Seseorang menegur saya lagi. Katanya, dagu saya dah berlapis. Mesejnya, saya dah gemuk, menjadikan dagu saya berlapis seperti Elvis Presley, suatu masa dahulu.
Apa tindakan saya? Adakah mengakuinya? Sudah tentu saya terbalikkan. Saya jadikan, “Dagu saya slim”. Setiap kali ada orang menegur saya menjadi gemuk, akan saya terbalikkan menjadi slim. Yang disebut dihujung itu menjadi fokus, jadi saya terbalikkan. Contohnya: “Saya benci rokok.” Sampai mati pun akan terus merokok sebab perkataan “rokok” di hujung itu akan sentiasa diingati dan menjadi fokus.
Sebab itu kempen anti merokok yang hanya menguntungkan setengah pihak adalah gagal kerana kempen itu berbunyi, “Tak Nak Merokok.” Perkataan merokok di depan itulah yang diingati. Lain kali panggil pakar psikologi, jangan panggil pakat ‘motivasi’ (motif untuk beraksi?) Sedari dulu, saya syorkan supaya kempen itu ditukar menjadi, “Rokok Untuk Bahlul” dan “Dadah Untuk Bahlul” — gerenti akan berjaya. Tapi nanti terdengar pula suara, “Kita tidak bercadang…. bla, bla, bla… kerajaan barisan nasional… bla, bla, bla…
Yang dihujung itulah yang diingati dan menjadi fokus. Ia salah satu kaedah dalam NLP. Jadi, yang di hujung itu mestilah yang dikehendaki bukan yang tidak dikehendaki. Ia benar. “Jangan takut pada hantu.” Maka hantulah yang diingati dan ditakuti (hakikat sebenar, bukan manusia takut dengan hantu, tetapi hantu yang takut dengan manusia. Itu pun kalau hantu wujud).
Buktinya: ada bergembira bertemu saudara-mara dalam satu majlis. Semasa hendak balik sebaik saja turun tangga, anda terjatuh, luka dan mengalami kesakitan. Mana yang lebih diingati? Kegembiraan bertemu saudara-mara lebih dari 4 jam atau kesakitan jatuh tangga yang hanya terjadi dalam masa beberapa minit? Yang di hujung dingati.
Menyebut pasal Elvis Presley teringat saya, suatu masa dulu Elvis muncul dengan dagunya yang berlapis, perutnya yang gendut dan keseluruhan badannya gemuk! Tak lama kemudian, hanya lebih kurang sebulan selepas itu Elvis muncul semula dengan bentuk badan yang berbeza. Yang lebih slim! Apa mesejnya? Mesejnya mudah — sekiranya sebelum ini slim kemudian menjadi gemuk sudah pasti boleh slim kembali. Sebab fokus kepada tak boleh, maka tak boleh yang diperolehi. Jadi, kalau anda mengalami masalah berat badan yang berlebihan — fokus pada BOLEH. Memang, tanpa ragu — BOLEH! Tak percaya? Perlu testimoni? Testimoninya mudah — berjuta-juta orang di muka bumi ini telah berjaya menurunkan berat badan menjadi slim, segak bergaya, termasuk aku! (erkk?)
Menurut Anthony Robbins, pada mulanya Elvis tidak mahu lagi meneruskan untuk berlari sejauh 10 kilometer sehari. Sesudah membuat keputusan muktamad, Elvis mengurangkan makan, mengurangkan dadah dan berlari sejauh 10 kilometer setiap hari. Pada hari pertama, Elvis pulang dan berasa sakit satu badan dan berkata, itulah kali terakhir dia berlari.
Tapi, menurut Anthony Robbins lagi, Elvis berlari semula pada keesokan harinya kerana dia mendapat satu rahsia iaitu mengaitkan dengan keseronokan bukan kesakitan. Elvis mengaitkan proses menurunkan berat badan sebagai satu keseronokan. Hasilnya (slim) juga sebagai satu keseronokan. Kerana itu, Elvis berjaya menurunkan berat badan dan menjadi slim semula hanya mengambil masa selama 1 bulan sahaja! Apa mesejnya?
