Setuju atau tidak kalau saya katakan, setiap hari, sepanjang masa kita terpedaya dengan helah pihak tertentu. Kadang kita lupa untuk mempertahankan diri dari terpedaya. Selalu sangat kita terlupa dengan ungkapan, “Akan ada yang memperdaya selagi kita rela dipedaya”.
Melangkah ke hypermarket, ada helah. Melangkah ke farmasi pun ada helah. Helah utama di sini ialah diskaun. Masuklah ke hypermarket dan teliti betul-betul — tidak ada sebarang diskaun sebaliknya hanya helah. Harga sebelah sini diturunkan, harga sebelah sana dinaikkan. Atau naikkan harga sekali ganda kemudian beri potongan 50% balik kepada harga asal — kita pun gembira sebab dapat ‘diskaun tipu’ 50%.
Kemudian masuk ke farmasi. Ada kupon. Kita gembira dan memotong kupon tersebut. Kupon tersebut adalah potongan harga untuk produk terpilih. Sekali lagi kena pedaya dengan helah farmasi. Harga asal RM10, kemudian dinaikkan RM15, dihulurkan kupon potongan RM5, harga balik semula kepada RM10. Relakah kita diperdaya? Rela atau tidak rela, kita sudah dipedaya setiap hari.
Di hypermarket kita lebih mudah diperdaya kerana produk di dalam hypermarket melebihi puluhan ribu, menyebabkan kita tidak sedar produk mana yang dinaikkan dan diturunkan. Di Farmasi pula, akan lebih berhati-hati kerana produknya tidak sebanyak hypermarket. Mereka berhati-hati agar helah mereka tidak diketahui. Salah satu caranya ialah sehingga lupa. Maksudnya, sesuatu produk itu hanya boleh ‘dihelahkan’ sebanyak 2 kali setahun. Cuba perhatikan betul-betul. Setuju?
Dalam pemasaran dan penjualan ada psikologinya sendiri. Mereka berpegang kepada ‘Lebih banyak yang dilihat, lebih banyak yang akan dibeli’. Susun atur produk menjadikan anda ingin membeli walaupun tujuan asal bukan untuk membeli produk tersebut. Begitulah tugas pegawai pemasaran. Mari bandingkan dengan kononnya pegawai pemasaran di dalam syarikat MLM. Tidak ada apa yang dibuat untuk melariskan produk sebaliknya hanya duduk melangut dan berbual-bual kosong. Atau untuk nampak sibuk akan membawa kertas ke hulu hilir. Tak percaya? Singgahlah di syarikat MLM kecil-kecilan. Bahkan, anda boleh bertanya kepada mereka apa perbezaan pemasaran dan penjualan ? pasti mereka akan hanya nganga atau memberi jawapan yang berbelit-belit.
Jangan terpedaya dengan helah baru untuk mendapatkan nama dan alamat anda dengan tepat. Sejenis manusia yang tidak beretika menggunakan helah untuk mendapatkan nama dan alamat anda dengan tepat. Berhati-hati, jangan sampai terkena. Kelompok manusia ini perlu diajar sebab mereka tidak beretika.
Sekali nama, alamat dan nombor telefon anda di tangan mereka, mudah sekali nama itu digunakan untuk tujuan apa saja, termasuk tujuan yang tak elok. Yang malangnya, bila terjadi satu-satu hal yang tidak elok berlaku akibat dari helah tersebut, anda tidak dapat mencari mereka kerana nombor telefon yang keluar di telefon bimbit anda ialah PRIVATE. Saya akan tunjukkan cara untuk mengajar mereka, atau cara untuk mengelakkannya.
Ada 2 cara atau helah yang kerap digunakan. Berhati-hati:
1. Helah pertama ialah menghantar sesuatu untuk anda. Dari mana mereka dapat alamat anda? Sama ada dari nombor telefon rumah atau dari helah lain. Mungkin anda pernah mengisi borang peraduan helah. Mungkin melalui helah satu lagi yang akan saya terangkan selepas ini.
Helah yang pertama ini, saya rasa lebih kepada mengesahkan sesudah helah yang lain. Tidak pasti. Tak rugi bersedia.
Datanglah seseorang ke rumah atau pejabat anda berlagak seperti penghantar cepat. Dia akan mengesahkan, ‘Encik Terpedaya’? Jangan terus jawab, sebaliknya tanya balik (soalan dijawab soalan), ‘Ada apa’?
Dia akan menghulurkan sampul surat. Di sampul surat tersebut adalah nama anda. Jangan sekali-kali terus terima, sebaliknya lihat siapa pengirimnya. Selalunya tidak ada nama pengirim. Jika ada nama pengirim, anda mestilah terus mengambil telefon dan menelefon pengirim tersebut untuk mengesahkan. Mesti buat, jika tidak anda menyesal nanti.
Jika tidak ada nama pengirim, tanya kembali kepada penghantar, “Dari siapa ini?” Yang paling pasti, si penghantar akan mengatakan, “Saya tak tahu.” Bentak dengan kuat, “Tak tahu? Kamu tak tahu? Kamu jumpa di mana? Tepi jalan dan hantar ke sini?” Anda memang ada hak untuk membentak kerana dia menjawab “Tidak tahu.” Melainkan dia menjawab dengan tepat, “Saya penghantar dari syarikat peguam “Bengong & Bengong,” anda tidak perlu membentak sebaliknya meminta nombor telefon syarikat peguam Bengong & Bengong itu. Sekali lagi, kalau dia menjawab tidak tahu, anda boleh membentaknya.
