Razzi Armansur

Meminta lagi walau sudah mendapat

Kita diwajibkan berdoa, setiap hari, beberapa kali sehari. Orang yang enggan berdoa dimurkai Allah kerana berasa diri sudah serba cukup dan lengkap, sedangkan kita ini bertaraf hamba (di sisi Allah) dan sentiasa memerlukan. Berbagai-bagai perkara yang kita perlukan. Antaranya ialah keampunan Allah kerana dosa kita menggunung.

Manusia sentiasa memerlukan. Memohon tertunainya keperluan adalah dari Allah SWT. Minta terus darinya, sebagaimana firman Allah SWT, antaranya menyebut, “Mintalah padaKu, akan Ku perkenankan.” Allah menghendaki kita meminta secara terus, langsung, bukan melalui bomoh. Kaedah ada berbagai, antaranya ialah berdoa, berpuasa, solat hajat. Bagaimanapun, doa atau kaedah itu mesti diiringi dengan usaha yang gigih. Tidak boleh salah satu. kedua-duanya mesti seiring sejalan.

Adakalanya, doa kita telah termakbul tetapi kita tidak sedar. Kita telah mendapat tetapi masih meminta. Ingatlah, tidak semestinya anda mendapat sama seperti yang dipinta tetapi anda diberi hampir sangat dengan apa yang dipinta. Contohnya, anda meminta wang yang banyak, tidak semestinya esok pagi tiba-tiba ada wang yang dipinta di bawah bantal. Allah selalunya akan memberikan jalan dan peluang untuk diusahakan bagi memperoleh apa yang dipinta itu. Allah memberi dalam bentuk ilham atau melalui penglihatan, pendengaran, perasaan.

Mengapa? Kerana manusia diwajibkan berusaha. Apabila anda memohon untuk mendapatkan ayam goreng, selalunya Allah tidak mendatangkan ayam goreng sebaliknya memberi anda anak ayam untuk dibela, membesar dan akhirnya disembelih dan digoreng.

Sensitif. Itulah kunci utama dalam mengenali sama ada doa kita telah dimakbulkan atau belum.

Kita mesti sensitif. Cerita di bawah ini ada kaitan dengan doa dan sensitif. Cerita ini adalah intro dari buku saya yang akan terbit: Hendak Miskin Ataupun Kaya

PADA suatu hari seorang guru menceritakan satu kisah yang sangat menarik dan penuh pengajaran. Begini ceritanya:

Pada zaman dulu terjadi satu banjir besar dalam sebuah kampung di tepi sungai. Semua penduduk kampung telah berpindah kecuali seorang ulama yang tinggal di tempat yang agak tinggi. Ulama tersebut berulang-ulang mengatakan kepada mereka yang akan berpindah, “Pertolongan Allah akan datang. Air ini akan surut. Jangan bimbang.” Tetapi, air makin meningkat menyebabkan penduduk kampung makin tergesa-gesa untuk segera berpindah ke tempat yang kering. Ulama tersebut tetap duduk diam dan berpegang teguh kepada kepercayaan beliau bahawa pertolongan Allah tetap akan datang.

Datang seorang penduduk dengan sampan mendekati ulama tersebut, “Tok Guru, marilah kita pergi, air makin naik.” Ulama tersebut menolak dengan lembut, “Tak apalah, pertolongan Allah akan datang untuk mereka yang sabar dengan segala dugaan.” Orang itu pun mendayung sampainya semula dan berlalu.

Tak lama kemudian datang pula penduduk yang lain dengan sampan. Jawapan ulama tersebut masih sama, “Pertolongan Allah akan datang bagi mereka yang mengharap pertolongan Allah.” Orang yang hendak menolong ulama tersebut pun berlalu. Air bah makin naik. Separuh badan ulama itu telah tenggelam di dalam air; namun ulama tersebut tetap tenang dan percaya air akan surut sebentar lagi.

Selang beberapa minit kemudian datang lagi seorang penduduk kampung dengan sampan untuk menyelamatkan ulama tersebut. Ulama tersebut hanya senyum dan mengatakan, “Allah tidak pernah menghampakan permintaan hambaNya. Pertolongan Allah tetap akan sampai untuk orang yang bertakwa.” Oleh kerana ulama tersebut enggan diselamatkan, orang yang datang dengan tujuan hendak menyelamatkannya tadi pun berlalu.

Air bah semakin naik, akhirnya ulama tersebut tenggelam dan mati lemas.

Anak-anak murid yang mendengar cerita ulama tadi diam seketika mencari-cari pengajaran dari cerita tersebut. Akhirnya seorang murid bertanya, “Tuan guru, kenapa Allah tidak menolong ulama yang warak itu?” Guru tersebut senyum seketika sebelum menjawab, “Allah telah mendatangkan pertolongan sebanyak 3 kali kepada ulama tersebut, tetapi ulama tersebut enggan menerima pertolongan Allah SWT.”

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.