Razzi Armansur

Berpesta 10 hari, dapat apa?

HARI pertama pesta buku 2009, Jumaat, 17 April, saya bersama rakan-rakan Ukhwah.com telah pun melawat Pesta Buku tersebut. Semalam, Ahad, 26 April adalah hari terakhir Pesta Buku 2009, tak sangka pula saya melawat lagi. Ustaz Akhil Hayy mengajak, sebab beliau ada sesi autograf di gerai Inteam. Jadi, pergilah sekali lagi Pesta Buku 2009, atau lebih tepat lagi pada masa pembukaan dan penutup.

(photo)
Walau di ceruk mana booth PTS, tetap ia dicari dan menjadi tumpuan. Harap ia akan dijadikan titik permulaan untuk menjadi lebih terkenal, lebih berkualiti, lebih ramai yang dipandaikan berdasarkan misi PTS, “Memandaikan Bangsa” dan slogan baru, “Sudahkah Anda diPTSkan?”.

(photo)
Eh buku aku. Hanya inilah yang tinggal… Buku-buku lain sudah habis…

(photo)
Ambil kesempatan. Meminta promosi buku dari sahabat

(photo)
Sekali lagi ambil kesempatan. Meminta promosi buku dari sahabat. Suhaimie, nampaknya isteri kamu lebih popular… Jangan marah ya…

Satu lagi tujuan adalah hendak bertemu sahabat-sahabat di PTS dan penulis-penulis se PTS, terutama Dr. Danial Zainal Abidin (bukan Dr. Ayam tetapi Doktor Medik yang selalu enggan meletakkan Dr. di depan namanya). Saya hanya bertemu dengan Ain Maisarah yang sedang ngetop dengan buku genre teen novel melalui siri ‘Buletin BSB’. Sempitnya dunia ini, suami Ain Maisarah ialah pengasas Shukur.com, portal komuniti yang sangat popular sebelum wujudnya Ukhwah.com. Dan saya berkawan baik dengan DJ Shukur (nicknamenya) sejak sekian lama. Bertemu semula di PTS — isterinya penulis PTS yang popular dan DJ bertindak sebagai pengurus isterinya.

Selain itu saya bertemu dengan Saridah Hamid, seorang lagi penulis PTS yang sedang menjurus kepada siri “Young Aisyah” — novel Islam untuk kanak-kanak. PTS Islamika dipimpin oleh Faris yang popular dengan lawak “Mati Hidup Balik” dan ayat Jawa, “Ngentekke Beras” (Menghabiskan Beras). Siri “Young Aisyah” nampaknya sedang menjulang naik. Tak ketinggalan bertemu dengan Salina Ibrahim, novelis sastera Islami. Tak ketinggalan bertemu sebentar dengan Zaid Akhtar, penulis novel islamik, “Salju Sakinah”, yang juga merupakan warga Ukhwah.com. Sudah tentu bertemu dengan Pengerusi PTS Mbakyu Ainon.

Apa yang diperoleh dari Pesta Buku 2009 dan 27 kali pesta buku sebelumnya? Sudahkah mencapai matmalat? Saya pun tidak tahu apa sebenarnya matlamat Pesta Buku. Bagi saya matlamat pesta buku adalah penjualan, itu saja. Kalau itu matlamatnya, ia sama saja seperti sembahyang Jumaat, dari satu Jumaat kepada satu Jumaat, dari satu Ramadan kepada satu Ramadan, tidak ada perubahannya, hanya menjalani rutin. Ada matlamat lain selain penjualan? Nampaknya tidak ada. Kita sangkakan, matlamatnya adalah berkaitan dengan ilmu atau memandaikan. Mungkin memang itu matlamatnya tetapi nampaknya sudah jauh menyeleweng kerana ukuran kejayaan Pesta Buku adalah jualan dan pembelian.

Ukuran pembelian pula secara mudah kita boleh melihat berapa ramai pengunjung yang menjinjing beg berisi buku keluar dari PWTC. Bagi booth yang mempamerkan, ukuran jualan ialah tercapainya matlamat jualan. Bagi Kumpulan Karangkraf, penyewa terbesar dalam Pesta Buku, sasaran jualannya sentiasa lebih dari RM1 juta. Tercapaikah matlamat itu? Saya akan bertanya kepada pengarahnya, Haji Fickry, nanti apabila sama-sama berjogging. Bagi PTS, bintang yang sedang bersinar dalam industri penerbitan dan yang sedang mencipta branding sebagai “trendsetter” (diikuti bukan mengikuti), sasarannya adalah RM300,000 bersesuaian dengan jumlah gerai yang kecil pada tahun ini — hanya 8 gerai sahaja yang dapat disewa. Tapi, perolehan telah melepasi target. Khabarnya sudah mencapai RM1/2 juta. PTS mesti membuktikan jualan yang tinggi bagi memenuhi kata Mbayu Ainon yang mengesahkan bahawa industri buku adalah “gawat-proof”. Maknanya, ekonomi dunia sedang merosot, tetapi jualan buku meningkat. Mengapa? Tidak ada jawapan. Tetapi menurut seorang bapa yang yang diinterbiu — “Saya memotong budget untuk perkara lain tetapi tidak untuk buku.” Buktinya, Nazrul ‘membakar’ saya semasa menambah buku kanak-kanak siri Usahawan Cilik di atas meja, “Tengok Kang, dah berapa kali ‘top-up’ ni, Kang cepatlah siapkan buku Kang.” Memang, pada tahun ini, mulai dari tahun lepas, novel kanak-kanak dan remaja sedang ‘meletup-letup’. Menurut Mbakyu Ainon, “Jualan untuk buku Ain Maisarah sudah mencecah RM700,000 sebanyak 10 judul.”

