Razzi Armansur

Apabila kekalahan bukan berpunca dari kita

Adakalanya, kekalahan bersebab, berpunca dari orang lain dalam team kita. Misalnya pertandingan bola — kesilapan pemain lain menjadi punca kekalahan.

Keterangan gambar: Meraikan kekalahan di hari lahir Ezika Armansur, pewaris Armansur.com Berhad

Kerana itulah dikatakan — kalah menang adalah perkara biasa. Yang luar biasa ialah sentiasa menang tak pernah kalah atau sentiasa kalah tak pernah menang.

Apa usaha kita? Terus berusaha dan set untuk menang. Bila kalah — terima saja dengan hati terbuka dan berusaha sedaya-upaya untuk tidak mengulangi kekalahan itu.

Pagi sebelum bertolak ke pertandingan kawad zon Kuala Lumpur di Bukit Jalil, Ezika Armansur sudah set menang. Katanya, “Walau apa jadi mesti menang sebab ia adalah hadiah hari lahir Ezik.” Kata Ezika dengan semangat padu.

Oleh kerana bukan seorang diri, berpasukan, Ezika kemudian meminta kawan sepasukannya, “Gambarkan menang, bayangkan sedang menerima piala.” Kawan-kawannya pun melakukan begitu.

Semasa pertandingan dijalankan, penanda membuat kesilapan. Penanda ialah orang yang berada di depan sekali dan di tengah barisan kawad. Barisan kawad ada tiga barisan. Sebaris biasanya 8 — 10 orang. Murid yang di depan sekali, di baris tengah itulah penanda.

Ketua platun memberi arahan, “Pusing kiri”, tetapi penanda, mungkin gugup, pusing ke kanan. Kalau dah permulaannya tersilap, selepas itu bercelaru. Itulah punca kalah dan sudah tentu kecewa kerana latihan kawad berminggu-minggu bahkan suatu malam, minggu lepas bermalam di sekolah untuk ‘perkemahan kawad’.

Itulah mesejnya: kita sudah berusaha sedaya upaya; kita hendaklah mengakui hakikat bahawa kekalahan, kegagalan boleh datang dari luar diri kita — dari sumber dan faktor lain. Tidak semestinya berpunca dari diri sendiri. Bersedialah.

Setiap kejadian ada hikmahnya. Banyak boleh kita pelajari dari kekalahan yang terpaksa dialami, jika mahu mempelajari.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.