Jikalau anda membaca buku ‘Horse Sense’ karya penulis dan penceramah pujaan saya, Al-Ries dan Jack Trout, anda akan menemui kata-kata ini, “Berfikir positif sudah mati bersama dengan pengasasnya, Paderi Norman Vincent Peale.”
Tepat sekali kata-kata mereka. Apabila keadaan tidak seperti yang diharapkan atau dikehendaki, adakah dengan berfikir positif keadaan akan berubah? Berfikir negatif, berfikir sebaliknya dapat membantu mengubah keadaan. Bahkan, yang lebih penting ialah melaksanakan apa yang telah difikir. Tindakan lebih utama dari berfikir. Kita boleh mengambil buah fikiran orang lain — biar orang lain memikirkannya — kita bertindak, melaksanakan apa yang telah difikirkan itu.
Masalahnya, dulu kini dan selamanya kebanyakan dari kita hanya suka berfikir tetapi tidak melaksanakan apa yang telah difikir. Berfikir tidak mebawa ke mana-mana. Tindakan yang membawa kita ke hadapan atau ke belakang.
Dalam ‘audio book’ yang berjudul ‘New Achievement with NLP’ mengiyakan tulisan Al-Ries dan Jack Trout itu. Menurut pakej ‘audio book’ tersebut (zaman pakai kaset lagi, 8 kaset semuanya) — menyebut dengan tegas bahawa “Berfikir positif adalah sebahagian dari Motivasi Fesyen Lama atau Motivasi Abad ke 19.” Benar sekali — adakah dengan berfikir positif, keadaan akan berubah? Fikirkan negatif, fikir sebaliknya. Jangan terpedaya dengan seminar motivasi atau kata-kata yang keluar dari ‘pakar motivasi’ menyeru supaya berfikir positif. Hidup anda semakin ke belakang jikalau percaya dengan ‘berfikir positif’.
Ada dua peristiwa yang berkaitan, teringin hendak saya mengimbaunya. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1998. Peristiwa berlaku di dua tempat — Pudu Plaza dan Plaza Damansara (sekitarnya), namun situasinya sama.
Peristiwanya ialah: kemelesetan, kegawatan atau ekonomi merudum. Peristiwa lagi: kini dekat benar dengan Tahun Baru Cina, teringat saya kepada dua orang sahabat karib Cina: Albert Lim dan Azman Ching. Ada kaitan dengan berfikir negatif, fikir sebaliknya.
Tahun 1998 adalah tahun bermulanya kemelesetan dan kemudian dituruti oleh kelembapan ekonomi. Mula terasa. Sebenarnya, lebih tepat lagi, bermulanya kemelesetan ekonomi ialah pada Julai 1997. Sebelum itu, dalam sidang parlimen, pertama kali dalam sejarah Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri yang berkait rapat dengan urusan kewangan negara membacakan surah Al-Quran, surah Yusuf:
“Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah ia pada tangkai kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau panjang, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya, kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).” (Surah Yusuf: ayat 47-49)
Lebih kurang setahun kemudian atau lebih tepat lagi 2 September 1998, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang bijak dalam mentadbir, menyusun dan melaksanakan strategi itu dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan (Menguruskan wang negara, bukan menyapu wang negara).
Ramai yang percaya, DSAI memberi amaran akan berlakunya kemelesetan ekonomi, mengajak rakyat bersedia dan bertindak mengatasinya adalah sebab utama mengapa DSAI membacakan surah tersebut di Parlimen. Tapi siapa yang peduli? Jikalau peduli, pastinya beliau tidak dipecat.
Jadi, pada tahun 1998 itu terjadi “2 dalam 1” — negara mengalami krisis ekonomi dan krisis politik yang kronik. Buat pertama kalinya juga saya menyertai demo dan merasa dihambat, dibelasah, disembur dengan air yang berasid, ditembak dengan gas pemedih mata oleh FRU. Namun tidak serik, terus berdemo kerana tidak rela DSAI dipenjarakan atas sebab politik.
Pada masa itu, muncullah teori pemulihan ekonomi yang gagal. Teorinya ialah ‘bail-out’ syarikat-syarikat besar, atau syarikat-syarikat kroni. Yang kedua ialah dengan menggiatkan sektor pembinaan. Sejak mula lagi manusia yang bijak sudah tahu ia teori pemulihan yang gagal atau lebih tepat teori untuk menyelamatkan kroni. Teori yang paling tepat telah pun dilaksanakan oleh Tun Abd Razak dahulu. Sehingga kini, dikatakan beliaulah Perdana Menteri yang terbaik. Allah lebih menyayangi beliau, mengambil beliau pada saat khidmat dan kebijaksanaan beliau masih sangat diperlukan. Dan tepatlah kata-kata bijak, “Iman tak dapat diwarisi.” Kebijaksanaan beliau mentadbir negara dan ekonomi tidak dapat diwarisi. Pertanian adalah teori dan pelaksanaan untuk mengatasi masalah ekonomi.
