Apa akan jadi jikalau Kaabah hanyut katalah sampai ke Tokyo? Terjadi banjir besar lalu Kaabah hanyut sampai ke Tokyo. Apa akan jadi dengan kiblat sembahyang kita?
Tidak akan jadi apa-apa. Umat Islam kekal sembahyang mengadap ke tapak asal Kaabah itu. Umat Islam tetap tawaf mengelilingi tapak Kaabah yang telah hanyut itu. Kiblat orang Islam di seluruh dunia tetap ke arah tapak Kaabah yang telah hanyut itu.
Ini persoalan mudah tetapi menjadi kemusykilan sejak sekian lama, di kalangan umat Islam sendiri, apatah lagi bukan Islam.
Bahkan, suatu hari kelak jikalau orang Islam atau kafir bertanya, sudah ada jawapan. Atau mungkin diri sendiri tertanya-tanya, sudah tersedia jawapan yang paling tepat. Sengaja saya menggunakan perkataan kafir kerana ia lawan perkataan Islam yang paling hampir. Islam lawan perkataannya kafir, bukannya “Bukan Islam”. Jadi silap besar jika di sana-sini anda terlihat perkataan “Non-Halal”. Lawan perkataan “Halal” adalah “Haram” bukannya, “Non-Halal atau Tidak Halal.” Kenapa DBP tidak menegur? Kenapa JAKIM menyetujui? Kenapa? Takut?
Saya mendapat jawapan setelah pada suatu hari saya membaca satu artikel yang amat menarik. Sekarang saya ingin menyampaikan artikel yang sangat menarik itu.
Apa sebenarnya persepsi kafir tentang solat? Pertanyaan yang sama juga kepada orang Islam kerana masih ramai yang tersilap persepsi. Sebahagian besar menganggap solat itu menyembah Kaabah. Bagaimana kita mesti menerangkan jikalau ditanya, “Mengapa kita menyembah objek?” Mereka (kafir dan sebahagian Islam) menyangka kita sembahyang dengan menghadap dan menyembah objek (Kaabah).
Bagaimana kita mesti menerangkan. Ini adalah tanggung jawab kita orang Islam untuk menerangkan.
1. Kaabah adalah objek atau penanda. Orang Islam tidak boleh menyembah objek.
2. Kaabah adalah lambang persatuan umat Islam sedunia. Kaabah adalah penanda arah kiblat. Jadi, dari seluruh dunia orang Islam bersolat 5 kali sehari (yang wajib, mesti, tiada sebarang alasan), menghadap ke arah Kaabah. Bukan menyembahnya sebaliknya adalah sebagai penanda.
3. Jadi, dari seluruh dunia, bahkan orang Eskimo (yang Islam) pun solat dengan menghala ke arah Kaabah. Kita di Malaysia, menghadap ke arah matahari terbenam. Mungkin orang Eskimo menghadap ke arah matahari terbit kerana di situ arah Kaabah. Arah mereka tidak sama dengan arah kita di Malaysia dan seluruh dunia.
4. Bagaimana jikalau tidak ada Kaabah sebagai penanda? Tentu bersepah arah sembahyang umat Islam dari seluruh dunia.
5. Sebagai buktinya, umat Islam bukan menyembah objek, kita buat andaian sebagaimana artikel yang pernah saya baca. Andaiannya sangat mudah: katalah terjadi banjir besar dan Kaabah hanyut sampai ke Tokyo, umat Islam tidak menukar kiblat menghala ke Tokyo sebaliknya kekal menghala ke arah tapak Kaabah yang telah hanyut.
6. Membuktikan bahawa Kaabah adalah penanda semata-mata, kalaulah tiba-tiba sahaja, misalnya Kaabah itu lenyap, umat Islam masih kekal bertawaf mengelilingi tapak Kaabah itu. Ini membuktikan bahawa Kaabah adalah penanda semata-mata dan orang bertawaf mengelilingi Kaabah bukan kerana Kaabah tersebut sebaliknya semata-mata kerana ia penanda.
Begitulah penerangan mudah untuk menerangkan kepada mereka dan diri sendiri yang masih tidak was-was atau tidak pasti mengapa kita bersolat menghala ke Kaabah.
Tetapi, ada satu bangsa, puak atau kaum yang meratap menangis menarik-narik kelambu Kaabah seolah-olah dia mengadu kepada Kaabah itu bagaimana kita hendak menjelaskan?
1. Benarkah mereka sedang “mengadu”? Mungkin mereka menangis kerana terlalu gembira akhirnya dapat melihat objek yang menjadi penanda selama ini.
2. Meratap menangis pada dinding dan kelambu Kaabah, bukan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mungkin mereka memandai sendiri.
Semoga Allah merahmati penulis asal yang memberikan idea “jikalau Kaabah hanyut….” Artikel beliau benar-benar telah mencelikkan mata ramai.