Pada tahun 80-an seseorang bertanya, “Mengapa hanya ada satu bisnes sahaja dalam kepala orang Melayu?” Pertanyaan yang kurang tepat kerana sebenarnya pada tahun-tahun 70-an, 80-an hanya ada 2 bisnes sahaja di dalam kepala orang Melayu. Kini, masih begitu, tetapi hanya tinggal satu sahaja yang terpancar dalam kepala, apabila sebut bisnes.
Kerana banyaknya bisnes (atau penjualan) ini, ia digambarkan sebagai “sejengkal satu” — tiap-tiap sejengkal ada 1 kedai makan atau restoran. Itu yang dimaksudkan — sebut sahaja bisnes — yang terpancar pertama sekali di dalam kepala ialah bisnes (atau berjualan) restoran, kedai makan atau gerai makanan.
Tak percaya? Tanya begini: “Kalau ada modal RM100 ribu, bisnes apa yang kamu nak buat?” Kalau tahun 80-an, ada 2 — sama ada nak menjadi kontraktor atau buka restoran, atau kedua-duanya sekali. Sejak tahun 90-an dan 2000-an, jawapannya hanya satu — “Nak buka restoran.” Bahkan kalau dikurangkan separuh, katalah, “Kalau ada modal RM50,000?” Jawapannya tetap sama — nak buka restoran. (Restoran apa modal RM50,000?)
Seolah-olah hanya ada satu sahaja bisnes di muka bumi Malaysia ini iaitu bisnes restoran. Yang peliknya, mengapa tidak memilih bisnes lain? Tidak lain tak bukan kerana menganggap bisnes restoran itu “mudah” — sediakan makanan, sediakan tempat, pasang TV, pelanggan datang menderu, menyerbu bagai lebah — “Tak menang tangan.” Skrip lazim — “Tadi lagi ramai” jikalau dipuji, “Wah ramai ye.” Harapan, impian, gambarannya begitulah setelah menghadri kursus motivasi — berfikir positif.
Tahun 70-an dan 80-an pula kontraktor dianggap bisnes yang paling cepat kaya. Berduyun-duyun orang Melayu menjadi kontraktor sehingga mendapat keistimewaan “Kontraktor Bumiputera.” Diringkaskan, setelah melihat di sekeliling mereka ramai yang khabarnya menjadi kaya, berduyun-duyunlah mendaftar sebagai kontraktor — dapat 1 projek RM100,000 untungnya RM50,000, setahun dapat 10 projek dapatlah RM500,000.00. Itu yang sentiasa bermain dalam fikiran. Kerana itulah suatu ketika dulu, kontraktor Kelas F dikatakan seperti burung merpati — tabur sebiji beras berebut ratusan merpati. Satu projek direbut oleh puluhan jikalau tidak ratusan kontraktor.
Agaknya, dari mana mereka belajar keuntungan boleh mencecah sehingga 50% itu? Di sekolah bisnes manakah mereka belajar? Sekolah mereka sendiri — modal RM10 jual RM100 untung RM90. Wow!
Bagi bisnes restoran pula, anggapan lain adalah “untung besar” dan kata-kata purbakala, “Semua orang perlu makan, buka saja kedai makan, tak menang tangan.” Tambahan, “Di Kuala Lumpur, jual apa pun laku. Sedap tak sedap tolak tepi.”Ditambah dengan fatwa yang tidak diketahui diambil dari mana, “Pandai masak, mesti restoran maju.”
Tak percaya? Dipersilakan ke kawasan yang baru dibuka. Sebagai contohnya, di Dwi Tasik, Bandar Tun Razak, kawasan yang baru buka. Belum ramai orang dan mungkin bukan tumpuan ramai, terdapat banyak restoran yang baru dibuka dan tepatlah sebagaimana di kata, “sejengkal satu restoran.” Kawasan tak ramai orang, bahkan lebih banyak restoran dari ramainya orang — jadi tak ada pelanggan datang menderu bagaikan lebah sebaliknya, tuan yang empunya hanya “termenung di pinggir kali.” Kalau pun kawasan tersebut ramai dan tumpuan, tetap akan lengang restoran-restoran di situ kerana “sejengkal satu” — berbagi-bagi pelanggan.
