Jikalau ada orang yang hendak menjual alasan, mahukan kita membelinya? Tidak ada manusia yang hendak membeli alasan. Jadi, alasan adalah percuma, tidak ada harga. Namun kita mesti melihat pada impaknya: 99 peratus punca kegagalan di muka bumi ini adalah kerana alasan.
Oleh kerana ia percuma atau tidak ada harga, tidak laku kalau dijual dan tidak ada yang hendak membelinya, maka ia amat kerap disuarakan. Paling banyak, bersepah di muka bumi ini ialah alasan. Persamaannya? Lebih mudah mencari manusia yang gagal berbanding yang berjaya. Lebih mudah mencari manusia miskin berbanding yang kaya.
Bahkan miskin, gagal itu pun dicari alasannya: kononnya, jikalau kaya akan disoal dengan banyak di akhirat kelak. Elok disoal kembali, adakah orang miskin akan terlepas dari disoal dengan banyak? Itulah yang dimaksudkan — kenyataan dari orang yang suka beralasan (dalam bentuk alasan) akan hanya merosakkan. Salah siapa? Salah kita kerana mendengar dan percaya.
Konon miskin dan selekeh itu zuhud. Manusia yang berkata begitu elok dibedah otaknya dan dibetulkan bahagian yang rosak dalam otaknya. Jikalau tidak diperbetulkan akan terus merosakkan manusia lain dengan kata-katanya. Sekali lagi, salah siapa? Salah kita sebab kita mendengar dan mempercayai.
—–
Hari ini, masuk hari ke 3 hujan waktu petang, lingkungan pukul 6 petang. Oleh kerana di Malaysia ini lebih banyak pokok yang ditebang dari ditanam, maka cuaca menjadi tidak tentu arah. Selalunya tiba-tiba hujan tanpa sebarang tanda akan hujan. Manusia, lebih berminat menjahanamkan alam sekitar berbanding memperelokkan.
Tepat pukul 6 petang saya sampai di Taman Kiara untuk bersenam, pijak batu (refleksologi) dan berjalan-jalan keliling tasik. Hujan mulai turun renyai-renyai di petang nan permai. Lima belas minit kemudian hujan lebat. Saya tidak bersenam sebaliknya termenung menunggu hujan reda di dalam wakaf bersama beberapa orang lagi. Hajat di hati hendak memulakan persahabatan dengan mereka yang sama berteduh, tetapi semuanya ‘couple’ muda. Teringat zaman remaja dahulu.
Semasa hujan renyai, sebelum lebat, saya terlihat sesuatu yang mungkin melucukan bagi anda, tetapi ada pengajarannya. Kesal sekali kerana tidak membawa kamera pada ketika itu untuk menggambarkan keadaan yang membawa pengajaran dan bersangkut paut amat rapat dengan: alasan dan penyelesaian. Jangan cari alasan, cari penyelesaian kerana penyelesaian lebih berharga dari alasan. Penyelesaian membawa kejayaan; alasan membawa kegagalan. Amat mudah formulanya.
Apabila diperlukan tidak dibawa, apabila tidak diperlukan, dibawa. Itulah kamera. Seperti bank menjalankan bisnes — apabila anda amat memerlukan pinjaman, bank tidak akan memberi pinjaman bisnes, sebaliknya bank akan memberi pinjaman bisnes di saat anda tidak memerlukan pinjaman tersebut. Begitulah realitinya.
Peristiwanya: dua orang berjoging sambil berpayung. Pernah anda melihatnya? Dan beberapa orang lagi berjalan (untuk bersenam) keliling tasik dengan berpayung. Itu peristiwanya. Jangan anggap lucu, sebaliknya anggap sebagai pengajaran. Hujan tidak dijadikan alasan untuk tidak berjoging dan bersenam. Alasan bukan untuk dicari sebaliknya untuk dihapuskan. Penyelesaian yang mesti dicari untuk menenggelamkan alasan. Ingatlah, satu alasan akan menarik alasan yang lain. Alasan boleh beranak-pinak. Akibatnya? Kita tidak mampu bernafas lagi kerana dihempap dan ditenggelamkan dengan alasan.
Bagaimana cara menghindari alasan? Mudah saja: “Apa yang akan saya peroleh jika beralasan?” Kemudian, tenggelamkan dengan: “Apa yang akan saya peroleh jikalau tidak beralasan.”
Ingatlah, kita manusia biasa yang tidak pernah lepa dari melakukan kesilapan. Kerana itulah kita sentiasa diberi peluang untuk bertaubat, bermaafan dan berdoa. Dalam hal alasan dan penyelesaian ini pun, kita kerap kali juga alpa dan melakukan kesilapan: lebih dahulu mencari alasan. Itulah kesilapan yang mestinya kita nilai kembali dan perbetulkan.
Setiap kali hendak melakukan sesuatu, sebagai manusia biasa, sebahagian dari kita lebih gemar mencari sudut ‘tidak boleh’. Dicari-cari sehingga terjumpa dengan banyaknya. Dalam masa kurang dari sesaat, pemikiran dibawa ke masa silam — semalam, minggu lepas, setahun, 10 tahun dulu — mencari-cari kegagalan masa lalu. Selepas itu, dalam masa kurang dari sesaat kegagalan masa lalu itu berubah menjadi penghalang atau alasan. Mudah? Memang mudah sekali alasan menjelma dan menjadi penghalang.
Bagaimana mengatasinya? Amat mudah. Setiap sesuatu adalah berpasangan. Apa yang akan dilakukan ada 2 sudut atau dua bahagian. Satu bahagian ‘boleh’ (penyelesaian) dan satu bahagian lagi ialah ‘tidak boleh’ (alasan). Setiap kali hendak melakukan sesuatu, jangan menghalakan mental dan fizikal kepada bahagian ‘tidak boleh’. Cari ‘boleh’nya. Halakan kepada bahagian yang ‘boleh’. Dalam masa kurang dari sesaat, cari kejayaan-kejayaan sama ada kecil atau besar pada masa lalu, bawa kepada saat itu. Begitu cara mencari ‘boleh’. Menang bermain badminton juga kejayaan, menang merempit juga kejayaan. Memang banyak benar kejayaan kecil atau besar pada masa lalu. Jangan sempitkan fikiran. Jikalau menumpukan kepada kegagalan masa lalu, memanglah banyak sangat kegagalan masa lalu yang boleh dibawa kepada saat tersebut. Anda memperoleh apa yang menjadi fokus.
Jadikan ia habit. Setiap kali hendak melakukan kebaikan, cari ‘boleh’nya. Halakan kepada penyelesaian atau bahagian ‘boleh’. Sesekali apabila bahagian ‘tidak boleh’ (alasan) cuba menjelma, tenggelamkan segera dengan mencari lebih banyak lagi kejayaan masa lalu untuk dibawa ke hari ini. apabila ia telah menjadi habit, percayalah, anda tidak akan mencari alasan lagi sebaliknya sentiasa mencari penyelesaian.
Jadi, kita memang suka sesuatu yang mahal (kecuali barang keperluan harian). Benar suka yang mahal? Jika begitu kita memang menyukai penyelesaian sebab penyelesaian adalah mahal. Alasan memang murah tetapi impaknya amat mahal. Kegagalan memang mahal, sama mahal dengan kejayaan. Alasan memang murah, tak ada kualiti, dijual pun tidak ada yang hendak membeli. Bahkan diberi percuma pun kita tidak mahu. Jadi, fokus kepada penyelesaian sahaja.