Razzi Armansur

Makan padang golf

Suatu masa dulu, Datuk Johan Jaafar (kalau tak silap, kalau silap, maafkan saya) menulis di dalam kolumnya, lebih kurang begini, “Kalau apa-apa hal terjadi kepada negara kita, kita makan kondominium, padang golf.” Itu lama dulu, seingat saya dalam 10 hingga 12 tahun dahulu. Kaitannya untk mengingati, beliau pada masa itu adalah Ketua Pengarang Utusan, Sukan Komenwel yang mengalami kerugian besar dan Reformasi. Zaman Reformasi, Johan Jaafar sudah tidak bekerja di Utusan lagi. Suatu malam dalam tahun tersebut saya bertemunya di rumah Dato Seri Anwar. Tahun berapa itu? 1998. Hari ini? 2008.

Beliau begitu sensitif apabila melihat bumi Malaysia semakin gersang, pokok semakin berkurang dan pupus (tinggal gambar pokok), bukit main gondol, hutan simpan kekal makin tidak kekal, hutan dara menjadi hutan janda. Dirasakan juga beliau begitu sensitif sekali apabila melihat rakyat Indon dan lain-lain berbondong-bondong ke Malaysia bekerja di sektor pembinaan yang sudah tidak terancang lagi. Tanah yang ada digunakan untuk membina bangunan, padang golf dan lain-lain. Lalu beliau menulisnya di dalam kolum sebagai ‘amaran’.

Hari ini, 10 hingga 12 tahun kemudian, amaran beliau menjadi kenyataan. KIta mengalami krisis makanan. Memang pada bulan April 2008 ini belum lagi terasa. Bagaimana nanti pada bulan April 2009? Akan adakah yang mati kelaparan? Secara teorinya: walau banyak wang tetapi barang tak ada, jika tidak segera bertindak pada April 2008 ini. Bertindak mengatasi masalah kekurangan makanan Malaysia (betulkah dunia mengalami krisis tersebut?) sepatutnya sudah dilaksanakan semasa Datuk Johan Jaafar menyuarakan pendapatnya itu. Memang ada usaha mengatasinya tetapi idea yang sangat kelakar seperti ‘tanam padi atas bumbung’.

Teorinya: oleh kerana makanan tak ada atau amat berkurang, wang menjadi tak berguna. Tak boleh digunakan untuk membeli keperluan asas. Inflasi akan meningkat berganda-ganda menjadikan matawang semakin kecil nilainya. Ini ramalan saya berdasarkan keadaan masa lalu. Anda dan rakan-rakan anda mempunyai wang yang banyak dan berasa sangat lapar. Seseorang menyedari keadaan begitu dan datang membawa nasi, lauk yang ala kadar sahaja. Bukan nak sedap tetap hendak mengisi perut. Tidak ada pilihan lain. Apa terjadi? Yang berduit itu akan berusaha sedaya-upaya untuk memperoleh makanan tersebut dan sanggup menawarkan harga yang tinggi. Apa lagi, orang yang membawa hidangan tersebut, menyedari ‘permintaan lebih tinggi dari penawaran’ segera menaikkan harga sesuka hati kerana dia percaya wang bukan perkara utama pada masa itu sebab wang memang banyak, penawaran pula amat kurang. Penawaran lebih penting pada masa itu.

Bagaimana pula dengan orang yang tidak mempunyai banyak wang pada masa itu? Bagaimana pula kalau penawaran habis pada masa itu? Bagaimana kalau yang ada hanya permintaan sahaja? Mungkinkah tak lama lagi akan terjadi kelaparan kerana kita tak ada bekalan makanan kerana sebahagian besar makanan diimport.

Suatu masa dulu saya bersembang dengan warga Kampuchea yang menjual aiskrim. Menurutnya, sebelum peperangan, Kampuchea negara kaya. Makanan dihasilkan sendiri, tak perlu bergantung kepada import. Itulah yang saya maksudkan. Itulah yang perlu dicontohi oleh Malaysia pada masa itu.

Penyelesaiannya? Tindakan serta-merta pada baki tanah yang masih tertinggal. Ramai yang memandang remeh idea Tun Abdul Razak suatu masa dulu apabila melancarkan Rancangan Bumi Hijau. Bagi saya, ia idea yang sangat hebat. Selain menjimatkan belanja, ia meningkatkan ekonomi (teori ekonomi menyebut: dengan menjimatkan apa yang ada di tangan mampu menaikkan ekonomi). Idea tersebut dilaksanakan segera. Banyak faedah yang diperoleh. Belakang, tepi rumah ditanam sayuran. Jadi tak payah beli. Ia menghijaukan bumi dan meningkatkan wang di dalam poket. Beli hanya yang tak ada sahaja. Setiap hari mampu berjimat wang sayur. Tapi kini? Di mana nak tanam? Kenapa biotek hanya bahan publisiti? Kenapa peralatan hidroponik lebih mahal dari perolehan hasil tanaman hidroponik?

