elit dan kerap menghasilkan pelajar cemerlang menjadikan murid-murid dari sekolah tersebut mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Mereka berada di dalam suasana kemenangan, menjdaikan tahap keyakinan mereka begitu tinggi.

Pernahkah anda memasuki hotel besar dengan berselipar? Pernahkah anda membuang sampah sesuka hati di KFC atau McDonald? Pernahkah anda melihat pasar malam yang bersih dan kemas? Pernahkah anda melihat suasana tenang dan bersih di pasar malam? Soalan yang sama, pernahkah anda melihat walau hanya satu gumpalan tisu di lantai KFC atau McD? Tahukah anda, pernah terjadi seorang pengurus cawangan McD dibuang kerja serta-merta hanya kerana ada segumpal tisu di tempat letak kereta restoran McDonald?

Suasana menentukan tingkah laku. Bagaimana pula kalau anda ke Chow Kit misalnya. Adakah tingkah laku anda akan berubah mengikut suasana tak tentu arah di Chow Kit itu? Anda boleh mengujinya sendiri. Kemudian pergilah ke Damansara Height, rasai sendiri perubahan tingkah laku anda. Semakin lama anda berada di dalam sesuatu suasana tersebut, semakin ia menguasai anda dan akhirnya menjadi habit. Apabila menjadi habit, anda melakukannya tanpa perlu berfikir apa-apa. Sama seperti habit menggosok gigi setiap pagi. Pernahkah anda memikirkannya? Ia terjadi secara automatik.

Suasana menentukan tingkah laku. Ini diperkuatkan lagi dengan kisah seorang yang telah membunuh 99 nyawa tidak berdosa menemui Rasulullah SAW memohon doa Baginda mendoakan agar Allah mengampunkan dosanya. Rasulullah mendoakan disertakan dengan syarat supoaya lelaki tersebut berpindah, berhijrah keluar dari tempat dan suasana sekarang. Mengapa Rasulullah menyuruh lelaki itu berhijrah keluar dari suasana sekarang?

Adakah pula tingkah laku menentukan suasana? Itu belum saya kaji lagi.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.