Razzi Armansur

Buat apa sekarang?

Pernah atau selalu anda ditanya begitu? Jika ada bergiat dalam MLM lagi kerap anda ditanya begitu — “Buat apa sekarang?”

Apa mesejnya? Memang adakalanya kita meradang kerana mengapa dengan kita ini ditanya begitu sedangkan dengan doktor, menteri, cikgu, ahli Rufaqa’ tidak pula ditanya begitu. Pertanyaan itu seolah-olah:

  1. Pekerjaan kita sekarang ini tidak diketahui
  2. Kita ini suka melompat-lompat, dulu buat lain, kemudian buat lain, esok buat lain.

Sebaik-baiknya jangan meradang, sebaliknya anggap itu adalah mesej percuma dari orang yang bertanya. Akui hakikat, yang bertanya itu adakalanya mempertikai apa yang sedang anda lakukan — seolah-olah tidak ada hasil. Sebagai contohnya — masih ramai yang mempertikaikan penulis dengan kata-kata “Boleh cari makan ke menulis?” Jadi pertanyaan, “Buat apa sekarang” sebahagiannya membawa maksud, “Takkan masih menulis lagi, bagaimana boleh hidup selama ini dengan menulis?”

Atau mungkin anda seorang penceramah (atau selama ini disalah erti disebut sebagai “Motivator”) — pertanyaan itu sebahagiannya mengandungi maksud yang tersembunyi, “Boleh cari makan ke dengan menjadi penceramah? Ada impak ke? Ada orang nak dengar?” Yang bertanya itu mungkin mengaitkan ceramah penglipurlara dibandingkan dengan seminar Anthony Robbins, Al-Ries, Laura Ries. Mungkin juga, pertanyaan itu sebahagiannya mengandungi, “Kalau setakat pandai bercakap, bum-bam-bum-bam di depan, surface, ada impak ke? Kalau tak ada impak, bagaimana orang nak datang lagi? Kalau tak ada orang datang, bagaimana nak cari makan?”

Berterima kasih kepada orang yang bertanya begitu kerana mesej penting yang perlu anda beri perhatian serius. Bahkan beri perhatian tak ada gunanya, jika tidak ada tindakan.

Apa mesej penting?

1. Anda belum branding lagi. Seperti cikgu, pekerjaan itu sudah branding — tidak ada atau amat jarang cikgu bertukar-tukar kerja, yang ada bertukar sekolah. Begitu juga dengan pekerjaan-pekerjaan glamour yang menjadi tajuk karangan semasa bersekolah dahulu seperti doktor (bukan Dr. Ayam), jurutera, pensyarah, jururawat, dan lain-lain.

2. Jika anda di dalam bisnes (pekerjaan yang kurang glamour kerana kebanyakannya menjadikan bisnes sebagai ruang untuk melepaskan tersepit) — lagi kerap anda ditanya soalan, “Buat apa sekarang.” Bila sudah sekain lama dalam bisnes, soalannya pula berubah menjadi, “Bisnes apa sekarang?” Jadi, mesejnya sama — bisnes anda belum menampakkan kejayaan, atau anda sering bertukar-tukar jenis bisnes. Cara mengatasinya? Tak perlu bertukar-tukar bisnes — Amalkan “Goes deep”. Sudah lebih 100 tahun bisnes Nestle adalah makanan; Gillete ialah pisau cukur, Standard Chartered adakan banking. Begitu juga dengan Tan Sri S.O.K. Ubaidulla “goes deep” dengan travel agency; Ramli Mokhni dengan burger, Haji Nasuha dengan rempah ratus; G.S. Gill barangan sukan.

3. MLM adalah bisnes jika diusahakan sebagai bisnes. Ia adalah kategori bisnes pengedaran. Sebab itulah di hujungnya disebut “Marketing” — pemasaran. Tapi berapa keratkah yang mahu membawa “Marketing” sekali bila menyebutnya? Yang selalu terdengar hanyalah “Multi-Level” sahaja — kerana itulah juga ramai yang mengabaikan “Marketing.” Kerana itu jugalah mencari orang yang berjaya di dalam MLM seperti mencari gagak putih di kalangan gagak hitam. Branding! Buktikan bahawa anda boleh mencapai kejayaan cemerlang dalam bisnes. Caranya? Yang paling asas — jangan melompat-lompat macam katak — amalkan “Goes deep”. Itu asasnya, kemudian disusuli dengan persepsi — MLM bukan tempat mencari wang mudah. Ia adalah bisnes — bina bisnes dulu sebelum “bina wang”.

Begitulah seterusnya — dalam apa saja bidang — perlu branding, barulah akan menampakkan hasil. Sentiasa mengamalkan “goes deep” barulah nampak impak dari usaha anda selama ini. Bukan untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara. Bukan untuk mengelakkan dari orang bertanya, “Buat apa sekarang,” sebaliknya untuk kejayaan. Apa guna usaha selama ini jika tidak untuk kejayaan?

Jadi lain kali, bila ada yang bertanya, “Buat apa sekarang?” anda mesti berterima kasih kepada yang bertanya kerana ia adalah mesej penting supaya anda bekerja lebih kuat lagi — jika mahukan kejayaan yang lebih dari orang lain, semestinya bekerja lebih dari orang lain.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.