Hanya baru-baru ini saja orang Melayu digalakkan berniaga. Cuma agak malang, ilmu perniagaan tidak berapa diserapkan kepada masyarakat. Pentingnya ilmu perniagaan tidak berapa diketengahkan menjadikan ramai yang keliru antara berjualan dengan berniaga. Ramai juga yang keliru antara peniaga dengan usahawan
(photo)
Keterangan gambar: Hari Usahawan diadakan setahun sekali. Bukankah lebih elok diadakan sebulan sekali untuk menerapkan pentingnya ilmu keusahawanan ketika kanak-kanak masih kecil lagi. Nabi Muhammad SAW, belajar bisnes sejak umur 12 tahun.
Hanya baru-baru ini saja orang Melayu digalakkan berniaga. Cuma agak malang, ilmu perniagaan tidak berapa diserapkan kepada masyarakat. Pentingnya ilmu perniagaan tidak berapa diketengahkan menjadikan ramai yang keliru antara berjualan dengan berniaga. Ramai juga yang keliru antara peniaga dengan usahawan.
Bahkan harapan kita supaya berniaga, perniagaan, keusahawanan menjadi budaya orang Melayu makin mendekati kegagalan. Usaha yang dipelopori oleh Tun Abd Razak dengan memperkenalkan DEB, nampaknya, sesudah lebih 30 tahun makin kabur.
Bukti nyata — sebagai contoh, jika anak-anak kecil yang bersekolah rendah atau menengah ditanya tentang cita-cita — jawapannya pasti — usahawan bukan pilihan. Bahkan lepasan universiti pun, menjadikan usahawan adalah pilihan terakhir sesudah tersepit. Jika tidak tersepit, tak mungkin akan menjadikan perniagaan sebagai pilihan. Biasa melihat begitu?
(photo)
Keterangan gambar: Sambutan malam Merdeka di Ikano, PJ. Jika ditanya, “Apa makna merdeka?” agaknya, apa jawapannya? Anak kecil bangsa Cina melihat keramaian ini sebagai peluang untuk menjual penyembur salji. Anak Melayu juga mengambil kesempatan untuk menjual cerminmata lap-lip. Jika ada pengguna, mesti ada bisnes
Sepatutnya — sebagai orang Islam, hendaklah menjadikan usahawan, keusahawanan, perniagaan itu adalah cita-cita utama. Tapi malang sekali, ia adalah cita-cita terakhir, atau bukan cita-cita sebaliknya masuk bisnes secara tidak sengaja atau terpaksa.
Menurut Canselor Universiti PTS, Mbakyu Ainon Mohd., juga penulis buku best-seller, “Memulakan Bisnes Sendiri,” dalam kajiannya untuk buku “Rahsia Bisnes Muhammad” — yang mesti kita ikuti sebab peninggalan Nabi Muhammad adalah yang terbaik, tidak ada yang lebih baik melainkan yang terbaik — Nabi Muhammad SAW menjadi aperantis bisnes sejak umur 12 tahun. Kita? Umur berapa tahun kita menjadi aperantis bisnes? Kemudian, lihat anak-anak atau adik-adik kita pada usia 12 tahun, sudahkah mereka menjadi aperantis bisnes?
Yang agak menakutkan — masuk alam bisnes adalah kerana wang, kerana hendak menjadi kaya. Nasihat orang yang bijaksana — lupakan saja niat begitu. Jika wang yang dikejar di dalam bisnes, jika tujuannya untuk menjadi kaya — pasti akan kecundang. Sejarah membuktikan begitu. Jadi, ubah niat. Niatkan untuk beribadah kerana sebenarnya bisnes adalah ibadah. Antara niat yang baik ialah:
- Supaya dapat membantu masyarakat.
- Supaya dapat memberi kehidupan yang lebih baik untuk masyarakat.
- Supaya dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan.
- Supaya dapat membayar zakat yang banyak dan mengurangkan kemiskinan.
