Razzi Armansur

Doktor… ini barang Amerika…

Saya menerima private message di Ukhwah.com yang bertanya tentang bendera Amerika yang saya gunakan. Sejak saya mengasaskan Ukhwah.com, saya sudah menggunakannya. Konon ceritanya, yang mengirim mesej itu tak berkenan dan nak boikot segala rupa yang ada kaitan dengan Amerika, termasuklah grafik kecil bendera.

Memang Amerika jahat. Tapi perlu diberitahu, tak semua yang dari Amerika itu tidak baik. Samalah halnya tak semua dari Arab itu Islam. Tak semua dari Timur Tengah itu baik. Islam apa kalau menari, menyanyi dengan gaya menghairahkan dengan skirt pendek, berbahasa Arab dan menyebut, “Norhisham, anta Muhammad Habibi…..” Ha.. inilah Islam, kata setengah orang. Islam kena begini.

Asal saja berbahasa Arab itu Islam ? kata mereka yang sempit dan menyempitkan fikiran. Tak semua yang menjadi tetamu Allah di musim haji itu sopan dan berakhlak, walau sepatutnya begitu sebagai orang Islam. Kalau betul negara-negara Arab itu mengamalkan Islam sebenar dan baik ? sudah lama perang Palestin-Israel tamat. Dengan kekayaan negara-negara Arab, sekelip mata saja boleh melenyapkan Israel dan menaikkan Palestin ? kalau negara-negara Arab bersatu dan membantu Palestin. Pernah mendengar negara Arab bersatu?

Saya suka buku, tulisan, ilmu-ilmu yang tidak bertentangan dengan Islam dari Amerika. Penulis-penulis yang saya minati semua dari Amerika. Filem-filem epik semua dari Amerika. Melainkan penerbit dan pengarah filem tempatan boleh membuat filem sehebat “Empire Of The Sun” barulah saya tidak meminati filem Amerika ? sebab saya ada pilihan lain.

Kalau penulis Malaysia boleh menghasilkan buku non-fic sehebat Anthony Robbins, Al-Ries & Jack Trout, John Grinder, Richard Bandler, saya akan mengubah haluan membaca buku non-fic Malaysia. Kalau novelis Malaysia boleh menghasilkan novel sehebat Sidney Sheldon, John Grisham saya akan boikot novel Amerika. Boleh? Kalau penceramah tempatan menghentikan ceramah penglipur lara dan menggantikan dengan ceramah ilmu pengurusan seperti Tom Peter, saya akan duduk di baris paling depan.

Boikot? Dari dulu terdengar boikot barangan Amerika. Saya amat setuju tetapi bersyarat. Sediakan saya alternatif. Saya boleh mengisi minyak di Petronas tanpa pergi ke Standard Oils (Esso) atau British Petroleum (BP). Minyak ada alternatif. Tapi saya suka Coca-Cola dari rasanya sampailah kepada sejarahnya. Kisah bagaimana Dr Pamperton menjual resipi Coca-Cola ada saya tulis dalam buku pertama saya, “Rahsia Dari Damansara.” Kalau saya tak minum Coca-Cola saya kena minum Cola apa? Pepsi Cola? RC? Campa-Cola (nampaknya saya kena pergi India)? Kabarnya di Malaysia dah ada Cola ? Peace Cola tapi tak pernah nampak pun.

Alternatif. Kalau ada alternatif sudah tentu kita boleh boikot. Dengan asakan dan strategi pemasaran mereka yang luar biasa ? berapa orang sajakah yang mampu memboikot? Dari dulu kita biasa dengar ajakan memboikot KFC. Agak pelik juga, mengapa makanan segera lain yang juga dari Amerika seperti McDonald, Burger King, Famous Amos, Starbuck dan puluhan yang lain tidak pernah terdengar ajakan untuk memboikotnya? Sampai di sini kita kena fikirkan sendiri. Benarkah ia ajakan boikot atau propaganda dari penanding?

Agak pelik lagi dari dulu tak pernah terdengar ajakan memboikot Amway yang sememangnya gaya Amerika sebenar. Pelik? Jangan pelik sebaliknya fikirkan mengapa? Begitu juga dengan Shaklee? Apa cerita pula Pizza Hut. Apa cerita Hotel Hilton? Apa cerita ubat-ubatan yang di farmasi? Hanya syarikat tertentu yang diserang. Pernah dengar ajakan untuk memboikot Pepsi-Cola? Amat jarang atau langsung tak terdengar. Mengapa hanya Coca-Cola sahaja yang diserang? Fikirkan.

Mengapa hanya terdengar boikot KFC sedangkan saingan terdekatnya McDonald terselamat dari ajakan boikot? Mengapa? Fikirkan. KFC adalah syarikat tempatan yang memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Mana-mana lepasan sekolah atau universiti yang dididik menjadi pendita oleh sistem pendidikan Malaysia, bolehlah bekerja di KFC atau Ayamas. Keuntungan KFC tidak dibawa keluar ke Amerika 100%. Pihak KFC Malaysia hanya membayar royalti sahaja kepada Amerika. Sebahagian besar pendapatan dikembalikan kepada rakyat Malaysia. Sama halnya dengan McDonald, Amway, Esso dan lain-lain. Itulah namanya francais.

Apa namanya kalau memboikot sebahagian tetapi tidak memboikot yang lain? Istilah munafik bolehkah digunakan? Rasanya keterlaluan. Apa yang saya maksudnya ? nampaknya rakyat Malaysia tak payahlah melayari internet sebab kita sedang memboikot Amerika. Internet berasal dari Amerika ciptaan manusia bernama Leonard, 40 tahun dulu. Browser (apa istilah Dewan Perosak Bahasa untuk Browser?) yang digunakan untuk melayari internet juga dari Amerika. Kalau ada ciptaan Malaysia, seratus peratus, kita tak akan gunakan lagi browser IE, Netscape, Firefox, Opera. Itu semua produk Amerika.

Munafikkah kita kalau melaung-laungkan boikot produk Amerika tetapi menggunakan e-mel Yahoo, Hotmail, Gmail? Pura-purakah kita jika kita melaung-laungkan boikot tetapi kita menggunakan Google untuk carian?

Suatu hari, katalah kita akan dibedah oleh doktor sebab penyakit yang kritikal. Tapi sebelum itu kita diberitahu oleh doktor bahawa kebanyakan peralatan perubatan dan pembedahan adalah dari Amerika, British, Jerman. Sarung tangan plastik mungkin dari Olak Lempit, Banting, tapi peralatan penting tidak ada satu pun buatan Malaysia. Kita sedang memboikot barangan Amerika, adakah kita akan berkata, “Doktor, ini produk Amerika. Doktor carilah pisau, lampu, laser, jarum, apa-apalah yang buatan Malaysia. Saya tak rela kalau doktor bedah saya dengan menggunakan produk Amerika.” Boleh?

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.