Razzi Armansur

Hanya kerana 3 angka penting

Hari ini kita akan bercakap tentang jam tangan. Lebih istimewa ia jam tangan yang dipakai oleh James Bond. Rekabentuknya berubah-ubah sejak filem Dr. No hingga Quantum Of Solace. Tetapi, jenamanya kekal: Omega.

Apabila kita menyebut tentang jam mahal, ramai yang mengatakan Rolex adalah jam yang mahal. Begitulah ‘branding’nya, sesuai dengan kata-kata dari Pengerusi Rolex, “Saya tidak menjual jam, sebaliknya saya menjual kemewahan.” Begitu ‘branding’nya, sesuai dengan istilah sebenar branding iaitu, “Apa yang pertama kali terpancar di fikiran apabila disebut sesuatu produk atau perkara.” Apabila disebut “jam mahal” serrta-merta terpancar “Rolex” walaupun ada banyak lagi jenama lain yang tidak pernah didengar tetapi jauh lebih mahal dari Rolex. Omega misalnya, ada menyediakan jam tangan yang lebih mahal dari Rolex.

Kisahnya, pada suatu hari di kedai kopi terjadi kisah lucu yang membawa moral, “Jangan menyangka siapa pun di depan kita ini bodoh. Lebih selamat bersangka orang yang di depan kita ini lebih cerdik.” Datang seorang yang sememangnya ‘putar alam shah, kaki kelentong.’ Sedang seorang kawan lagi bercerita tentang kenalan yang memperolehi hadiah jam tangan, si kaki kelentong dengan serta-merta berserta kebanggannya tersendiri bercampur kelentong agungnya berkata, “Apa hairan, Sultan Brunei bagi saya Rolex.” Telinga saya tiba-tiba panas, terus bertanya, “Mana?” “Ada di rumah” Katanya. Sahih memang kaki kelentong sentiasa kelentong dan boasting seolah-olah Sultan Brunei itu abang dia.

Saya pun bercadang nak kelentong juga, tapi tahan saja, “Ooo.. Queen Elizabeth ada hadiahkan saya Patek Phillipe. Tahu Queen Elizabeth? Tahu jam tangan Patek Phillipe?”

Kembali kepada kisah jam tangan Omega Semaster yang dipakai oleh James Bond dalam filem Casino Royale dan Quantum of Solace.

Beberapa hari lepas saya terpandang iklan jam tangan Omega di sebuah kedai jam di One Utama. Naik saja eskalator dari tempat letak kereta (old wing), pandang ke kanan akan terlihat kedai jam tersebut, dengan muka Daniel Craig terpampang di depan kedai. Serta-merta saya masuk ke dalam kedai tersebut kerana iklan tersebut ada kaitan dengan James Bond.

Saya masih terlalu musykil sehingga hari ini. Kedai jam tersebut rasanya sudah wujud sejak One Utama mula dibuka pada tahun 1995 dan tentunya telah mengalami beberapa kali masalah kemelesetan ekonomi. Yang dijual adalah produk mewah dan sepanjang yang saya lihat kedai tersebut lengang. Persoalannya: bagaimana kedai jam mewah yang sewa dan overheadnya mencecah puluhan ribu itu dapat bertahan? Inilah yang perlu dikaji oleh usahawan.

Apa yang ingin saya tekankan di sini sikap jurujual kedai tersebut. Saya disambut dengan riang walaupun saya tidak membeli, hanya sekadar melihat jam tangan James Bond yang mana fanatik James Bond seperti saya ini sanggup mengeluarkan belanja (bagi yang mampu) untuk membeli apa saja produk yang ada kaitan dengan James Bond. Yang mungkin tidak boleh dibeli sewenang-wenangnya ialah pistol Walther PPK.

Dengan riang dan gembiranya pekedai tersebut menunjukkan kepada saya, menyuruh saya menyentuhnya jam tangan Omega Seamaster 2531.80, membuatkan saya menjadi teramat ingin memilikinya serta-merta. Dengan ramah mesra jurujual tersebut menerangkan kelebihan jam tersebut.

Menurut jurujual tersebut, harga jam tangan James Bond itu adalah RM11,000.00. Harga asal lingkungan RM10,000.00. Oleh kerana ia ‘edisi terhad’ dan ada angka 007, harganya meningkat menjadi RM11,000.00. Jadi, lihatlah, hanya kerana 3 angka penting (nombor rahsia perisik M-16 bernama James Bond) jam itu naik harganya RM1,000.00 bagi menunjukkan betapa pentingnya dan begitu eksklusif sekali jam tersebut. Bagi fanatik James Bond, tidak menjadi masalah menambah RM1,000.00 asalkan menjadi ‘sebahagian’ dari James Bond.

Begitulah kisahnya, bagaimana kehebatan jurujual berbangsa Cina melayani pelanggan walaupun tidak membeli. Suatu hari, jika misalnya saya mendapat ‘duit terpijak’, saya akan membeli jam tangan James Bond di situ. Jikalau ada sahabat saya yang hendak membeli jam James Bond, pasti akan saya syorkan kedai tersebut. Atau mungkin, jikalau ada yang hendak menghadiahkan jam tersebut kepada saya, sudah pasti saya akan mengesyorkan kedai tersebut. Jadi secara tak langsung, jurujual tersebut telah berjaya menjual selain menambahkan lagi kemahirannya menjual produk mahal. Saya juga mempelajari banyak pendidikan penting dari jurujual tersebut dengan percuma. Memang tepatlah kata pakar pengurusan, “Kerana pelanggan, wujudlah bisnes.” Bukan sebaliknya.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.