Razzi Armansur

Hanya 5 yang kekal

Dua perkara ini, mati dan inflasi, pasti akan dialami oleh semua orang, di Malaysia, di seluruh dunia. Itulah juga asas pengurusan kewangan. Mesti berasaskan inflasi, bukan berasaskan motivasi dan cakap-cakap. Mengapa? Kerana dari inflasi kita mendapat satu lagi elemen penting dalam pengurusan kewangan — jumlah dan nilai. Ini amat penting sekali.

Nilai wang, mahu tidak mahu, setuju atau tidak setuju pasti akan susut. Jumlahnya kekal sama, nilainya pasti susut dengan adanya inflasi. Berpijak di bumi nyata — konon memiliki wang sebanyak RM1 juta dan bergelar jutawan tetapi nilainya mungkin cuma RM500,000 sahaja. Jumlahnya kekal RM1 juta tapi nilainya cuma RM500,000 kerana adanya inflasi. Itulah hakikat yang tidak boleh ditutupi oleh ‘motivasi’, penglipurlara dan cakap-cakap. Berpijak di bumi nyata. Jikalau bercakap tentang pengurusan wang, kekayaan, kemiskinan, mestilah tidak boleh lari dari ‘inflasi, nilai dan jumlah’.

Habis cerita. Tidak ada yang kekal. Nyawa kita pasti tamat suatu hari nanti. Inflasi tidak akan kekal kecil, ia makin mebesar. Jika pernah terdengar inflasi menguncup atau mengecil, itu adalah retorik dan temberang semata-mata. Nyawa menguncup (maksudnya, kita menuju kematian), tetapi inflasi makin membiak, membesar.

Nyawa tidak kekal. Namun, mesti diingat, “Ia belum berakhir, selagi belum berakhir.” Sabtu lepas saya bertanya kepada sahabat di sebelah dari Tingkat 8 Hospital Sungai Buluh, “Kalau aku terjun, mati tak?” Jawapannya mudah, “Kalau belum ajal, tak akan mati walau remuk.” Jadi bagaimana dengan fitrah dan takdir? Fitrahnya, kalau terjun dari tingkat 8, pasti mati. Tetapi mengapa pula ditakdirkan belum mati? Rumit kan bab takdir ini? Lebih-lebih lagi jikalau berkalitan dengan maut dan jodoh. Jawapan sahabat tadi, “Jikalau belum ditakdirkan mati, pasti sentiasa ada halangan untuk terjun.” Fitrahnya jikalau terjun akan remuk dan mati tetapi takdirnya adalah halangan, gerak hati dan sebagainya untuk terjun menyebabkan tidak jadi terjun. Atau remuk-redam tetapi tidak mati.

Apa lagi yang tidak kekal? Hampir semua perkara di dunia ini tidak kekal. Jangan bersedih. Keburukan, kedukaan tidak pernah kekal. Kegembiraan pun tidak akan kekal sebagaimana kata peribahasa Cina, “Kedukaan dan kegembiraan sama sahaja, ia tidak kekal.”

Selain 5 ini, yang lain tidak kekal: Allah, syurga, neraka, amal baik, amal jahat. Semuan musnah pada hari Kiamat kecuali 5 itu.

Apa kaitan dengan cerita saya hari ini. Kaitannya ialah mengenai sahabat yang dilanda kesusahan. Sebagai sahabat, menjadi tanggung-jawab kita menenangkan dan memberi nasihat tanpa berat sebelah, hanya jikalau pandangan, penenang dan nasihat kita diperlukan. Jikalau tidak dikehendaki, jangan memandai hendak memberi pandangan dan nasihat.

Seseorang pernah berkata, “Apabila seseorang mendatangi kita meminta nasihat sebenarnya dia hanyalah memanjangkan masalahnya atau meluahkan masalahnya bukan menghendaki nasihat.” Tidak percaya? Percayalah. Cukuplah dengan memasang telinga memberi tumpuan kepada luahan hatinya. Itulah sebaik-baik ‘nasihat’ melainkan ditanya, “Apa yang perlu saya buat?” Namun, sepanjang diketahui, pertanyaan seumpamanya adalah seperti beristeri 4 — kadang-kadang saja kita dengar.

Kisahnya, Jumaat lepas, bertemu sahabat yang lama tidak kelihatan ini, tetapi namanya menjadi sebutan di saentero Malaysia. Saya pula tersepit di antaranya kerana saya berkawan baik dengan suami (Akhil Hayy) dan isteri (Maizawati)

 

Balik dari sembahyang Jumaat, terlihat kereta Murano hitam yang sangat kukenal, di tepi jalan. Ketuk cermin tingkap kereta, soalan pertama saya, “Mana menghilang?” Dan jawapan lazim, “Ada..”

