Razzi Armansur

Kisah penulis kering idea

Sepatutnya, update ini 2 minggu lepas tetapi kerana kesibukan ‘cari makan’ ia tidak dapat dilaksanakan. Menulis seperti pekerjaan lain, perlu dilakukan setiap hari bagi mendapat gaji / upah (royalti atau lump sum). Jikalau tak menulis, tidak akan mendapat wang untuk menyara hidup sekarang dan akan datang.

Teringat suatu masa dulu, sahabat karib saya (kini entah di mana), Mejar Mohan memberi nasihat untuk saya dan semua, “Hidup ini bermusim. Ada musim menanam dan ada musim menuai. Jangan tersilap musim.” Mustahil sepanjang masa menanam dan mustahil sepanjang masa menuai. Mejar Mohan adalah juruterbang jet pejuang, bersara dan menjadi usahawan MLM yang sangat berjaya (bukan diuar-uarkan berjaya). Jikalau beliau ‘gian’ hendak memandu kapal terbang, beliau akan membawa kapal terbang Air Asia membawa kargo ke Indonesia dan negara lain. Pada masa itu Air Asia belum diambil alih oleh Tony Fernandez.

Menjadi penulis boleh kaya? Ia bergantung kepada pengurusan upah atau kewangan. Bukan hanya menjadi penulis, bahkan menjadi apa saja boleh kaya jikalau pandai menguruskan kewangan atau upah. Menulis adalah landasan. Ia juga adalah kerja yang mulia. Jadi, kalau menulis ‘main hentam’ ia menjadi kerja yang tidak mulia. Ia adalah ilmu yang ditinggalkan kelak. Menjadi matlamat kita untuk meninggalkan ilmu yang terbaik, fakta dan penuh kebaikan.

Pengurusan upah atau kewangan ini pun tidak mencukupi jikalau ia hanya sikit saja, habis ditelan oleh keperluan harian yang tidak pernah menurun sebaliknya semakin hari semakin meningkat. Sebab itu, perlu menanam dengan banyak pada musim menanam, barulah nanti (walaupun tidak ada jaminan), boleh menuai dengan banyak, InsyaAllah. Ia bukan hanya untuk penulis tetapi untuk apa saja bidang pekerjaan.

Namun perlu diingat, apabila menjadikan kreativiti sebagai landasan untuk melalui musim menanam. Berkali-kali saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat yang lain supaya bersedia dengan keadaan pada suatu masa nanti sudah tidak mampu berkarya atau selalunya disebut, “Kering idea”. Bila akan berlaku? Tidak dapat diduga bila akan berlaku tetapi akan berlaku. Soalnya, bagaimana jikalau ia berlaku semasa masih lagi dalam “musim menanam”?

“Kering idea” ini berbeza dengan apa yang dialami oleh Ernest Hemmingway. Penulis “Orang Tua dengan Laut” bukan kering idea tetapi tidak kesampaian dalam menyampaikan apa yang digambarkan di dalam fikirannya ke dalam bentuk tulisan. Atau gagal untuk memindahkan apa yang di dalam fikiran ke dalam bentuk tulisan. Lalu beliau menembak kepalanya sendiri.

“Kering idea” adalah gagal untuk menghasilkan karya atau karya tidak sehebat suatu masa dulu. Jangan ambil ringan kerana telah banyak terjadi. Sidney Sheldon suatu masa dulu memang hebat, tetapi pada penghujung hayatnya, tulisannya makin tidak menyengat. Siapa yang tidak kenal Datuk Dr. Ahmad Nawab, A. Ali, Manan Ngah, Shaari Amri? Mereka bergelumang dengan kreativiti dan ‘meletup-letup’. Itu suatu masa dulu.

Jadi, bagaimana mereka ‘cari makan’? Mereka kini sudah berada di dalam musim menuai. Setiap kali lagu ciptaan mereka berkumandang, mereka mendapat bayaran, kalau mereka tidak menjual karya mereka secara ‘lump sum’ suatu masa dulu. Cuma saya agak musykil pada siapa hendak membuat tuntutan royalti apabila syarikat rakaman sudah tidak wujud lagi. Di mana kini WEA, BMG, Polygram, Pony Canyon dan sebagainya?

Maka, sekali lagi, kita kaum penulis, atau sesiapa yang menggunakan kreativiti, hendaklah bersedia. Bukan menjangkakan tetapi bersedia. Bagaimana persediaan kita? Memanfaatkan sepenuhnya “musim menanam”. Setiap minit adalah amat berharga dalam “musin menanam”.

Semasa “menuai” pun mestilah beringat sentiasa. Ia tidak boleh dihabiskan sebaliknya, sebahagian besar hasil tuaian itu adalah untuk masa depan, semasa menghadapi zaman “kering idea”.

Mimpi Nabi Yusuf sesungguhnya boleh dijadikan panduan dan telah menjadi panduan sepanjang zaman. Mimpi yang tertera di dalam Al-Quran itu, dan dibacakan semasa pembentangan belanjawan di Parlimen pada tahun 1997 oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu sememangnya boleh dijadikan panduan dalam menghadapi “musim menanam,” “musim menuai,” dan “zaman kering idea”.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.