Mudah sahaja. Segalanya dijadikan bahan publisiti. Apabila kita terlalu sibuk mempertahankan kedudukan diri, kita menjadi terlalu sibuk mengutamakan diri sendiri. Sepatutnya mencari jalan untuk mengatasi krisis makanan sebelum lebih teruk lagi (cegah sebelum parah) adalah utama, tetapi ada yang lebih utama iaitu menyelamatkan kedudukan diri.

Untuk mengaburinya, akan kedengaranlah, “Kita tak perlu bimbang. Makanan kita mencukupi untuk 100 tahun.” Begitulah mengikut keadaan masa lalu. Setiap masalah dicari sudut mana boleh mendatangkan publisiti.

Benarkah krisis makanan dunia? Selalu dikaitkan dengan dunia sedangkan kaitan itu seolah-olah untuk melepaskan diri. Seolah-olah kita tak boleh buat apa, sebab keadaan dunia pun begitu. Kejatuhan saham, kemerosotan ekonomi, kenaikan harga barangan utama, kenaikan harga minyak selalu sangat dikaitkan dengan Amerika dan dunia (dunia? bukankah ‘bumi’ lebih tepat?). Kita pengeluar minyak tetapi harga minyak makin melambung. Kelakar di antara kelakar, kononna minyak negara Islam Hadhari hanya untuk kegunaan jet dan kapal terbang sahaja.

Yang sangat pelik dan semakin pelik ialah apabila terjadi kenaikan harga saham, tidak pun dikaitkan dengan harga saham dunia. Apabila terjadi kenaikan ekonomi (misalnya) tidak pun dikaitkan dengan keadaan luar negara. Hanya bila hendak ‘melepaskan diri’ barulah inflasi, minyak, saham, ekonomi dikaitkan dengan dunia. Selalu melihat dan mendengar begitu?

Semalam saya bercerita dengan pekedai. Katanya, sudah 4 kali harga beras naik dalam tahun ini. Maksudnya beras semua beras yang diimport dan tempatan. Perlukah kenaikan itu? Apabila sudah terjadi kenaikan begitu, adakah pihak yang bertanggung jawab hanya berkata, “Kita tidak mengalami krisis berbanding negara-negara lain. Kenaikan harga barangan kita masih kecil…” Pendek kata, saban hari kita rakyat hanya dibohongi.

Semestinya perlu tindakan paling segera! Kalau saya mudah saja. Tukar padang golf kepada sawah padi. Seseorang pernah berkata, “Malaysia mempunyai 200 lebih padang golf, namun tidak menghasilkan seorang pun Tiger Wood”. Apabila berlaku apa-apa, bolehkah kita makan padang golf itu?

Sepatutnya 10 — 15 tahun dulu sudah ada tindakan pantas untuk menghasilakn makanan sendiri, jadi kita tidak akan mengalami krisis makanan. Tidak ada siapa menghalang pembangunan tetapi biarlah pertanian seiring dengan industri. Mengapa tidak mencontohi Jepun, Korea, Thailand yang industrinya pesat dalam masa yang sama pertanian juga pesat! Atau Amerika, Australia, New Zealand? Itu sepatutnya dilaksanakan 10 — 15 tahun dulu. Contoh terbaik ialah negara tak ada tanah atau negara bawah laut, Belanda, yang sangat maju dalam industri dan pertanian.

Tetapi nampaknya Malaysia malu dikenali sebagai negara pertanian kerana pertanian dikaitkan dengan daif. Malaysia hendak dikenali sebagai negara industri. Kemudian apabila industri pun tak menjadi, kita nak kembali kepada pertanian. But the damage has been done! Lebih banyak padang golf berbanding sawah padi. Lebih banyak kondominium mewah berbanding pokok-pokok. Dalam masa yang sama import makanan kita sudah mencecah RM20 bilion setahun!

Segala rupa yang bunyinya ‘pertanian’ diubah supaya tidak menggambarkan daif. Universiti Pertanian Malaysia tidak ada lagi. Bank Pertanian Malaysia pun sudah tak ada lagi. Menteri Pertanian pun sudah tak ada.

Jika masih lagi memikirkan dan mempertahankan kedudukan diri, sebaliknya mengabaikan tindakan segera, serta-merta, mengatasi krisis makanan, maka bersedialah, padang golf, kondominium, akan menjadi makanan utama.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.