Akhil sedang bersedih. Rumah tangganya bergolak. Nampaknya rumah tangga bergolak adalah sesuatu yang amat biasa pada hari ini. Tetapi apabila rumah tangga orang seperti Akhil bergolak, ia menjadi tumpuan dan dihebohkan oleh media.

Setiap sesuatu bersebab. Namun dalam bab jodoh dan maut, walaupun tanpa sebarang sebab, ia boleh terjadi. Tetapi bab rezeki, perlu bersebab untuk memperoleh rezeki. Wang tidak terus melayang masuk ke dalam poket atau bank akaun.

Namun selalunya, apabila rumah tangga bergolak, masing-masing akan mencari kesalahan masing-masing. Itulah silapnya. Sepatutnya carilah puncanya dan selesaikan punca tersebut.

Saya tidak mungkin, tidak sama sekali akan campur tangan dalam rumah tangga orang. Hanya melihat dari jauh dan mendoakan hanya yang terbaik. Jikalau perceraian itu adalah yang terbaik untuk masa depan, maka itulah keputusannya. Kita tidak tahu apa agenda Allah SWT terhadap perkahwinan kita ini. Yang kita sangkakan baik belum tentu baik; yang kita sangkakan tidak baik belum tentu tidak baik. Kerana itu dikatakan, “Allah lebih mengetahui.” Masalahnya, tidak ramai yang percaya, sedangkan dikatakan, “Tidak ada sehelai daun yang gugur di seluruh cekerawala (bukan hanya bumi) tanpa ketahuan Allah SWT.” Ramai yang menyangka Allah tidak tahu akan kewujudan internet, e-mel, YM, friendster, mukabuku (facebook), ukhwah.com, hanan.com.my dan sebagainya. Itu masalahnya.

Jadi, kepada Ustaz Akhil Hayy, saya menenangkan kedukaannya. Bukan hendak memperbetulkan yang bengkok, sebaliknya, sebagai sahabat menjadi tanggung jawab untuk menenangkan. Itu saja. Menenangkan, menngembirakan, tak lebih dari itu.

“Di Malaysia ini Ustaz, manusianya sudah menjadi cepat sangat lupa. Siapa yang masih ingat lagi Bangunan Jaya Supermarket runtuh? Bangunan itu tempat saya bercinta masa remaja dulu Ustaz. Banyak kenangan. Mengapa? Saya tak tahu mengapa manusia Malaysia cepat sangat lupa sekarang. Lepas itu stadium yang runtuh di Terengganu pun ramai yang dah lupa. Jadi Ustaz tak perlu risau, esok lusa orang dah lupa dengan kisah rumahtangga Ustaz. Kenapa? sebab masing-masing ada masalah masing-masing, tak ada masa nak ingat akan kisah dan masalah orang lain.”

“Media memang begitu. Terutama media hiburan. Kalau tak, takkan laku majalah, surat khabar, airtime mereka. Tapi ingat Ustaz, usia surat khabar hanya sehari, majalah sebulan, buku sepanjang hayat. Orang dah lupa pun… Mana ada masa nak ingat. Bagi setiap orang, masalah sendirilah paling besar.”

“Kata Sidney Sheldon, ‘Nothing Last Forever’. Melalui masa, orang lupa. Kalau di Malaysia ini, lebih cepat sangat lupanya. Sehari sahaja sudah dikatakan basi, dah tak minat lagi walau diungkit. Dah menjadi perkara membosankan.”

“Kata peribasa Cina, “Dalam apa jua keadaan ada kerugian dan keuntungan. Contohnya jerebu seperti sekarang ini. Ada yang rugi dan ada yang mengaut untung. Doktor, pengilang dan penjual topeng hidung yang untung. Contoh lagi, kerusi DS Nizar dirampas di Perak, tetapi untungnya, beliau makin terkenal dan ramai yang meramal beliau selayaknya menjadi perdana menteri Malaysia. Ada keuntungan yang menanti Ustaz dan Maizawati.”

“Walau apa pun terjadi, Ustaz, anak adalah keutamaan.” Saya mengesyorkan.

“Betul. Perkahwinan ibarat kontrak. Sampai masa kontrak boleh batal. Tapi anak tak ada kontrak dan tak ada batal.” Kata Ustaz Akhil Hayy sambil mengacau teh O kesukaannya.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.