Bayangkan keadaan ini: Anda mempunyai lebihan wang. Sahabat anda meminjam dari anda. Bunyinya “pinjam” dan selalunya meminjam itu ada beberapa syarat yang mesti dipenuhi. Itu lumrahnya walau meminjam apa saja dengan sesiapa pun. Syarat utama ialah memulangkan kembali jumlah wang tersebut pada masa yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Oleh kerana sahabat anda itu terdesak, maka apa saja syarat, hatta, “ke lautan api” pun sanggup.
Keadaan berlaku sebaliknya apabila wang pinjaman telah diperoleh. Jangankan ke lautan api, ke laut Pantai Morib pun tak sanggup. Sahabat yang meminjam itu lesap entah ke mana. Terkenang anda akan kata-kata Shakespeare, “Meminjam jangan, memberi pinjam jangan; kelak sahabat menjadi musuh.”
Wang anda telah lesap. Itu isu paling besar. Wang sentiasa dikaitkan dengan pergerakan bumi ini. Orang kata, manusia bergerak di atas muka bumi ini adalah kerana wang. Apatah lagi sistem ciptaan manusia kapitalis di sekeliling kita ini menjadikan kita (mahu tidak mahu) terpaksa bergerak ke hulu hilir mencari wang untuk memenuhi tuntutan sistem. Jadi, betapa pentingnya wang dalam hidup ini. Kepada sesiapa yang mengatakan, “Wang bukan segala-galanya dan jangan sampai dikuasai oleh wang.” Memang betul kata-katanya. Itu teorinya. Praktikalnya, “Bolehkah pergi ke kedai, membeli barang dengan menggunakan daun sireh?”
Tak cukup dengan itu, ada lagi suara-suara memandai tunjuk alim dan warak, “Rasulullah pun hidup sederhana. Siapalah kita hendak bermewah-mewah di bumi Allah. Cinta Allah lebih utama.. bla, bla, bla….” Inilah bahayanya berguru setengah tiang atau berguru dengan berdasarkan “dengar-dengar” sahaja. Sederhana adalah mengikut zaman. Zaman Rasulullah sederhananya lain berbanding zaman sekarang. Gambaran Rasulullah miskin, daif itu adalah gambaran dari musuh Islam dan orang Islam sendiri, supaya orang Islam terus ‘mendaifkan’ diri sebagaimana Rasulullah yang digambarkan. Daif, lemah, kotor, compang-camping, ‘mendaifkan diri’ itulah yang ditanamkan di dalam kepala orang Islam.
Saidina Uthman mempunyai 2 rumah, rumah musim panas dan rumah musim sejuk. Sederhana? Kalau Rasulullah miskin, daif tidak cukup dana, bagaimana Baginda boleh mengembangkan Islam, sedangkan kita tahu setiap pergerakan mengembangkan Islam memerlukan dana yang sangat besar. Yang perasan warak dan alim (berilmu) berkata, “Iman pun dana juga.” Tanya balik, “Beli kuda pakai matawang, barter atau iman? Pergi belajar lagi sistem muamalat dalam Islam.” Inilah masalahnya “tahu sedikit adalah bahaya.” Kalau setakat membaca komen-komen dalam Facebook atau forum-forum, blog, silap-silap boleh merosak diri sendiri dan orang sekeliling . Untuk itu mudah sahaja, “Tak tahu belajar, dah tahu mengajar. Kalau berasakan diri pandai, tolong pandaikan orang sekeliling. Kalau berasa diri bodoh, jangan membodohkan orang sekeliling.”
Itulah gambaran betapa pentingnya wang dalam hidup ini. Jadi, apabila sahabat anda meminjam wang, kemudian lesap, bagaimana perasaan anda? Walau hanya sedikit ia tetap menimbulkan rasa kecewa, marah, dan benci. Bagaimana jikalau banyak? Ribu, puluh ribu? Bagi yang beriman, pasti berkata, “Bukan rezeki saya. Itulah caranya Allah mengurangkan rezeki saya mungkin akibat perbuatan saya masa lalu atau sebagai ujian. Kalau memang bukan rezeki saya, saya halalkan dunia akhirat. Dia tidak lagi berhutang apa-apa dari saya.”
