Razzi Armansur

‘Mengapa’ punca kemunduran

Anak sulung saya, Edika Armansur marah-marah apabila pemain pujaan dan idolanya, Kaka akan dibeli oleh Manchester City. Itu khabar yang sekarang sedang menggegar dunia bola sepak. Dikhabarkan inilah penghijrahan termahal dalam sejarah bola sepak — bernilai 243 juta pound. Manchester City kini dimiliki oleh Sheikh Arab dan dikatakan kelab yang terkaya di dunia. Sheikh Arab ini lebih berminat menggunakan wang sebanyak itu membeli pemain ternama dunia, Kaka dari AC Milan, berbanding digunakan untuk membantu rakyat Palestin.

Edika meminati Kaka dan AC Milan sejak darjah 6 lagi, sampaikan namanya diubah menjadi Edika_Kaka. Bahkan rakan-rakan kolej memanggilnya Kaka. Bahkan boleh sedikit sebanyak faham sepatah dua bahasa Itali. Contoh fanatik. Menurut pendapatnya, Kaka tidak akan berhijrah kerana pemain-pemain AC Milan amat mementingkan kesetiaan walaupun bayaran mereka lebih rendah berbanding dengan pemain-pemain superstar lain. Menurut Edika lagi, jikalau Kaka memikirkan wang semata-mata sudah lama dia meninggalkan AC Milan.

Begitulah dunia bola sepak. Suatu malam saya menonton bola bersama Syahril Inteam. Katanya, “Di Eropah, bola sepak bukan lagi sukan tetapi sudah dianggap Ad-din, agama.”

Isunya di sini, apabila anak saya marah-marah, saya akan mengatakan “Itu ‘mengapa’, cari ‘bagaimana’ cara mengatasinya.”

“Bodoh Arab ini, ada duit asyik beli pemain saja.” Katanya lagi. Mungkin tidak sedar, emak Edika adalah keturunan Arab dan Edika, Ezika adalah keturunan JaRab (Jawa + Arab).

Sekali lagi saya berkata, “Itu ‘mengapa’, cari ‘bagaimana’ baru betul. Tak guna berjela-jela mengatakan pasal ‘mengapa’. Hanya menyakitkan diri sahaja. Cari ‘bagaimana’.” Salah satu cara mengatasi adalah dengan berusaha menghalang menghijrahan tersebut di dalam forum rasmi AC MIlan, “The Red and Blacks Forum”. Nickname di dalam forum tersebut: Edika_Kaka.

Sehari dua ini, Edika ‘mengamuk’ di forum rasmi AC Milan (forum.acmilan-online.com). Susah sungguh kalau sudah fanatik. Pernah saya bertanya, “Kenapa tak ada orang yang fanatik minat abah?”

Begitulah. Di sekeliling kita ini hanya penuh dengan ‘mengapa’ sahaja. Jikalau hanya turutkan dan berterusan mencari ‘mengapa’, pasti hidup kita berterusan mundur. ‘Mengapa’ adalah pembuka dan hendaklah serta-merta diikuti dengan ‘Bagaimana’. Kalau hanya memikirkan dan berterusan bercakap dan mencari ‘mengapa’, tak jauh atau lebih kurang sama dengan ‘pakar motivasi’ atau ‘seminar motivasi’ yang sepanjang masa hanya membebel tentang ‘mengapa’ tanpa memberitahu ‘bagaimana’. “Kita mesti bertindak dengan lebih positif” Katanya dengan suara sekuat kilang papan. Itu “mengapa” bukan “bagaimana”. “Mengapa” akan hanya menyebabkan diri mundur, terus mundur kerana seolah-olah ia mengutuk diri sendiri atau melemahkan diri sendiri atau kata-kata orang yang sudah tidak ada daya. Atau lebih ringkas lagi kata-kata orang yang enggan bertindak.

Anak bongsu saya pula, Ezika Armansur memberitahu baru sahaja menghadiri ceramah tentang Palestin di sekolah. Kata Ezika, penceramah memberitahu, anak muda di Palestin mati kerana mempertahankan negara, anak muda di Malaysia mati kerana merempit, dan berbagai-bagai lagi perbandingan antara anak muda Malaysia dengan anak muda Palestin. Termasuk juga, bayi di Palestin dihargai tetapi bayi di Malaysia dibuang. Saya bertanya, “Apa mesejnya? Adakah menyuruh kita bersyukur.” Kalau yang berceramah orang UMNO sudah pasti menghendaki kita bersyukur di bawah pemerintahan parti yang ada sekarang sambil membandingkan keburukan-keburukan negara lain.

“Itu adalah ‘mengapa’. Mana dia punya ‘bagaimana’?” Saya bertanya. Tidak ada jawapan. Saya suka mengesyorkan ‘bagaimana’ yang paling mudah. Daripada mendengar ceramah yang membebel begitu dan tak ada faedah kerana hanya ‘mengapa’, lebih baik dikerah keseluruhan anak murid meminta derma (atau meminta sedekah) dari rumah ke rumah, kompleks ke kompleks, bangunan ke bangunan, sekitar Taman Tun Dr. Ismail, Bandar Utama, Sungai Pencala untuk disalurkan ke Palestin (menggunakan saluran yang betul). Itu ‘bagaimana’ sebenar.

Sana-sini kedengaran mengutuk sekeras-kerasnya penjajahan Israel dan penghapusan etnik di bumi Palestin. Forum sana sini. Itu semua ‘mengapa’. Bahkan dikatakan sebagai musim penting mencari publisti berasaskan penderitaan rakyat Palestin. Bukalah TV, selaklah akhbar, anda akan melihat ratusan ‘mengapa’ dan pencarian publisiti . Hampir semua berkokok tetapi kokok berbentuk ‘mengapa’ tidak ada ‘bagaimana’.

Apa yang perlu dilakukan itulah yang penting. Itulah sebvenarnya ‘bagaimana’. Kalau setakat melaung, mengutuk, retorik, kanak-kanak Tadika pun boleh buat. Dari berkumpul melaung-laung lebih baik berkumpul solat hajat berdoa sungguh-sungguh dan bertebaran mengutip derma untuk disalurkan ke Palestin. Itu sebenarnya ‘bagaimana’.

 

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.