Bagaimana hendak menggambarkan ternamanya chef dan restoran tersebut? Jika anda hendak makan malam di restoran tersebut anda perlu membuat tempahan awal, 5 bulan lebih awal
(photo)
Roh atau hanya bayangan Gusteau, seorang Eksekutif Chef dan pemilik restoran ternama di Paris telah menasihati Remy, seekor tikus yang baru kehilangan arah, kelaparan dan berada dalam kedudukan yang amat kalut.
Itulah kisah dalam filem animasi ‘Ratatouille’ yang diterbitkan oleh Disney, disediakan oleh Pixar dan ditayangkan ke seluruh dunia pada tahun 2007. Filem yang memenangi Oscar dalam kategori “Best Animated Feature Film of the Year” pada tahun 2008 ini, baru sahaja saya tonton.
Tikus sememangnya telah menjadi inspirasi kepada Disney sejak dahulu lagi. Bahkan dikatakan, empayar Disney bermula dari seekor tikus. Khabarnya, semasa Walt Disney makan tengahari, seekor tikus kerap muncul dan seperti meminta makanan darinya. Dari situ terbitlah idea menjadikan tikus sebagai watak kartun. Terciptalah Mickey Mouse dan Minnie Mouse yang terkenal hingga ke hari ini.
Begitu juga dengan Walter Lantz, pencipta watak Woody Woodpecker yang terkenal itu. Sedang Walter berbulan madu dengan isterinya di dalam rumah kabin, seekor burung telah memekak mengganggunya di luar kabin. Burung itu seolah-olah sedang memaku pokok dan mengeluarkan suara yang bising. Dari situ tercipta watak ‘Woody Woodpecker’.
Jadi, lain kali jikalau terlihat haiwan atau apa saja objek, subjek di sekeliling kita ini, lihat dengan 3 mata. Mana satu lagi mata? Ada di dalam otak. Lain kali kalau terlihat kambing, kucing, ayam, ikan paus di belakang rumah, lihat dengan 3 mata. Mengapa? Kerana, “Bukan saja-saja Allah menciptakan dan meletakkan sesuatu di sekeliling kita.” Bukan saja-saja. Setiap sesuatu bersebab. Sebab atau hikmah itulah yang perlu kita cari dengan keseluruhan pancaindera termasuk menggunakan 3 mata.
Kembali kepada cerita Ratatouille tadi. Seperti biasa, jika anda teliti filem-filem animasi Disney, Pixar — ada nilai yang diterapkan sejak dari dahulu lagi iaitu, “Nilai persahabatan dan kesetiaan.” Perhatikan. Ratatouille juga membawa mesej yang sama — nilai persahabatan dan kesetiaan. Ditambah dengan satu lagi iaitu kegigihan (determination).
Mengapa filem, drama atau cerita kita tidak menyampaikan mesej tersebut? Atau, memang ada mesejkah filem atau drama kita? Sijak bila filem atau drama kita membawa mesej?
Remy, tikus yang menjadi hero dalam filem ini adalah peminat makanan dan tahu menilai makanan. Dia tidak seperti tikus lain yang makan seadanya. Dia memilih dan tahu menikmati makanan. Tukang masak pujaannya ialah Chef Gusteau. Sejak dari mula lagi Remy sudah memasang cita-cita untuk bertemu dengan Gusteau dan belajar memasak dari Gusteau. Itu fokus Remy. Apa yang difokus akhirnya menjadi kenyataan (Rahsia Ajaib untuk Berjaya). Remy bertemu anak Gusteau, tidak bertemu Gusteau yang telah mati. Hanya bertemu dengan roh Gusteau atau Gusteau khayalan Remy.
Linguini, anak Gusteau, tidak pandai masak dan di tempatkan di dapur restoran Gusteau sebagai pencuci. Remy mempunyai kebolehan luar biasa iaitu deria bau yang kuat. Berdasarkan deria bau itulah Remy mengajar Linguini memasak. Oleh kerana Remy memang meminati makanan yang sedap-sedap, bau makanan yang sedap-sedap pada masa lalu yang terakam dalam fikirannya dijadikan panduan untuk memasak makanan yang sedap-sedap.
Banyak peristiwa lain yang terjadi dalam cerita ini. Jalan ceritanya amat simple tetapi penuh mesej dan sudah tentu mengasyikkan.
Apa nasihat Chef Gusteau atau Gusteau khayalan kepada Remy? Nasihat itu diberikan semasa Remy terdampar di tepi longkang di Kota Paris. Remy terpisah dengan keluarga dan kawan-kawannya tetapi tetap berjaya bersama buku “Anyone Can Cook” karya Gusteau. Semasa membuka buku tersebut roh Gusteau atau Gusteau muncul dari buku tersebut, memberikan nasihat begini:
1. “Jikalau fokus kepada apa yang telah terjadi di belakang, tidak akan nampak apa yang di depan.” Memang benar, kebanyakan dari kita hanya memfokus kepada apa yang telah terjadi pada masa lalu walaupun kita tahu tidak ada kuasa manusia untuk menukar apa yang telah terjadi pada masa lalu. Setiap hari, sepanjang hayat memfokus kepada yang telah berlaku sambil berkata, “Kalaulah…” Mana yang lebih utama? Masa depan atau masa lalu? “Utamakan yang utama.” Fokus. Betapa pentingnya memfokus dengan tepat kerana kita mendapat apa yang menjadi fokus. Memfokus kepada masa silam hanya akan memperoleh masa silam itu.
2. “Makanan sentiasa mendatangi mereka yang suka memasak.” Fikirkan sejenak kebenarannya, kemudian cuba ubah ‘makanan’ dan ‘memasak’. “Kejayaan akan mendatangi mereka yang sukakan kejayaan.” “Kegagalan akan mendatangi mereka yang sukakan kegagalan.” Bagaimana dengan wang? “Wang akan mendatangi mereka yang pandai menguruskan wang.” Orang yang suka biasanya pandai. Tapi ramai yang suka wang tetapi tidak pandai menguruskan wang. Berbeza dengan memasak — ramai yang suka memasak, kerana suka itulah lama-kelamaan menjadi pandai memasak.