Ini adalah realiti dan pernah dialami hampir semua orang. Semasa dalam pembinaan, hanya kali pertama sahaja ada keinginan ingin tahu. Selepas itu sudah tidak peduli lagi sehinggalah suatu hari ‘tiba-tiba’ bangunan yang cantik muncul entah dari mana-mana.
Soalnya, benarkah ia tiba-tiba? Bukan tiba-tiba tetapi kerana selama ini kita tidak pernah peduli atau ambil tahu dengan pembinaan yang sedang dijalankan. Kenapa kita tidak pernah ambil tahu? Kerana memang itu sikap semula jadi kita manusia.
Hampir setiap hari saya melalui jalan Parlimen (Betulkah Jalan Parlimen?). Padang Merbuk itu terletak di jalan apa? Bagi yang tidak tahu di mana Padang Merbuk, satu yang mesti diingat — jangan cari burung merbuk atau tiang merbuk di situ. Cari tiang ragbi.
Awal tahun 80-an masih kelihatan tiang-tiang tinggi untuk menggantung sangkar burung merbuk. Kerap diadakan pertandingan burung merbuk di situ. Hakim-hakim pertandingan akan berjalan dari tiang ke tiang menilai siulan burung merbuk. Memang tajam pendengaran mereka. Dari bawah tiang pun boleh menilai siulan burung merbuk yang bertenggek di dalam sangkar, tergantung tinggi itu.
Memang ramai peminat bunyi burung merbuk pada masa itu (dan kini) sampaikan disediakan tempat khusus untuk pertandingan. Kini hanya tinggal nama — Padang Merbuk. Dengar khabar, ada burung merbuk yang harganya mencecah puluhan ribu ringgit. Kalau dah minat, jangan cakap soal harga.
Jadi, buat pertama kalinya, saya terlihat bangunan yang tinggi seberang jalan, dalam semak-semak, setentang dengan Padang Merbuk itu. Selama ini lalu tetapi tidak pernah menyedari wujudnya bangunan tinggi dan cantik di situ. Apa nama bangunan itu? Di mana? Bila ia di bina? Tiba-tiba soalan-soalan itu datang.
Di tepi Bangunan Sogo pula, ada sebuah bagunan yang baru siap. Pun sama, baru sekarang ini terlihat bangunan tersebut, tinggi dan cantik. Selama ini tidak pernah ambil peduli dengan bangunan tersebut semasa dalam pembinaan. Apabila telah tersergam barulah tertanya-tanya, “Eh, bila masa bangunan ini dibina? Tak perasan pula selama ini.” Bukan tak perasan tetapi tak pernah peduli.
Ingin saya menyampaikan mesej di sebaliknya. Bahawa sesungguhnya, sikap semula jadi manusia ini tidak pernah mahu tahu atau enggan percaya selagi tidak wujud di depan mata. Semasa dalam pembinaan (termasuk pembinaan diri dan kejayaan) tak akan ada sesiapa yang mahu percaya dan peduli. Cakaplah apa saja, orang mungkin hanya mengangguk tetapi selepas itu tidak peduli atau melupakannya sahaja.
Zaman sekarang, zaman dahulu, orang muak dengan cakap-cakap sahaja. Bahkan diri kita sendiri menjadi muak dengan cakap-cakap kita sendiri. Kita hanya kagum dengan hasilnya sahaja. Kita hanya mengkagumi hasil, tidak pernah mengkagumi cakap-cakap atau sesuatu yang masih dalam pembinaan.
Bagaimana mengatasinya? Tak payah cakap-cakap. Hentikan cakap-cakap, sebaliknya tumpukan terus kepada pembinaan. Komitmen hanya satu: bina sampai siap, bukan setengah siap. Apabila sudah siap, terbukti di depan mata, hasil itu akan ‘bercakap’ dengan sendirinya. Anda boleh bercakap dari timur ke barat, heboh memberitahu umum, nak beli Ferrari. Orang akan angguk atau mencebik. Selepas itu, selepas bertahun kemudian, imej anda akan menjadi buruk jikalau hanya mampu membeli model Ferrari di stesen minyak. Orang yang akan mencemuh. Cakap apa pun orang tidak percaya. Itulah kesan buruk dari cakap-cakap.
Kita lihat sebaliknya: tahan sahaja mulut dari bercakap, sebaliknya biarkan “cakap-cakap” itu sentiasa berulang-ulang di dalam diri setiap hari sebagai mengingatkan “mesti beli Ferrari”. Tak keluar di mulut tetapi hanya bergema di dalam diri. Sampai masa, cukup kemampuan, anda membeli Ferrari. Lihat dan dengar sendiri bagaimana Ferrari itu ‘bercakap’ bukan anda yang bercakap. Cakap sendiri mungkin tak laku, tapi ‘cakap’ Ferrari itu lebih laris.
Begitu juga, jikalau anda sedang membina banglo. Hanya apabila banglo tersebut telah siap, barulah banglo itu ‘bercakap’ sendiri. Begitu juga dalam hidup ini. Sepanjang hidup ini adalah pembinaan. Tidak perlu untuk menghebahkan pembinaan itu melalui ‘cakap-cakap’. Jika cakap itu penting sangat, tunggulah, hasil pembinaan itu akan ‘bercakap’ sendiri. Mana satu cakap yang laku? Cakap mengenai pembinaan atau cakap mengenai hasil?
Memang begitulah hakikat di muka bumi ini. Manusia hanya hendak melihat hasilnya dan lebih percaya jikalau hasilnya terbukti di depan mata. Hasil yang ‘bercakap’ bukan pembinaan yang ‘bercakap’. Cakap pembinaan tidak laku, apatah lagi cakap-cakap tanpa pembinaan.
Jadi, supaya diri kita sendiri tidak merosakkan diri kita sendiri, ‘kunci’ mulut dengan rapat dan teruskan pembinaan.