- Untuk ditinggalkan kepada generasi akan datang.
- Untuk imej, orang Islam sememangnya pandai bisnes.
Jika impiannya — bisnes tahun ini, tahun depan sudah kaya-raya, lupakan sahaja. Sekurang-kurangnya memperuntukkan masa 15 tahun dibahagi 3 = 5 tahun setiap tahap:
- Tahap 1: 5 tahun permulaan = Tahap kritikal untuk membina asal
- Tahap 2: 5 tahun pertengahan = Masih tahap kritikal untuk memperkukuhkan.
- Tahap 3: 5 tahun penghujung = Untuk meneruskan apa yang dibina dan diperkukuhkan 10 tahun lepas.
Kerana itulah jika anda perhatikan, apa-apa bisnes, sama ada peruncitan, pengedaran, pembuatan, perhotelan, servis, bila telah melepasi 15 tahun sudah mula menampakkan ‘kejayaan’. Perhatikan.
Kerana itu jugalah, adalah perkara biasa jika anda perhatikan — perniagaan yang terpaksa tutup pada usia bawah 5 tahun. Bukan untuk menakutkan tetapi untuk persediaan. Bahkan, ada perniagaan yang tutup walau telah mencecah 10 tahun. Bukan untuk menakutkan tetapi supaya lebih gigih berusaha agar bisnes yang kita bina hari ini mencecah 15 tahun, 50 tahun, 100 tahun dan untuk generasi akan datang. Jika itu yang diniatkan, insyaAllah akan kesampaian asalkan setiap hari mengingatkan diri, “Aku bisnes adalah kerana Allah,” “Bisnes aku ini untuk generasi akan datang.”
Membina. Itulah kuncinya. Pernah mendengar kata-kata berharga ini? “Lebuhraya untuk kejayaan adalah sentiasa dalam pembinaan.” Jika benar mahukan kejayaan dalam bisnes — sepanjang masa adalah membina kejayaan. Membina. Jangan sekali-kali terpedaya dengan penglipurlara boleh menjadi jutawan dalam masa yang singkat. Masuk sendiri, alami sendiri alam bisnes, barulah anda boleh mengesahkan bahawa untuk menjadi jutawan dalam bisnes, dalam masa yang singkat adalah karut dan penglipurlara.
Mengapa lebih ramai yang takut menceburi bisnes? Mengapa? Kerana ditakut-takutkan oleh media dan suara-suara dari orang yang tidak pernah bisnes, terutamanya dari kedai kopi. Drama, filem, radio, majalah, akhbar lebih menjurus supaya menghindari bisnes kerana bisnes itu susah dan menakutkan.
Juga, kerana fokus ditumpukan kepada yang gagal bisnes berbanding kepada yang berjaya dalam bisnes. Bukankah itu sikap semulajadi manusia — lebih menumpukan, lebih mencari-cari keburukan berbanding kebaikan?
Kerana kecewa juga penyebab takut kepada pekerjaan sebahagian besar para Nabi ini. Pernah mendengar khabar, dalam masa yang singkat boleh menjadi jutawan lalu menceburi bisnes tersebut tetapi berakhir dengan kegagalan kerana sememangnya tidak ada istilah “kaya segera” “jutawan segera” dalam bisnes, apa saja bisnes. Tidak akan ada 1000 tahun dahulu dan 1000 tahun akan datang. Bisnes perlu dibina dengan kesungguhan. Jangan mudah terpedaya kerana kita ini manusia yang berpendidikan dan dikurniakan akal.
Sama ada setuju atau tidak, inilah hakikatnya. Bila anda menceburi bisnes, bahkan apa saja bidang, ibarat kita ini memasuki alam peperangan. Setuju? Bukan untuk menakutkan tetapi untuk persediaan agar lebih berhati-hati. Itulah hakikat sebenar alam perniagaan — tidak semua mudah dan tidak semua susah. Jikalau anda melihat filem peperangan — itulah gambaran bisnes — silap langkah anda kena tembak atau bom. Bukankah itu juga berlaku dalam dunia pekerjaan, bukan sekadar dunia bisnes?