Inteam Record yang pertama kali menyertai Pesta Buku (walaupun bukunya tersorok, CD lebih ditonjolkan) mensasarkan target sebanyak RM20,000 sahaja dengan menyewa sebuah gerai berharga RM400 sehari. Itu yang diberitahu saya pada hari pertama. Pada hari penutup pula saya diberitahu, jualan sudah mencecah RM50,000. Saya suka pengurusan Inteam, cuma saya amat berharap adik-adik saya itu berhati-hati dan sentiasa berwaspada — serangan dari dalam lebih memusnahkan, lebih cepat menumbangkan berbanding serangan dari luar. Sentiasa ingat pesan Rasulullah SAW, “Meletakkan sesuatu biarlah pada tempatnya.” Berhati-hatilah dalam memilih staff. Pilih berdasarkan merit dan kebolehan, bukan berdasarkan belas kasihan. Bisnes adalah bisnes; kebajikan adalah kebajikan. Tahun ini begitu bertuah bagi Inteam apabila mendapat gerai di depan pintu masuk. Lebih bertuah kerana ikon ternama Malaysia, Tuan Guru Nik Aziz mengunjungi gerai di sebelahnya. Sudah tentu gerai Inteam turut sama mendapat limpahan pengunjung.

Buat pertama kalinya juga, Hijjaz menyertai Pesta Buku dengan menjual 8 judul buku. Memang rezeki mereka kerana gerai mereka bersebelahan dengan gerai PTS. Dapatlah limpahan rezeki orang yang berkunjung ke gerai PTS. Dulu saya berbaik dengan semua ahli kumpulan Hijjaz tetapi kini hanya berbaik dengan Faizal Osman (Abai Os) sahaja. Bersembang, berbincang pasal dunia penerbitan, agak lama pada hari penutup itu. Faizal suka bertanya kerana baginya dia baru lagi dengan dunia penerbitan buku. Memang bagus sikap mahu bertanya dan berpijak di bumi nyata itu. Saya lebih suka Faizal kerana beliau tidak pernah ‘boasting’ dan kelentong aset, harta benda dan sebagainya. Pelik atau tidak jikalau tidak tahu membezakan antara aset dengan liabiliti tetapi boasting mempunyai aset sekian-sekian juta. Pada pesta buku ini, Faizal tidak meletakkan apa-apa target tetapi memberitahu, “Aku terkejut Kang, semalam, Sabtu, jualan sehari RM13,000. Aku tak tahu begini rupanya industri buku.”

“Bagus Zal. Nak terima cadangan dari aku? Kau jangan terikut-ikut dengan (sensor) yang mementingkan hiasan berbanding ilmu. Pendapat aku, tak payahlah buat buku berwarna. Orang beli buku nakkan ilmu bukan nakkan hiasan. Kalau buku-buku (sensor) mementingkan hiasan tetapi ilmunya amat sedikit. Hiasan penting, tapi ilmu lagi penting. Jangan sampai mengutamakan hiasan berbanding ilmu. Kau tengok buku PTS, mana ada warna, semua hitam putih pakai kertas 70 grams sahaja. Yang penting ilmu, bukan hiasan walaupun hiasan penting. Perempuan lawa kalau tak berhias jadi kurang lawa kan, tapi kalau perempuan tak lawa, berhias lebih-lebih, pelik jadinya. Kalau dah produksi mahal, terpaksa kamu jual mahal sedangkan kau tak tahu lagi karenah pasaran sebab baru lagi.”

