LAIN kali jikalau ada yang selamba mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan anda, tanyakan sahaja, “Kenapa?” Contohnya: “Buat apalah kamu susah-susah tolong orang, sedangkan kamu sendiri pun tak ada siapa yang hendak menolong?” Tanyakan kembali: “Kenapa? Kenapa kalau saya tolong orang walau tidak ada siapa yang menolong saya?”
Pasti tidak ada jawapan. Mengapa tidak ada jawapan? Sebab memang tak ada jawapan.
Jadi, pertanyaan kembali “Kenapa” atau “Mengapa” itu adalah untuk mematikan kata-kata yang tidak berasas — diucapkan semata-mata untuk mengatasi dan menghalang kita.
Ramai sungguh manusia di sekeliling kita ini yang suka menghalang dan mengatasi usaha kita hanya dengan kata-kata. Mereka lebih suka kita tidak melakukan apa-apa. Mereka lebih suka menjatuhkan berbanding menggalakkan sebagaimana kata Ustaz Ismail Kamus, “Susah melihat orang senang; senang melihat orang susah.”
Oleh kerana dengan kata-kata mereka cuba mengatasi dan menghalang kita, maka dengan kata-kata jugalah ia dihalang dan dibalas kembali. Dan kata-kata dari kita amat ringkas — hanya sepatah sahaja — “Mengapa?” atau “Kenapa?”
Tahukah anda, kadang-kadang orang yang bersuara menentang begitu tidak tahu pun apa sebenarnya isi kandungan ucapannya — melainkan untuk memuaskan hatinya supaya dapat menghalang. Bahkan tak sedar pun ucapan itu keluar dari mulutnya.
“Aku kena mulakan bisnes. Sudah sampai masanya.” Kata kita.
Dengan selamba, berkatalah insan di sebelah, “Tak boleh… Bisnes tak boleh…” Mukanya pun selamba sahaja atau sambil menatap surat khabar. Bahan bacaannya pun surat khabar harian yang penuh dengan fitnah, masakan tidak berperangai buruk begitu.
Biasa mendengar dan mengalami begitu? Terlalu biasa. Jikalau terpedaya, serta-merta berhentilah kemahuan untuk berniaga itu. Hanya dengan kata-kata ringkas dari orang yang seumur hidupnya tidak pernah berniaga, musnahlah cita-cita. Biasa melihat dan mendengar begitu?
Sekarang menjadi pilihan anda, sama ada ‘mengakui dan mengikuti’ kata kawan tadi atau bertanya kembali untuk mendapatkan kepastian, “Mengapa saya tak boleh bisnes? Bahagian mana yang menyebabkan saya tidak boleh memulakan bisnes sekarang?”
Tunggu jawapannya. Tetapi penantian yang sia-sia belaka kerana hanya kedengaran, “Tak boleh, tak boleh…” berulang-ulang. Apa jawapannya? Tidak ada jawapan kerana dia tidak mempunyai jawapan. Bahkan dia tidak perlu berfikir apa-apa pun semasa mengeluarkan kata-kata, “Tak boleh” tadi.
Oleh kerana tidak berpuas hati, maka kita boleh terus bertanya, “Baiklah kalau tak boleh. Tetapi mengapa tak boleh? Saya hendak tahu dan belajar.” Masih tidak ada jawapan, atau mengubah cerita kepada topik lain.
Sahlah sudah, memang hampir 99 peratus manusia di sekeliling kita ini hanya pandai menyebut sahaja tanpa sebarang sebab. Pertanyaan, “Mengapa atau Kenapa” itu sedikit sebanyak membantu menyedarkan.
Adakah kita kasar tidak pandai menjaga hati orang? Siapa yang perlu menjaga hati siapa sebenarnya? Adakah kita sahaja perlu menjaga hati orang sambil merosakkan diri kita sendiri, tetapi orang lain tidak pernah terniat menjaga hati kita? Jikalau benar mereka mahu menjaga hati mereka, sudah tentu berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata dan perbuatan.
Bukankah sebaiknya dijawab begini, “Oh bagus sekali niat kamu. Mengapa baru sekarang tergerak nak bisnes? Sepatutnya dari dulu lagi kamu sudah bisnes. Mari kita tengok apa yang perlu kamu pelajari untuk bisnes. Mari kita cari jalan. Bisnes kena berilmu. Ilmu apa yang perlu ada. Semua orang boleh bercakap bisnes kena berilmu, tapi ilmu apa? Takkanlah nak cari ilmu dari ‘buku angin’ dan ‘buku surface’? Pengurusan, bukan ‘motivasi’. Bisnes bukan penglipurlara, ia berpijak di bumi nyata, bukan jual itu, jual ini, tiba-tiba jadi jutawan. Mana akaunnya, mana case study? Kalau penyedap hati, memang boleh, apa saja bisnes, tup-tup, menjadi jutawan. Bisnes juga bukan ikut-ikutan. tengok syarikat itu berjaya dalam penerbitan buku, maka berbondong-bondong hendak menjadi penerbit buku, bahkan sudah seperti trend pula.”
Apa rasa hati kita apabila mendengarnya? Sama ada membatalkan niat bisnes atau semakin bersemangat. Mengapa membatalkan niat? Kerana selama ini terpedaya dengan penglipurlara, dongeng dan ‘motivasi’ — dalam bayangan — alangkah mudahnya menjadi jutawan — walau menjual apa sekali pun. Bahkan, jikalau selama ini, jutawan menjadi matlamat, pasti akan gagal di dalam bisnes kerana matlamat utama bisnes adalah bisnes, bukan untuk menjadi kaya atau jutawan. Kekayaan datang secara natural sesudah kita menjalankan bisnes kerana kita memang suka bisnes.
Begitulah sikap semula jadi manusia di sekelilng kita — suka membuka mulut untuk menghalang atau membuka mulut itu bukan untuk menghalang sebaliknya memang sudah terbiasa begitu — mengeluarkan kata-kata tetapi tidak tahu apa yang diucapkan.
Semudah itu mereka mengeluarkan kata-kata, maka semudah itulah juga kita mengatasi — lebih ringkas — hanya perlu bertanya, “Kenapa?”
Begitulah juga, apa saja perkara baik yang hendak kita lakukan pasti ada penghalangnya. Namum mampukah kita terhalang hanya dengan kata-kata dari orang yang sebenarnya tidak tahu pun apa yang sedang diperkatakan?