Selepas itu, anda boleh menyuruh dia balik. Sopan santun? Lupakan dulu sopan santun sebab tetamu menggunakan helah untuk memperdaya anda. “Pergi balik, kamu tulis nama pengirim, lepas itu baru hantar ke mari. Boleh? Kalau tak boleh, poskan saja.”
Tahu apa kandungan sampul surat tersebut? Untuk pengetahuan anda, kandungannya selalunya majalah lama yang bernilai 50 sen. Dengan modal 50 sen sahaja mereka mendapat nama dan alamat anda dengan tepat untuk digunakan sesuka hati mereka.
Anda tindakan anda betul? Tunjukkan kepada saya di mana salahnya tindakan anda itu? Adakah nilai ‘privacy’ anda hanya 50 sen? Siapa yang bersalah? Anda yang bersalah jika anda menerima sampul surat itu kerana tidak ada nama pengirim di sampul surat. Mengapa mereka tidak mengeposkannya sahaja? Tentu ada sebab tertentu. Setuju?
Lebih malang lagi, jika sekiranya anda menerima sampul surat itu kemudian si penghantar meminta hendak melihat kad pengenalan, “Boleh tengok IC?” Anda pun menghulurkan kad pengenalan. Sepatutnya tanya kembali, “Kad pengenalan? Kamu siapa nak tengok kad pengenalan saya?” Atau untuk lebih ‘sopan santun’ tanya dengan elok, “Sebelum kamu tengok IC saya, boleh saya tengok IC kamu?” Elok catatkan sekali namanya itu.
2. Helah kedua, biasanya menggunakan telefon. Atau mungkin sekali helah kedua ini adalah pembuka sebelum helah pertama tadi.
Tiba-tiba telefon anda berbunyi dan keluar perkataan, ‘Private’. Anda boleh mengangkatnya atau jangan dilayan. Kalau pemangilnya hendak ‘private’ anda pun hendakkan ‘private’ juga — jangan angkat.
Kalau diangkat, biasanya nama anda akan disebut dulu, “Encik Akan Kena Pedaya?” Jangan terus jawab, “Ya,” sebaliknya tanyakan dulu, “Siapa ini?” “Ini Tukang Pedaya, saya hendak berikan apa yang menjadi hak Encik.” Bagi kebanyakan orang itu sudah mencairkan jiwa, akan dapat hadiah yang berharga! Bagi orang yang berakal akan sentiasa ingat, “Tidak ada satu pun yang percuma di muka bumi ini.” Jadi, jangan tanya apa-apa, jangan sekali-kali tanya, “Apa dia tu?” sebaliknya minta begini, “Boleh tak kamu telefon saya sekali lagi? Jangan gunakan nombor PRIVATE, gunakan nombor betul dan beritahu nama anda sekali.” Terus matikan telefon, tak payah menunggu apa-apa jawapan. Kalau betul serius dia akan menelefon anda semula dengan nombor betul tetapi selalunya, 99% tidak akan menelefon balik. Mereka lebih suka mencari mangsa lain.
Di sini, anda mesti faham — kalau benar jujur, pasti mereka tidak menggunakan nombor ‘private’. Mesti ada sebab tertentu. Setuju?
Jika anda terus terpedaya, akan diperdaya dengan helah mereka. Kononnya, anda sekeluarga akan mendapat tiket wayang percuma, makan malam di restoran mahal dan sebagainya. Anda hanya perlu menunjukkan kad pengenalan anda kepada pihak restoran atau panggung wayang atau hypermarket. Untuk itu, untuk mengesahkan, sekali lagi anda diperdaya — diminta nama seperti di kad pengenalan dan nombor kad pengenalan dengan tepat. Tak ketinggalan juga untuk lebih meyakinkan, “Kejap lagi saya SMS kod untuk ditujukkan sekali bersama IC di kaunter panggung wayang.”
Kalau betul tak mengapa — dapat makan malam di hotel bersama keluarga. Kalau tak betul? Di mana hendak mengadu sedangkan nombor private. Kalau jujur tentu tak gunakan nombor private. Ditambah lagi, “Tidak ada yang percuma di muka bumi ini” — saya beri kamu makan, kamu kena beri saya sesuatu — kalau betul ada makan malam itu.
Jadi, ingat, sebelum lebih lanjut lagi, sebelum anda cair, dengan tegas minta menelefon kembali dengan bukan dengan nombor private. Setuju? Kalau telefon rumah atau pejabat pula, dengan sopan santun (walaupun pemanggil tak sopan hendak memperdayakan anda) katakan, “Boleh beri nombor telefon dan alamat Encik/Cik, nanti saya telefon balik.” Jika dia terus pusing sana, pusing sini, letakkan saja telefon kerana jika benar jujur, tidak ada masalah untuk memberikan anda nama dan nombor telefon. Setuju?
Ingat ungkapan ini selamanya — “Akan sentiasa ada yang memperdaya selagi masih ada yang rela diperdaya.” Sepatah kata dari buku saya SUSAH & SENANG — “Bila lampu dipasang gemerlapan, perangkap sedang dipasang”. Jika benar mereka jujur, tentu mereka berterus-terang.