Razzi Armansur

Pengajaran dari buku terpakai

Di Taman Tun, tak jauh dari rumah saya ada sebuah kedai menjual barang-barang terpakai. Second Charm namanya. Kedudukannya di belakang Restoran Muhibbah (dulu pejabat Karangkraf).

Kedai dua tingkat itu menjual berbagai-bagai jenis barangan terpakai dan apa yang agak menghairankan, kedai ini sudah lama bertahan, sejak Karangkraf masih lagi di Taman Tun, walaupun pembelinya kurang. Itulah keajaiban FOKUS — memfokus kepada meneruskan. Bukan seperti setengah usahawan Melayu, memfokus kepada bila nak berhenti. Di mana fokus, di situlah perolehan. Yang difokus itulah yang diperolehi kerana kita bergerak ke arah apa yang kita fokus. Maksud utama fokus ialah — tepat, tidak berubah-ubah.

Go For It! Anda akan mendapat keajaiban tersendiri bila anda telah menetapkan fokus. Anda akan “Go For It!” Itu lazimnya. Tak percaya? Anda boleh mencuba hari ini juga.

Tidak akan terjadi fokus kalau hanya peringkat KEINGINAN. Akan terjadi Fokus kalau KEINGINAN DIUBAH MENJADI KEMAHUAN, KEMUDIAN KEMAHUAN YANG KUAT DAN AKHIRNYA KEPERLUAN.

Contohnya: Hari ini, kalau sebelum pukul 12 tengahari, anda tidak membayar RM1,000.00, api dirumah anda akan dipotong oleh TNB. Apa akan anda lakukan? Adakah anda hanya berkeinginan untuk menyelesaikan sahaja? Atau anda berkeperluan untuk membayar RM1,000.00 itu? Kalau setakat keinginan, memang mulai pukul 12 tengahari ini hingga tarikh diberitahu kelak, rumah anda akan bergelap. Tidak ada jalan lain, anda berkeperluan untuk membayar tunggakan sebanyak RM1,000 itu, walau apa terjadi kerana elektrik itu adalah kemestian. Kalau telefon atau streamyx kena potong, kalau bukan keperluan dan kemestian anda pasti akan berkata, “Nantilah dulu, ada yang lebih utama.”

Adakah anda akan hanya berkeinginan untuk mendapatkan wang bagi membayar tunggakan elektrik itu? Sesaat dua memang anda berkeinginan tetapi kemudian ia berubah menjadi kemahuan. Anda benar-benar berkemahuan untuk mendapatkan wang, jika tidak rumah anda bergelap, keluarga anda kepanasan. Kemahuan itu berubah menjadi kemahuan yang amat kuat kerana sememangnya anda mesti mendapatkan wang untuk membayar tunggakan, walau apapun terjadi. Kerana ia kemahuan yang amat kuat akhirnya ia menjadi keperluan — anda akan “Go For It!” Tak payah fikirkan sangat bagaimana mengubah Keinginan menjadi Keperluan. Anda hanya perlu fokus kepada apa yang sangat dikehendaki. Anda menghendaki RM1,000.00 maka fokus kepada wang yang amat-amat diperlukan untuk membayar tunggakan, KALAU TIDAK bergelaplah rumah anda, anak-anak akan kepanasan, bayi kecil akan menangis tak henti-henti kerana kepanasan. Jiran-jiran bengong mula berbisik sesama sendiri dan bila anda menoleh mereka buat-buat memandang ke arah lain.

Hanya perlu FOKUS DAPAT, anda akan mengalami sendiri GO FOR IT!

Go For It! ini saya perolehi dari seorang kenalan lama yang bertemu selalunya hanya bila ada sukan sekolah rendah. Masih ingat Mobikom 018. Dialah CEO Mobikom suatu masa dulu. Namanya Zamani Zakaria, adik beradik dengan Zainor Zakaria, peguam yang glamour itu. Zamani sekarang berada di Suruhanjaya Multimedia, saya tak tahu pengarah bahagian mana kerana masalah yang sama, “Kad saya habis” atau “Tak bawak kad” atau “lupa nak load”. (Kenapa dalam dompet saya sentiasa ada kad bisnes dan sentiasa dihulur sebelum diminta? Kerana saya dididik begitu oleh sahabat-sahabat Cina).

Memang lama benar tak bertemu dengan beliau. Kali terakhir bertemu di depan The Mall, masa itu Suruhanjaya Multimedia di Tingkat 21, PWTC. Saya bersama Presiden Ukhwah.com dengan urusan tertentu, terserempak dengan beliau di depan The Mall. Bila menghulurkan kad saya ketika itu dia mengajak, “Datang jumpa saya. Ada kaitan dengan Portal.” Tapi, sejak dari hari itu sentiasa bertangguh saja dari bertemu walaupun rumahnya hanya 5 minit dari rumah saya. Baik atau buruk tabiat bertangguh?

Minggu lepas sukan untuk sekolah anak saya Ezika Armansur (salah seorang pewaris Armansur.com Berhad). Untuk tahun ke 4, sekolah SKTTDI (2) merempat bila sukan tahunan sebab padang sekolah tersebut telah didirikan bangunan tambahan sekolah 3 tingkat yang sememangnya tidak diperlukan. Dengan adanya tangan-tangan celaka yang mendapat habuan khusus, padang dimusnahkan, digantikan bangunan tambahan sedangkan bangunan lama masih boleh digunakan. Murid tidak bertambah kerana sekolah tersebut tidak ada lagi murid-murid Cina yang mungkin bersekolah di Bandar Utama atau Damansara Jaya. Zaman anak saya yang sulung bersekolah di situ, ramai sekali murid Cina. Saya suka kalau Cina ramai sebab ada semangat bersaing.

