Jikalau sudah terdidik sedari kecil, tidak akan ada rasa terpaksa. Jikalau sudah belajar berpuasa, dididik sejak usia 7 tahun, tidak akan ada rasa terpaksa kerana sudah terbiasa. Yang tak berpuasa dan juga ada rasa terpaksa berpuasa itu kerana tidak ada didikan sejak dari kecil lagi. Atau tidak konsisten — latihan berpuasa itu tidak diteruskan. Atau tidak ada sebarang galakan dari ibu bapa untuk meneruskan latihan tersebut.
Terpaksa atau tidak, Ramadan tetap datang. Yang gembira dengan kedatangan Ramadan, Alhamdulillah, akan melaksanakan ibadat Rukun Islam ke 2 dengan gembira dan berbesar hati. Ramadhan datang setahun setahun sekali, bukan setiap bulan. Bulan yang dipenuhi dengan kebaikan dari 1hb hingga 30hb ini semestinya dialu-alukan kedatangannya.
Yang rasa terpaksa akan bermasam muka, resah gelisah dengan ketibaan Ramadhan. Mereka tidak gembira langsung melaksanakan Rukun Islam ke 2 ini. Perhatikan betul-betul dan percayalah, orang-orang sebeginilah yang menjadikan ‘Umrah’ itu sebagai ‘Rukun Islam’. Lihat dengan dekat, percayalah, mereka lebih gembira melaksanakan ‘Rukun Islam’ ciptaan mereka sendiri (Umrah) berbanding melaksakanan kelima-lima Rukun Islam ciptaan Allah. Sembahyang jauh sekali, berpuasa dengan rasa terpaksa, tak tahu zakat itu adalah Rukun Islam, menunaikan Haji kalau boleh dihindari tiba-tiba sangat cergas dan suka mengerjakan ‘Umrah’.
Sebab itu ramai yang kata, di Malaysia ini, Rukun Islam yang ke 5 ialah ‘Umrah’ bukan Haji. Umrah didahulukan, diutamakan, Haji dikemudiankan. Daftar Haji tidak pernah, cita-cita hendak pergi Haji tak pernah, selalu cakap, “Belum ada seru” tiba-tiba amat cergas pergi mengerjakan Umrah. Itulah yang berlaku di Malaysia terutama pada mereka yang merasa dirinya artis. Sesudah itu dengan bangganya mereka mengatakan, “menunaikan Umrah” sedangkan sebutan yang betul ialah “mengerjakan Umrah” kerana ia bukan wajib, sunat sahaja. Ada lagi yang lebih pelik menyebut, “Pergi Umrah untuk menyucikan diri.”
Berbalik kepada puasa. Pendek kata, suka atau terpaksa, Ramadhan tetap datang. Begitulah sebenarnya. Suka atau tidak suka, “Life goes on”. Kalau tidak bagaimana? Nak minta Allah ‘postpone’ bulan Ramadhan? Orang yang bijak adalah orang yang sentiasa bersedia. Bersedia sejak dari kecil untuk menjalani ibadah puasa. Ibu bapa juga mestilah bersedia sejak anak-anak kecil lagi supaya mereka berlatih berpuasa. Persediaan ibu bapa ialah melatih anak-anak berpuasa sejak masih kecil lagi.
Sepatutnya yang ‘terpaksa’ ialah melakukan Umrah, bukan berpuasa. Kenapa? Kerana ia amalan songsang di Malaysia. Tentulah rasa terpaksa melakukan amalan songsang — mengutamakan Umrah dan mengenepikan Haji. Sesiapa yang suka melakukan amalan songsang sebenarnya dialah yang songsang.
Benar Rasulullah pernah mengerjakan Umrah sebelum Haji tetapi hendaklah dilihat pada suasana dan kesempatan pada masa itu. Bandingkan suasana dan kesempatan pada masa sekarang — mengapa masih mendahulukan Umrah menenggelamkan Haji? Mengapa beria-ia berulang-ulang dengan cergas mengerjakan amalan sunat tetapi amat keberatan melaksanakan Rukun Islam ke 5 yang wajib?
“Kerana Allah” adalah pegangan seumur hidup dalam melaksanakan ibadah dan kehidupan. Bahkan kehidupan ini pun, jikalau difahami, ialah ibadah. Ramai yang salah sangka — ibadah itu ialah sembahyang, puasa, Haji, zakat sahaja. Apa-apa kebaikan yang kita lakukan adalah tergolong di dalam ibadah. Jadi, apabila menetapkan “Kerana Allah” maka segala kebaikan yang kita lakukan adalah ibadat. Apa itu “Kerana Allah”? Tak payah pusing ke sana sini — “Kerana Allah” adalah “sebab Allah yang suruh” — “Kita buat saja sebab Allah yang suruh buat, tak payah nak soal jawab.” Mudah sahaja istilahnya, tak payah nak dipersusahkan, belit-belit sambil dengan bangganya menyebut kitab-kitab yang kononnya telah ditelusuri dan melakukan perincian pada kitab-kitab tersebut.
Apa saja perintah Allah akhirnya adalah untuk kebaikan kita sendiri. Apa saja kebaikan dan ibadah yang kita lakukan setiap hari sebagai memenuhi “kerana Allah” adalah untuk kita semua kerana kita yang memerlukan Allah, bukan Allah memerlukan kita. Tidak ada satu pun yang kita lakukan adalah untuk “memenuhi keperluan Allah” kerana Allah tidak memerlukan kita. Jadi, puasa yang dianggap menyusahkan (bagi setengah orang) adalah kebaikan untuk diri kita sendiri. Senang cerita — kita berpuasa, kebaikannya Allah kembalikan kepada kita. Jadi perlukah rasa ‘terpaksa’ apabila kita akan memperoleh kebaikan yang melimpah-ruah? Ibarat sahaja terjadi longgokan duit percuma di depan rumah kita, diperuntukkan untuk kita, adakah kita terpaksa untuk mengambilnya?
Apakah kebaikan-kebaikan tersebut? Jangan dicari, jangan ditanya kerana nanti luntur atau hilanglah “kerana Allah.” Jika dicari dan ditanya bimbang nanti kita berpuasa bukan “kerana Allah” sebaliknya kerana mengejar pahala dan kebaikan yang dijanjikan. Cukuplah kita percaya bahawa Allah menyediakan kebaikan dalam setiap ibadah dan kebaikan itu akan dikembalikan kepada kita. Itu saja yang perlu kita yakini, bukan mencari-cari, bertanya-tanya kebaikan tersebut.