Razzi Armansur

N yang terakhir

Tidak ramai yang percaya dengan teori RAHMAN sebagai Perdana Menteri Malaysia. Bahkan lebih ramai yang mengatakan ia hanyalah senda gurau. Tapi kini telah ternyata di depan mata. Jangan kita pula hendak menjadi bomoh. Katakan saja ia kebetulan dan ia adalah atas kehendak Allah SWT semata-mata.

Teori RAHMAN ini saya pernah lihat pada tahun 1998, di depan rumah DSAI di Damansara Height, zaman Reformasi. Seseorang menunjukkan kertas yang bertulis begini:

R = Rahman
A = Abdul Razak
H = Hussien Onn
M = Mahathir
A = Anwar
N = ??

Pada masa itu Anwar baru sahaja berada di dalam tahanan. Pada masa itu juga Perdana Menterinya adalah Mahathir. Mungkin untuk semangat, mungkin juga sekadar ramalan, A tersebut adalah untuk Anwar. percayalah, ramai yang menyakini A adalah untuk Anwar. Saya adalah salah seorang yang amat meyakini.

Cuma rasanya ada yang tidak kena dengan teori tersebut. Mengapa R tanpa Abdul tetapi A dengan Abdul?

Apa pun. secara kebetulan, ia telah terlaksana. Pada masa itu, tahun 1998 itu kepercayaan A untuk Anwar terlalu menebal, menambahkan semangat untuk melaung, berarak, berhimpun di depan Sogo, Masjid Kampung Baru bahkan di mana sahaja yang ada peluang berdemo.

Nampaknya, yang tidak disangka selalunya menjadi kebetulan. Tidak ada siapa menyangka Abdullah akan mengisi A itu. Tapi, ia telah terjadi. Suratan atau kebetulan? Takdir!

Kini huruf A dan N telah terisi. Najib telah mengisi huruf N. Begitu suratannya.

Cuma yang saya terlepas pandang selama ini, bahawa tidak ada huruf lain selepas N itu. Maknanya N itulah yang terakhir. Baru-baru ini sahaja seseorang berkata kepada saya. saya simpulkan begini, melalui dialog:

“Cuba kamu tengok, ia N yang terakhir, tak ada huruf lain. Maknanya, Najib itulah Perdana Menteri yang terakhir dari UMNO. Betul tak?” Katanya.

“Oh… ” Kata saya yang selama ini terlepas pandang.

“Ini yang orang tak perasan. Kemungkinan itu memang betul kan? Sama betulnya dengan teori RAHMAN. Tak mustahil sebab UMNO, BN sekarang ini pun dah nyawa-nyawa ikan. Golongan muda rata-rata menolak BN dan UMNO, sedangkan golongan muda yang akan memangkah pada PRU 13.” Katanya dengan serius.

Saya mengangguk sebagai tanda setuju dan bertanya, “Pada pendapat kamu, bila agaknya N yang itu akan berakhir?”

“Entah. Hanya Allah yang tahu. Tapi agak pelik, sebelum menjadi PM pun dah dijolok. Fitrahnya, kalau sepanjang masa dijolok, gugur juga akhirnya, sama ada lambat atau cepat.” Sahabat saya berkias.

Kalau saya yang menjadi buah tersebut, pastilah saya akan mempertahankan diri daripada dijolok. Kalau sepanjang masa saya hanya memikirkan bagaimana mempertahankan diri, mengukuhkan kedudukan saya, bila masa pula saya hendak berbakti? Masa saya habis dengan mengukuhkan kedudukan diri. Jikalau ketua kampung hanya mengukuhkan kedudukannya, bila masa dia akan berbakti kepada penduduk kampung? Saya pula berkias.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.