Kesan dari kegawatan ekonomi itu berlanjutan sehingga 2008, dan tahun 2009 bersambung dengan kelembapan ekonomi dunia. Kesan dari kegawatan politik itu pula mulai dirasai sedikit demi sedikit berasaskan “Apabila kita hendak membakar rumah orang, rumah kita akan terbakar terlebih dahulu.” Kini 10 tahun kemudian, sudah nampak sangat kesan dari kegawatan politik itu. Anda boleh meneka, kepada pihak mana kemenangan seterusnya. Kita sudah boleh meneka, parti mana yang akan berkubur dan parti mana yang akan menjadi pilihan.
Pada tahun 1998 itu juga saya sudah 2 tahun bekerjasama dengan Albert Lim dalam menerbitkan buku-buku Melayu. SN Future nama bisnesnnya. Ofis dan kedainya di Pudu Plaza dan di Pandan Indah. Setahun kemudian membuka kedai buku yang paling besar di Kuala Lumpur — Readers World, bertempat di tingkat 4 Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur. Satu lantai tingkat 4 itu menjadi kedai buku. Tapi, pendek umur sebab tidak mengikut pandangan Restoran McDonald yang amat mementingkan 3 elemen penting dalam perniagaan runcit, “Lokasi, Lokasi, Lokasi.”
Zaman kegawatan ekonomi itu, sambil duduk minum kopi bersama Albert Lim di Pudu Plaza, beliau menasihati, “Jangan hanya fikirkan masalah ekonomi, fikirkan sebaliknya. Fikirkan bagaimana hendak mengatasi masalah ekonomi, kemudian bertindak.” Itulah nasihat Albert Lim yang sudah tentu mirip benar dengan ‘Berfikir negatif’.
Zaman itu juga, selepas pulang dari rumah DSAI, saya, Azman Ching dan isterinya, Ivy, singgah di sebuah kedai kopi berhampiran dengan kawasan sekitar Damansara Height itu. Tak lama kemudian datang 3 orang Melayu yang saya anggap sebagai 3 usahawan CNI. Butir perbincangan itu tidak saya pasti tetapi Ivy bertanya, “Bila?” Selepas itu kedengaran Ivy berkata, “InsyaAllah, tak mahu. Tak mahu insya-Allah.” Lihatlah sendiri, orang Islam sendiri yang menyebabkan orang Islam tidak dipercayai. Siapa yang nak percaya dengan “InsyaAllah”, jikalau perkataan “Atas izin Allah” itu digunakan untuk alasan oleh orang Islam sendiri. Perkataan, “InsyaAllah” diucap sewenang-wenang dijadikan bahan untuk membelit. Persepsi Islam dan bukan Islam, “InsyaAllah adalah Tidak.” Kalau zaman Nabi dulu, itulah perkataan yang paling jarang kedengaran kerana ia perkataan yang paling ‘berat’. Ia adalah janji dan janji memang amat berat.
Azman mengeluarkan katalog CNI, katalog baru, menjual “Home Theater” yang menjadikan saya agak musykil. Bertanya saya kepada beliau mengapa CNI memasarkan produk mewah itu di saat ekonomi sedang gawat. Bukankah lebih baik menjual produk keperluan? Azman dan Ivy menjawab, “Supaya boleh melupakan masalah ekonomi, pemikiran dialihkan ke arah lain, tidak hanya memikirkan kegawatan ekonomi. Untung-untung dapat idea untuk mengatasi masalah ekonomi.” Barulah saya faham, itulah caranya berfikir negatif, fikirkan sebaliknya.
Apabila kita hanya memikirkan apa yang menjadi masalah, kita akan tenggelam. Kita tidak akan mendapat cara untuk mengatasinya. Kita mesti ‘melompat’ memikirkan sebaliknya, bukan tenggelam. Ibarat orang yang sedang tenggelam di dalam air, perlukah dia berfikir positif, memikirkan dia akan terus tenggelam? Semestinya dia memikirkan dan bertindak sebaliknya supaya tidak terus tenggelam dan dapat timbul di permukaan.
Selalu saya menasihati bahkan memaksa kedua-dua anak saya tentang pentingnya berfikir negatif, “Ingat, ingat sampai bila-bila. Walau bagaimana papa kedananya kamu berdua, moga-moga Allah menghindarkan dari kemiskinan ke atas kamu berdua, ingat, jangan sekali-kali tenggelam dalam kemiskinan. Orang bebal saja yang mengatakan miskin itu disukai Allah. Ingat, walau apapun keadaan kamu berdua, jangan sekali-kali berpakaian selekeh dan ambil ringan tentang penampilan. Kalau kamu miskin tetapi berpakaian miskin, kamu akan selama-lamanya miskin. Berpenampilan sebaliknya. Sentiasa pakai dan berpenampilan orang yang kaya dan berjaya.”