“Ampat… kadang-kadang…” Itu pertanyaan ahli nujum kerajaan Masai dalam filem Nujum Pak Belalang. Anda telah tahu jawapannya.
Tapi untuk situasi sekarang, jawapannya lain. Jawapan untuk soalan itu ialah, “Bendera!”
“Bendera? Sebab?”
P. Ramlee atau orang lain menjawab, “Hanya kadang-kadang saja kita melihat bendera dikibarkan sempena bulan kemerdekaan.”
Tak percaya? Berdirilah di tepi jalan sekejap. Hanya kadang-kadang saja kita melihat kenderaan mengibarkan bendera. Jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya 2007, makin merosot. Mungkin kadarnya, tiap 100 kenderaan ada 2 kenderaan mengibarkan bendera pada tahun 2007, tapi kini mungkin hanya ada 1 kenderaan mengibarkan bendera setiap 100 kenderaan.
Lihat juga bangunan-bangunan, bandingkan dengan tahun lepas, anda pasti masih menjawab, “kadang-kadang.”
Sebelum tahun 1998, orang kata tahun sebagai titik permulaan perubahan politik dan pemerintahan Malaysia, jikalau tidak mengibarkan bendera dianggap ganjil atau dianggap ‘kahwin empat’ atau kadang-kadang sahaja kelihatan orang yang tidak mengibarkan bendera sebagai menyambut kemerdekaan. Bayangkanlah, sanggup membeli bendera kecil berharga RM5 untuk dipasang pada kenderaan. Ramai yang menjaja bendera kerana ia laris. Dan ingat, RM5, sepuluh tahun lepas besar nilainya.
Pada masa itu, jikalau tidak mengibarkan bendera dianggap ganjil, berbeza dengan kini, iaitu sebaliknya, jika mengibarkan bendera dianggap ganjil pula.
Dari setahun ke setahun bermula dari 1998 itu, makin tahun makin merosot orang yang mengibarkan bendera. Walaupun pada suatu masa, kira-kira 4 atau 5 tahun lepas ada pemberian bendera percuma, namun masih gagal menghidupkan semangat memasang bendera.
Tidak ada siapa yang boleh memaksa memasang dan mengibarkan bendera, walaupun berkali-kali dikaitkan bendera itu dengan “patriotik”. Kita pun agak hairan, apa kaitan bendera dengan patriotik?
Pada pendapat saya, memasang bendera adalah cetusan dari hati sendiri. Apabila kita merasakan seronok untuk mengibarkan bendera, kita akan mengibarkannya. Apabila kita sering mempertikaikan, “Merdeka? Apa yang merdeka?” secara automatik kita tidak mahu mengibarkan bendera. Tak ada kaitan sama-sekali dengan patriotik.
Ke mana hilangnya semangat? Semangat tersebut merosot dari setahun ke setahun dan hilang lesap kerana menangani karenah hidup yang semakin menghimpit. Tidakkah terhimpit dengan: perolehan kurang dari keperluan? Baru ura-ura hendak naik gaji, belum pun naik gaji, barang keperluan sudah naik berganda-ganda. Hilang semangat kerana perolehan hanya lalu di tangan sahaja.