Soalnya sekarang — sampai bila kita akan terus memfokus kekurangan diri bukan kepada kelebihan diri. Sesungguhnya kekuatan, kehebatan diri kita ini sebenarnya melebihi kekurangan diri kita. Tetapi kerana FOKUS kita hanya ke arah kekurangan diri, maka tidak mustahil yang lebih menonjol adalah kekurangan diri. Pelik kan kita manusia ini? Ada kebaikan yang amat baik dan hebat (anugerah Allah) dalam diri tetapi yang dicari-cari dan ditonjolkan adalah kekurangan diri.
Apa yang anda tahu tentang senarai ini:
Kurt Cobain
Elvis Presley
Charles M. Schulz
John Lennon
Albert Einstein
Andy Warhol
Dr. Seuss (Theodor Geisel)
Ray Charles
Marilyn Monroe
Johnny Cash
J.R.R. Tolkien
George Harrison
Bob Marley
Ia disenaraikan oleh Forbes, majalah fakta yang dihormati. Elvis tersenarai nombor dua. Sidney Sheldon baru saja masuk senarai. Senarai seumpamanya mungkin ada di Malaysia juga tetapi tidak ditonjolkan.
Kurt Cobain itu dari kumpulan Nirvana, genre muzik Rock. Mati secara bengong — mati bunuh diri. Duit banyak, tak tahu nak buat apa, jiwa kosong, boring, bunuh diri. Ernest Hemingway tidak tersenarai. Ernest penulis “Orang Tua Dengan Laut” itu pun mati secara bengong — mati bunuh diri bila gagal hendak menuliskan apa yang berlegar, berkecamuk di dalam fikiran ke atas kertas.
Itu adalah senarai mereka yang paling banyak buat duit dari kubur. Mereka dah mati tapi, royalti berterusan, selagi ada bulan bintang. Mahukah anda membuat duit dari kubur? Sesudah mati terus memberikan nafkah kepada keluarga anda selagi ada bulan dan bintang? Saya akan tunjukkan caranya.
Ia bukan perkara baru. Ia telah dilaksanakan oleh moyang, datuk dan juga ayah kita. Moyang, datuk, ayah kita contohnya, paling mudah, menanam pokok durian, rambutan, sampai sekarang ini anda (anak atau cucu) masih menuai hasilnya. Bahkan selagi pokok tersebut belum mati selagi itulah moyang, datuk atau ayah anda berbakti dari kubur. Cuma malang seribu kali malang — kita ini (anak atau cucu) selalu terlupa untuk menyedekahkan Al-Fatihah kepada mereka. Bukan kena bayar pun. Kalau SMS kepada buah hati, berpuluh-puluh kali dalam sehari sanggup pula.
Konsepnya sama — kita menanam, tanaman anda menjadi, bila kita sudah masuk ke dalam kubur, tanaman kita makin subur dan terus memberi faedah kepada keluarga kita yang belum masuk kubur lagi.
Oleh kerana saya terlibat dalam penulisan — maka saya suka mengaitkan dengan buku. Dalam senarai di atas tadi penulis Lord Of The Ring, JRR Tolkien tersenarai. Akan datang penulis tahyul JK Rowling yang kini telah menjadi bilionaire (hasil menulis tahyul) akan tersenarai bila masuk ke dalam kubur.
Hasilkan buku yang bagus dan evergreen. Satu tak cukup. Sekurang-kurangnya 20 judul. Jangan sekali-kali menulis bukan fakta, harapan palsu dan penglipur lara. Tulislah sesuatu yang fakta, tepat, berilmu. Tak payah pakai Dr. Ayam. Yang pakai Dr. Ayam itu penipu besar. Konon Dr. Anugerah. Tak payah, tak perlu pun itu semua. Yang penting ialah impak dari buku anda. Secara kebetulan, tulisan dari Dr. Ayam tak ada impak sama-sekali!