Isunya di sini, mengapa di dalam kepala hanya ada satu bisnes sahaja — restoran. Itu yang musykil sedangkan banyak lagi bisnes lain selain restoran. Atau salahkah bisnes restoran itu? Tidak sama sekali. Yang salah ialah membuka apa saja bisnes, termasuk restoran berasaskan dengar-dengar, pandang-pandang, cakap-cakap, memandai sendiri (fatwa sendiri). Yang salah ialah seolah-olah di bumi Malaysia ini tidak ada bisnes lain selain restoran. Yang salah ialah berfatwa sendiri, “bisnes restoran itu mudah.” Di muka bumi ini apabila sebut bisnes, tidak ada satu pun yang mudah. Yang salah ialah apabila menganggap “Bisnes restoran untung besar.” Yang salah ialah menganggap pelanggan akan menyerbu seperti lebah setelah ‘pandang-pandang’ restoran mamak yang penuh sampai di luar. Itulah namanya pandangan menipu — ramai di luar tetapi di dalam restoran kosong.
Paling utama di antara yang terutama ialah belajar dan melaksanakan ilmu pengurusan, walau pun hanya membuka gerai kecil — tetap memerlukan ilmu pengurusan. Bukan bisnes jikalau tidak belajar dan melaksanakan ilmu pengurusan.
Dengan ilmu pengurusan bisnes barulah faham berapa ‘profit margin’ dan juga ‘Hukum nombor’ (law of number). Jadi jikalau dengar-dengar bisnes restoran dengan perolehan RM3,000 sehari, boleh faham berapa untung sebenar, lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang di mana kos bahan mentah dan apa saja kos begitu tinggi. Hendak menaikkan harga makan tidak berani, takut pembeli tak datang, tetapi dalam masa yang sama kos bahan mentah naik sepanjang zaman. Tapi pelik, mamak sesuka hati menaikkan harga makanan, selamba saja. Gula naik, harga teh pun naik sedangkan teh tarik tak pakai gula. Bahkan kalau kenaikan harga gula hanya 10 sen sekilo, mengapa harga teh o yang mengguanakn sedikit gula naik 10 sen juga (atau 20 sen). Tetapi restoran Melayu takut hendak menaikkan harga — rela dengan untung yang sangat nipis (atau rugi) daripada menaikkan harga akibat harga bahan mentah yang melambung tinggi. Perhatikan.
Jikalau belajar ilmu pengurusan bisnes tentu sekali faham RM3,000 itu ialah perolehan. Margin keuntungan antara 10% — 15%. Jadi keuntungan kasar lingkungan RM300. Bagaimana dengan keuntungan bersih? Seterusnya, faham sama ada ia dongeng atau realiti memperoleh RM3,000 sehari. Dari sinilah datang LON (law of number) — jikalau seorang makan RM10.00 perlu ada 300 orang datang makan untuk memperoleh RM3,000. Untuk memperoleh 300 orang makan, perlu ada 3000 orang lalu lalang (10% darinya). Kita ambil peratusan yang rendah kerana bukan hanya 1 sahaja restoran di situ.
Dengan berpandukan ilmu pengurusan bisnes juga akan mengesahkan kata-kata purba memang merosak, “Untung besar, modal kecil, jual mahal. Contohnya teh, berapa sangat modal teh, susu, air panas, tapi jualnya, nah… seringgit lebih.” Atau, “Berapa sen saja ikan mentah seekor, tapi jualnya, nah…” Sebab itulah bisnes ada ilmu khas. Hendak menjawat jawatan tinggi sanggup belajar dari Tadika dampai Universiti, tetapi apabila masuk saja bab bisnes, terus saja bisnes tanpa mahu belajar walaupun hanya sehari. “Ala senang saja…” itu yang berada dalam kepala. apabila masuk dalam bisnes, tidak ada yang mudah atau senang, walau sekecil mana sekalipun bisnes tersebut.