Sejak anak sulung saya berumur 4 tahun, saya, isteri dan anak sulung saya itu berjalan-jalan di Pesta Buku. Pada masa itu lengang sahaja. Tahunnya, sekitar tahun 94. Pada masa itu, bangga bukan kepalang melihat buku “Membina Masa Depan Melalui MLM” terpamer. Dikatakan, mulai millenium, Pesta Buku semakin rancak. Cuma, sampaikah matlamat Pesta Buku iaitu menjual ilmu? Sebahagiannya sampai, sebahagiannya tidak sampai kerana ada ilmu dan ada ‘sampah’ yang terjual. Kalau hendak dijadikan PTS sebagai ukuran — mengapa gerai PTS dicari-cari walaupun tersorok — jawapannya ialah ‘kualiti’ bukan sampah. Jawapannya ialah ‘terpublisiti’ bukan ‘dipublisitikan’. Sebahagiannya memikirkan ilmu, sebahagiannya memikirkan duit semata-mata dan mengambil kesempatan atas kerancakan industri buku — sama seperti zaman telemovie tidak berapa lama dahulu. Seorang dua menerbitkan VCD telemovie berkualiti, berpuluh yang lain “jump into the wagon” menerbitkan sama ‘sampah’ yang dianggap sebagai telemovie. Akhirnya apa yang terjadi? Nyawa penerbitan VCD itu amat singkat. Kasihan penerbit yang menerbitkan dengan mementingakan kualiti.

Kesempatan pada hari penutup Pesta Buku 2009 saya ambil untuk berbincang dengan pembesar PTS dan penulis dari Malaysia (Salina Ibrahim) dan penulis dari Indonesia. Berbincang untuk mencari ‘trend’ bagai Pesta Buku tahun 2010. Menurut Arief, Presiden PTS, diramalkan tahun depan, novel berunsur “thriller” untuk remaja dan kanak-kanak, akan mula dipasarkan. Golongan paling tinggi membaca kini adalah kanak-kanak dan remaja perempuan. Kami terus berbicang panjang lebar terutama mengenai pasaran novel cinta. “Rasanya sudah tepu. Menurut pengedar, sebulan 20 novel cinta yang masuk ke pasaran. Ceritanya sama saja. Pusing-pusing ke situ juga.”

Banyaklah yang diperoleh dari perbincangan tidak formal tersebut. Dalam perbincangan, yang penting bukan “mengapa” tetapi mestilah segera diikuti dengan “bagaimana.” Kalau sudah diramalkan tahun 2010 mungkin ekonominya lebih parah berbanding 2009 (yang masih belum begitu terasa), janganlah hanya bercakap mengapa, mengapa, mengapa Lehman Brothers boleh tumbang dan apa impaknya kepada ekonomi dunia. Barrack Obama lebih berminat menghantar tambahan tentera ke Afghanistan berbanding pelan dan pelaksanaan memulihkan ekonomi. Ingat, apabila batu dicampak ke kolam, di Amerika, riak dan gelombangnya sampai ke seluruh dunia.

Mestilah mencari jalan “bagaimana” supaya jualan buku berterusan maju pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya menentang arus kelesuan, kemelesetan, kegawatan ekonomi. Jalan dan cara itu penting. Berpijak di bumi nyata. Jangan hanya tahu bercakap, “Kita mesti mengatasi….” Tapi tidak menjelaskan cara mengatasinya.

Semalam juga saya mendapat ilmu berharga dari Mbakyu Ainon. Beliau memberitahu, sistem pengurusan PTS menggunakan sistem yang digunakan oleh Rasulullah selepas selesai berperang. “Kita berperang setiap hari.” Kata Mbakyu. Rasulullah adalah multi-millioanire dengan adanya surah, “Sesungguhnya harta rampasan perang itu milik Allah dan Rasulnya…”

Mbakyu kemudian menceritakan dengan jelas sistem ‘motivasi’ di PTS yang kelak akan saya gunakan untuk pengurusan kompeni saya sendiri. Kata Mbakyu, “Pekerja PTS mendapat gaji sebulan sekali sama seperti pekerja syarikat lain. Tapi setiap 15 haribulan mereka, kesemua 70 pekerja PTS, termasuk pemandu lori, mendapat komisyen sekian-sekian peratus. Setiap 3 bulan mereka mendapat bonus khas. Sebab itu Kang tengok sendiri rajin atau tidak pekerja PTS? Tengok tu di luar, masih melaung-laung menjerit-jerit nak melakukan buku.” Kata Mbakyu sambil ketawa.

Seterusnya Mbakyu mencurahkan ilmunya kepada saya, “Pembahagian komisyen dan bonus mengikut kategori ‘tentera’. Pasukan berkuda, mendapat sekian-sekian. Pemanah, pertahanan, tentera berjalan kaki mendapat sekian-sekian. Kesemuanya itu bergantung kepada kutipan hutang. Bahagian kawalan kredit ada 2 orang iaitu Puan Khalilah (isteri Nazrul) dan Puan Halimatun. Mereka berdua termasuk dalam golongan ‘tentera berkuda’. Kalau dua orang wanita penting ini tidak bersungguh-sungguh, alamat tidak berkomisyenlah kakitangan PTS.”

“Lagi satu,” kata Mbakyu, “Ingat sabda Rasulllah, ‘bayarlah upah sebelum peluh kering’… Inilah yang sedang dilaksanakan.”

Lama diam sebelum Mbakyu bertanya soalan cepumas, “Buku Usahawan Cilik Kang dah siap?”

“Erkkkk…”

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.