Saya suka mengesyorkan supaya anda meneliti dan mengamalkan buku yang mengandungi “amaran-amaran bisnes” berjudul, “Memulakan Bisnes Sendiri” (edisi kemaskini) karya best-seller Canselor Universiti PTS, Mbakyu Ainon Mohd., yang amat pemurah ilmu. Saya dah 2 kali khatam membacanya dan insyaAllah akan diamalkan. Jika anda tidak terlebih dahulu mengenali “peluru, bom, gaung dan sebagainya” dalam bisnes, bimbang nanti anda akan tertembak jika salah langkah. Salahkan siapa, sedangkan sebelum ini sudah ada orang yang bermurah hati memberitahu amaran-amaran bisnes tersebut? Memang tersedia, “wang, emas, intan, berlian” tetapi ia tersembunyi di sebalik “peluru, bom, gaung dan sebagainya.” Bukan saja dalam bisnes, bahkan dalam apa saja bidang.
Wahai bangsaku, marilah sama-sama kita merapatkan jurang kekayaan antara kaum, jurang kemiskinan sesama kaum. Kaum kita Melayu — yang kaya terlampau kaya, yang miskin terlampau miskin. Yang terlampau kaya makan di hotel 5 bintang; yang terlampau miskin kadang tak makan seharian. Jurangnya terlampau luas. Untuk menyaingi mungkin amat sukar tetapi untuk merapatkan jurang memang tidak mustahil. Itulah impian Tun Abd Razak Hussien selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Bisnes adalah salah satu cara untuk mengecilkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Namun, apa yang lebih penting ialah ilmu pengurusan bisnes. Dan ilmu bisnes ini mesti diserapkan sejak berumur 12 tahun lagi. Kita mulakan dari diri kita sendiri — serapkan minat dan ilmu bisnes kepada anak-anak dan adik-adik kita sejak berumur 12 tahun lagi. Sama-sama kita berusaha agar bisnes dan keusahawanan menjadi budaya kaum Melayu, sama dengan budaya kaum Cina. Bukan kita hendak bersaing tetapi hendak berkongsi pasaran.
Kita baru saja merayakan Merdeka tapi malangnya masih lagi terjajah dengan branding penjajah dan bukan penjajah. Branding kaum Melayu bekerja pejabat, kaum Cina bisnes, kaum India bekerja estet — sudahkah ia terhapus sesudah 50 tahun kita merdeka?
Jika semua orang hendak menjadi perdana penteri, berapa perdana menteri yang kita ada nanti? Jika semua orang hendak menjadi jurutera, berapa jurutera yang akan kita anda nanti? Jika semua orang hendak menjadi arkitek, berapa arkitek yang akan kita ada nanti?
Soalan yang seterusnya, “Jika semua orang hendak menjadi usahawan, berapa usahawan yang akan kita ada nanti?” Jawapannya — berapa banyak usahawan yang kita ada sekarang? Cukupkah?
Satu soalan bodoh suatu masa dulu, “Kalau semua orang menjadi usahawan, siapa yang nak jadi pengguna?” Satu lagi soalan bodoh, “Kalau semua orang menjual, siapa yang nak membeli?” Jawapannya amat mudah — kita semua adalah pengguna. Sama ada kita usahawan atau penganggur; pekedai atau pengawal keselamatan; dari sasterawan negara atau penulis sambilan — kita adalah pengguna. Dari tangisan pertama lahir ke bumi, hingga jasad kita masuk ke dalam bumi (bersama amal baik dan jahat) dibungkus dengan kain kapan 100% cotton Made in China — kita adalah pengguna. Dari Yang Dipertuan Agung hinggalah kepada pengemis — kita semua adalah pengguna sepanjang hayat.
Di mana ada pengguna, di situ ada bisnes.