Bila buat sesuatu, mengarang umpamanya, FOKUS kepada masterpiece. Tanyakan soalan bertalu-talu, “Bagaimana supaya tulisan saya ini menjadi masterpiece?”
Sudah tentu bukan tulisan yang merosak seperti novel jiwang yang pada tahun 2006 mengalami kemerosotan jualan sebanyak 33%!
Fakta! Fakta sangat penting jika anda menulis non-fiksyen. Buat kajian yang sangat mendalam terlebih dahulu. Menulis buku non-fiksyen bukan berdasarkan “dengar-dengar” dan “agak-agak”. Fakta! Bagaimana kalau sesudah berada di dalam kubur, yang belum masuk kubur, membacanya kemudian melaksanakannya?
Kita nak buat duit dari kubur, bukan nak dapat kutukan.
Satu lagi isu yang agak lucu kini ialah istilah santai. Apa benda santai itu? Mungkin lebih ringan dari ringan. Komik Doraemon bolehlah dikatakan santai sebab memang santai.
Kononnya, buku yang dikategorikan santai itu nak memupuk orang menarik minat membaca. Tak mahu berat-berat. Tapi, tahukah, di dalam penulisan tidak ada istilah santai? Kalau nak santai sangat, baca saja majalah Doraemon. Yang lucunya — buku penuh dengan gambar-gambar kononnya ia adalah santai. Ilmu di dalamnya tak lebih dari sejengkal tetapi ditambah dengan gambar-gambar dan layout yang susah untuk dibaca, tak ada flow, menjadikan ia sedepa.
Gambar dan layout dan apa yang dikatakan ‘santai’ menjadikan ia menjadi sedepa. Pelik? Memang pelik! Inilah yang dikatakan merosak. Kalau nasyid dirosakkan oleh kumpulan nasyid sendiri dan pengurusnya, industri buku cuba dirosakkan oleh penulis dan penerbitnya. Santai konon! Kalau saya nak tengok gambar-gambar, saya tengok TV. Kalau saya nak santai saya baca buku Doraemon.
—-
Ini kisah benar bagaimana ‘buat duit dari kubur’ terjadi di Malaysia. Kisah ini diceritakan oleh sahabat saya Harun Saibon (entah di mana dia kini) suatu masa dulu. Kisah terjadi bila seorang wanita bujang keturunan Cina mati kerana kanser pada usia yang belum mencecah 40 tahun. Sebelum mati dia sudah pun mencapai tahap yang agak tinggi di dalam Amway, berkat kesungguhan dan kegigihannya. Bila dia mati, bisnesnya tidak mati sebaliknya makin kukuh. Abangnya hanya perlu tukar nama, menghidupkan / membayar keahlian setiap tahun dan berbelanja beberapa ratus setiap bulan untuk mendapatkan bonus yang beribu dan berpuluh ribu seterusnya makin meningkat. Begitu kisah benar buat duit dari dalam kubur yang terjadi di Malaysia.
Secara automatik, waris beberapa usahawan MLM yang berjaya (biasanya sudah melebihi 20 tahun berusaha di dalam Amway) akan mendapat bonus yang telah diterima oleh ibu atau bapa mereka, sesudah masuk ke dalam kubur.
Seperti juga pokok, seandainya yang ditanam bukan benih yang baik, tidak akan menghasilkan buah yang baik yang akan dituai berterusan oleh anak dan cucu, bahkan cicit. Apa yang kita tinggalkan di muka bumi ini, jika ia tidak yang terbaik, kita tidak akan dapat buat duit atau buat kebaikan dari dalam kubur.
Sama ada penulisan atau bisnes yang boleh diwariskan dan diteruskan — semestinya ia hanya yang terbaik. Peluang untuk menghasilkan yang terbaik sentiasa tersedia jika hanya FOKUS kepada kebaikan, kekuatan, kehebatan diri kita ini. Jangan fokus pada kekurangan kerana ia merosakkan.