Razzi Armansur

Bahayanya kalau berasaskan ‘dengar-dengar’

Terima hakikat ini: Apa yang kita serap dari sekeliling kita kebanyakannya atau sebahagian besar adalah berasaskan dengar-dengar sahaja. Bukan fakta tepat. Orang-orang di sekeliling kita menyuarakan sesuatu bukan berdasarkan fakta sebenar sebaliknya mereka memperolehi berdasarkan dengar-dengar.

Dengar-dengar itu kemudian disampaikan kepada kita. Maka, terima hakikat bahawa sebahagian info yang kita terima hanyalah berdasarkan dengar-dengar. Lebih malang lagi, kalau dengar-dengar itu dibukukan kemudian kita baca dan kemudian kita percayai.

Bukan fakta. Jadi, apa yang akan kita sampaikan semula kepada orang lain pun bukan fakta kerana apa yang didengar di telinga kita akan dikeluarkan semula melalui mulut bila perlu. Maka ‘dengar-dengar’ itu akan berterusan, berpanjangan. Setiap orang yang menerima ‘dengar-dengar’ adalah mangsa dari orang yang mula-mula sekali menyampaikan info palsu itu.

Dalam kes dengar-dengar tadi — lihat perjalanannya — bermula dari seorang yang memandai, main agak-agak, lagak pandai dan serba tahu mengeluarkan info palsu bukan fakta, info itu berjalan dari mulut-ke-mulut, telinga-ke-telinga hingga sampai ke berpuluh, beratus, beribu-ribu. Itulah bahayanya kalau berasaskan dengar-dengar.

Jadi, menjadi hak kita untuk prejudis, tidak terus percaya dengan apa yang diperkatakan, tak kiralah, dari siapa kata-kata itu. Kita tidak mahu terus percaya kerana kita mahukan info yang tepat, bukan info berasaskan dengar-dengar. Kita tidak dapat menahan orang lain dari ‘dengar-dengar’ tapi biarlah sampai ke telinga kita sahaja. Tamatkan ‘dengar-dengar’ itu di telinga kita. Jangan kita menjadi penyambung ‘dengar-dengar’ itu.

Saya mendapat idea tentang dengar-dengar ini dari seorang kawan yang bernama Ng See Hin (Di manalah dia kini?….) yang juga merupakan saudara Albert Lim, kawan lama saya. Suatu hari saya terlihat beliau sedang membaca buku bahasa Cina yang ada gambar pengasas Amway pada muka depan. “Ini buku mengenai mengatasi penolakan.” Kata Ng setelah saya bertanya.

Saya kemudian meminta kalau ada cara mengatasi penolakan bila orang berkata, “Dah ramai yang buat” (Itu penolakan paling lazim). Ng menjawab, “Ada dua.” Kemudian Ng menterjemahkan:

1. “Sebenarnya tak ramai. Yang sebenarnya kita hanya ‘dengar-dengar’ saja ramai yang buat. Di sana kita dengar, di sini kita dengar, hanya dengar-dengar saja. Kalau kita teliti, rupanya bukan hal sebenar, sebaliknya hanya dengar-dengar.”

2. “Kalau tak keberatan, boleh beritahu 10 orang yang menjalankan bisnes ini di sekeliling anda? Kalau tak dapat 10, cukuplah 5 orang.” Biasanya, 1 orang pun tak dapat diberitahu. Selama ini hanya dengar-dengar sahaja.

—-

Saya pun terlibat sama dengan “dengar-dengar” ini. Itulah kesilapan saya. Semoga tidak saya ulangi lagi. Kesilapan saya ada kaitan dengan gambar banglo di atas dan satu cerita yang menarik di TV baru-baru ini.

Ceritanya: Seseorang muncul di pintu bila pintunya diketuk dan bertanya, “Ada apa? Oh nanti dulu, kamu datang nak minta tanda tangan saya kan? Kamu peminat blog saya kan?” Kata orang yang perasan itu walhal orang itu datang ada urusan lain.

Perkara yang sama terjadi kepada saya, suatu hari sedang saya duduk menunggu seseorang di bawah jambatan tempat berhimpunnya jutawan tua dan muda (tak payah kerja hanya lepak di kedai kopi di bawah jambatan, main carrom, sembang, temberang, kiranya sedang menikmati kehidupan sebagai jutawan, hahaha), datang seseorang menemui saya. Dia adalah pemilik banglo di atas. Namanya Encik Zaki. Ini baru betul jutawan di antara cendawan yang lepak di kedai bawah jambatan itu. Dia bertanya saya mengenai laman web Armansur.com yang sangat popular ini (ehem).

Encik Zaki kemudian memberitahu ada kesilapan pada keterangan yang saya paparkan pada rumahnya dalam entri Dari Rumah Kenal Penghuni setahun lepas. Di dalam entri tersebut saya tuliskan beliau adalah bekas jurutera DBKL. “Saya tak pernah kerja di DBKL” kata Encik Zaki. Itu kesilapan saya. Saya menulis begitu berdasarkan dengar-dengar. Ada orang memberitahu saya rumah di tepi highway Pencala Link itu adalah rumah bekas jurtutera DBKL. Info berdasarkan dengar-dengar.

Yang membuatkan saya agak pelik ialah seorang jutawan, dari tempat saya sendiri membaca laman web saya. Saya tersenyum bangga (ehem…)

“Encik Zaki, boleh saya belajar dari Encik Zaki bagaimana nak jadi kaya?” Saya bertanya.

“Boleh; apa salahnya. Datang ke rumah.” Encik Zaki menjawab.

“Saya kena bawa pulut kuning ke?” Saya cuba bergurau.

“Tak payah. Bawak kuih saja.” Katanya.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.