Di atas padang SMK Bandar Utama, sambil melihat sukan budak-budak, bercerita dengan Encik Zamani. (anak saya agak kecewa kerana Rumah Biru, rumahnya kalah beberapa mata saja dengan rumah merah. Kedengaran dia melaung-laung, “Hoi… baru pertama kali menang dalam sejarah tak payah eksyen lah!” Boleh tahan juga mulutnya — sama celupar dengan abahnya).

Kata Encik Zamani — seorang kawannya yang sama-sama menuntut di UK dulu sentiasa mengamalkan GO FOR IT! sampailah ke hari ini, Saya menyampuk, “FOKUS?” Encik Zamani menjawab, “Ya fokus. Dia fokus sampai dapat.” Contohnya, kata Encik Zamani, kawan beliau itu hendakkan motor besar, diusahakan sampai dapat. Bila sudah dapat dia bawa motorsikal berkuasa tinggi itu dari London ke Manchester. Saya tak tahu sejauh mana London ke Manchester itu tetapi Go GOR IT! memang boleh dijayakan hanya setelah ada FOKUS.

Sebagai iklan: Kalau hendak tahu lebih lanjut tentang FOKUS, tunggu buku RAHSIA AJAIB, karya Razzi Armansur (ehem).

BERBALIK kepada kedai barang terpakai tadi. Saya membeli buku lama, buku cerita dongeng pengajaran dari negara China. Saya paparkan 3 cerita dari buku tersebut (dengan ringkas):

1. MENUNGGU ARNAB: Seorang petani yang rajin (bukan yang miskin) sedang mengerjakan kebunnya, tiba-tiba berlari seekor arnab gemuk di sebelahnya dan melanggar perdu pokok di depannya. Arnab itu pengsan. Petani itu mengambil arnab tersebuit untuk lauk tengahari.

Esoknya, petani itu menunggu di tempat yang sama. Seharian dia menunggu arnab berlari laju dan terlanggar perdu pokok seperti semalam. Jadi, tak payahlah dia susah payah mencari lauk tengahari. Tak payah susah payah bekerja kerana rezeki datang bergolek.

Esok, lusa dan seterusnya berbulan-bulan petani bengong itu menunggu, namun hanya sekali itu sajalah mendapat rezeki bergolek.

Kebunnya menjadi semak samun dan petani yang hampir menjadi kaya itu kembali menjadi miskin kerana meninggalkan pekerjaannya menunggu rezeki datang bergolek.

Moral: Rezeki bergolek, nasib yang baik, bonus, pokok durian runtuh, lori sayur terbalik, lori bawak duit terbalik tidak terjadi setiap hari. Ia terjadi setahun sekali, atau sekali seumur hidup. Hidup tak boleh berlandaskan nasib kerana, percayalah, semakin kita kuat berusaha, semakin kita bernasib baik.

2. WAJAH YANG SAMA: Seorang petani (tengoklah, betapa negara China seperti Belanda — sangat mementingkan pertanian), kehilangan kapak. Satu-satunya kapak carik makan.

Petani ini mengesyaki jirannya yang mencuri kapak tersebut. Bila terlihat jirannya keluar rumah, petani itu berkata dalam hati, “Itulah pencurinya. Muka pun muka pencuri.” Dia memandang muka jirannya itu dengan penuh kebencian.

Petang itu kapak yang disangka dicuri oleh jirannya itu ditemui di belakang rumah. Anaknya yang meletakkan di situ.

Esoknya, jiran yang disyaki mencuri kapak itu keluar dari rumah seperti biasa. Masih berwajah seperti semalam dan hari-hari sebelumnya. Bila terlihat jirannya keluar, petani itu berkata dalam hati, “Maafkan aku, kerana menuduhmu semalam. Kamu sebenarnya seorang yang baik, cuma aku yang salah sangka.” Petani itu memandang wajah jirannya dengan sayu dan kesal.

Moral: Perspektif kita terhadap suasana dan manusia di sekeliling kita menentukan anggapan, jangkaan dan perasaan terhadap suasana dan manusia.

3. CONFUSIUS PUN TAK DAPAT JAWAB: Sekumpulan kanak-kanak menemui Confusius yang bijaksana itu untuk bertanyakan soalan. Mereka membawa lilin untuk demo.

“Tuan, lazimnya, yang dekat dengan api itu panas dan bila jauh ia tidak panas” Dengan menggunakan lilin kanak-kanak tadi mebuat demo.

“Ya betul” Kata Confusius.

“Jadi, pada sebelah pagi, kita ini jauh dari matahari dan tengahari kita dekat dengan matahari, betul begitu?”

Seorang lagi kanak-kanak bertanya, “Tuan, biasanya yang dekat itu kelihatan besar dan yang jauh itu kelihatan kecil, betul?”

Confisius menjawab, “Benar sekali.”

Kanak-kanak itu menyambung, “Jadi, pada waktu pagi matahari itu dekat dengan kita sebab ia kelihatan besar, dan pada waktu tengahari ia jauh sebab kelihatan kecil. Betulkah begitu?”

Confisius tidak boleh menjawab kerana dia tahu jarak antara bumi dengan matahari itu tidak pernah berubah walau seinci pun.

Moral: Tidak mungkin semua orang boleh tahu dan bijak sepanjang masa. Kerana itu, penting sekali kita mempunyai beberapa sumber rujukan.

Moral sampingan: Janganlah tanya aku banyak-banyak pasal MLM, penulisan dan sukses, kerana banyak yang aku tak tahu dan aku perlukan masa untuk belajar lebih lanjut. Bila usia makin meningkat, masa semakin suntuk.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.