Namun, ada yang lebih menghairankan dan menyebabkan anda marah. Sudahlah kehilangan wang, anda pula dipersalahkan. Yang meminjam berkata seperti seorang yang ‘berakal haiwan’, “Kalau dia tidak memberi saya pinjam, tentulah saya tak terjebak dalam hutang.” Berkata dengan selamba. Jikalau anda jenis manusia yang berakal manusia, apa pendapat anda apabila sesudah kehilangan wang, anda pula dipersalahkan kerana memberi pinjam orang terdesak. Masyarakat turut menyalahkan anda yang memberi pinjam. Siapa yang tidak berakal sebenarnya?
Jadi isunya di sini — memberi pinjam, membantu orang terdesak tetapi dipersalahkan. Bagi orang yang waras, adakah ia sesuatu yang betul?
Along kah yang bersalah? Atau yang meminjam yang bersalah? Cuba bentangkan apa salah Along dan apa salah yang meminjam?
Salah Along adalah jelas: menggunakan kekerasan untuk menarik hutang. Benarkah ia salah? Sebelum meminjam telah dijelaskan syarat-syaratnya. Jikalau tidak dapat membayar, ini, ini, ini terpaksa dihadapi. Setuju? Ke lautan api pun setuju. Jadi sebenarnya salah siapa? Sudah tahu syarat dan risikonya memang keras, mengapa masih mahu meminjam? Siapa yang bersalah?
Mengapa tidak dikatakan kekerasan pula bagi ‘samseng tarik kereta’? Ekonomi merudum, kereta tak mampu bayar lebih 3 bulan, tengah jalan ditahan samseng hendak menarik kereta. Adakah ia tergolong dalam kekerasan? Atau kelembutan?
Salah Along adalah jelas: membuat kotor dengan menampal segala rupa pelekat, bunting, banner di mana-mana saja. Itu saja salahnya. Yang amat menghairankan, pada pelekat itu tertera nombor telefon. DBKL (atau majlis bandaran lain) boleh menelefon dan datang ke pejabatnya menyerahkan surat saman kerana membuat kotor. Mudah sahaja. Tak payah tunggu krew TV datang kononnya sedang membentars kegiatan ceti haram. Itu membenteras kekotoran yang dilakukan oleh ceti haram (yang mana pula ceti halal?), bukan membentes ceti haram. Setakat menurunkan bunting, banner, mengopek pelekat tidaklah boleh dikatakan membenteras ceti haram.
Along dipersalahkan kerana memberi pinjam. Pernahkah mana-mana Along memaksa supaya meminjam? Kalau sudah tahu syaratnya ketat, boleh membawa kekerasan, bunganya tinggi, mengapa masih nak meminjam? Jadi, Along kah yang bersalah, atau peminjam yang bersalah. Siapakah yang bersalah? Yang mengeluarkan wang atau yang menerima wang?
Sudah tahu, setiap kali meminjam mesti memulangkan kembali dengan bunga tertentu, tanpa gagal, mengapa bersetuju dan tetap mahu meminjam? Lainlah jikalau tidak tahu.
Adakah Along sahaja yang kejam dan zalim? Bagaimana apabila anda meminjam dengan bank dan tidak dapat membayar kembali, cagaran anda disita, dirampas, dilelong? Adakah itu kekerasan atau kelembutan? Kalau misalnya cagaran anda adalah rumah, kemudian rumah anda disita, anda sekeluarga terpaksa keluar rumah kerana ia hendak dilelong, adakah itu ‘kelembutan’ bukan kekerasan jika dibandingkan dengan Along yang hanya menyimbah cat merah pada rumah?
Tertanya-tanya kita, apa sebenarnya yang berada di dalam pemikiran peminjam? Mungkin ini: Pinjam, tak payah bayar balik, menyorok, lari kemudian mengadu kepada persatuan pengguna atau parti politik supaya dibela dan akhirnya Along yang dipersalahkan. Kesudahannya, selamat — hutang puluhan ribu tak payah bayar balik.
Untuk peminjam yang mengatakan diri tak bersalah dan Along yang bersalah, kita tanya kembali, “Kalau sudah tahu itu syarat Along, mengapa nak meminjam dari Along? Kalau kamu sudah tahu risikonya meminjam dari Along, bank, koperasi, kenapa kamu masih lagi hendak meminjam? Adakah kamu fikir Along, bank, koperasi itu badan kebajikan? Adakah kamu fikir, di dunia ini, kalau meminjam tak perlu membayar balik?”