Dengan belajar dan melaksanakan ilmu bisnes, akan memahami bahawa bisnes restoran ini adalah kategori peruncitan. Mana-mana bisnes kategori peruncitan, ‘volume’ memainkan peranan yang sangat penting. Margin rendah. kerana itulah perlukan ‘volume’ yang tinggi.
Orang kata, kalau orang Melayu berniaga restoran, yang kaya ialah bomoh. Tak laku, bomoh yang dicari, Ada pesaing, bomoh juga yang dicari. Dah maju, bomoh juga yang dicari supaya tidak jatuh. Saling tak tumpah seperti pemilihan Ketua Bahagian atau cawangan UMNO atau JKKKP — bomoh saja yang dicari.
Seseorang berkata, “Kedainya kena bomoh, lengang saja, orang cari tak jumpa.” Boleh tanya kembali, “Agak-agaknya, kalau McD, KFC, Secret Recipes, Kenny Rogers, Domino, Nandos, buka di situ boleh kena bomoh tak?” Kalau fokusnya pada bomoh, walaupun hanya selsema tetap akan dikata kena buatan orang atau kena santau atau kena bomoh.
Restoran-restoran makanan segera itu tak payah pakai pelaris atau bomoh tapi larisnya luar biasa. Bagaimana itu? Tahun 2010, perolehan McD Malaysia adalah sebanyak RM1.09 bilion, tanpa pelaris atau bomoh sebaliknya berbekalkan ilmu pengurusan.
Kesimpulannya — di bumi Malaysia ini, bukan hanya ada 1 sahaja jenis dan kategori bisnes, jadi, janganlah hanya fokus kepada bisnes restoran sahaja sedangkan banyak sangat jenis dan kategori bisnes di Malaysia ini. Jikalau sudah ada “sejengkal 1 restoran,” carilah lokasi lain sebagai mengikut jejak langkah 3 rahsia kejayaan McD iaitu, “Lokasi, lokasi, lokasi.” Tak peduli berapa banyak pesaing di sekeliling, asalkan di lokasi tersebut ramai manusia, menjadi tumpuan manusia, mudah didatangi manusia, ramailah yang akan masuk ke restoran. Jikalau sudah ratusan ribu yang lalu lalang di depan kedai (seperti di kompleks), jikalau hanya 10%, agak-agaknya berapa ribu orang yang akan masuk ke kedainya.
Sesudah ditinjau dan dibuat kajian mendalam, masih juga tidak ada peluang untuk meneruskan, buang fokus bisnes restoran itu, carilah bisnes lain. Jikalau masih juga berdegil mahu juga bisnes restoran, buang jauh-jauh ‘dengar-dengar, pandang-pandang, fatwa sendiri, dongeng, penglipurlara’. Bisnes adalah bisnes. Bisnes adalah fakta.
Buang jauh-jauh kata-kata purbakala ditambah dengan fatwa sendiri — “Bisnes restoran itu mudah dan untung besar.” Bisnes adalah fakta bukan fatwa sendiri dan fatwa orang yang tidak pernah bisnes.
Mengatasi segalanya — jangan sesekali ambil ringan, walau sekecil mana sekalipun bisnes yang dijalankan — ilmu pengurusan mesti diperoleh terlebih dahulu dan kemudian dilaksanakan. Bisnes dijalankan bukan menggunakan ‘motivasi-motivasi, berfikir positif’ sebaliknya menggunakan ilmu pengurusan bisnes. Dalam hutan, jikalau ‘main redah’ sahaja tentulah sesat atau diterkam binatang buas. Dalam bisnes, kalau hanya ‘main redah’ akan berakhir dengan kegagalan.