Skim Ponzi akan tumbuh bagai cendawan tumbuh lepas hujan apabila musim ekonomi merudum. Apa penanda ekonomi jatuh teruk? Penandanya ialah apabila makin ramai yang dibuang kerja, makin ramai yang tidak menjelaskan hutang kad kredit, sektor kerajaan makin tidak mampu membazir.
Skim Ponzi adalah mengutip wang dan kutipan wang itu digunakan untuk membayar orang yang ‘melabur’ sebelumnya. Bentuknya macam piramid — banyak menyokong sedikit. Memerlukan wang yang lebih banyak untuk membayar orang yang terdahulu. Bila piramid ini akan runtuh? Apabila tidak ada lagi orang yang masuk di bawah dan tidak ada wang untuk membayar orang yang di atas. Atau harapan musnah apabila yang di atas tidak ‘re-invest’ atau ‘masuk semula’.
Atau yang paling pasti ada ‘pelabur’ atau penanding yang marah atau cemburu lalu melapor kepada Bank Negara dan Suruhajaya Sekuriti. Dua badan ini tidak akan bertindak selagi tidak ada yang melapor. Maka ‘tauke’ ponzi akan dibawa ke mahkamah setelah serbuan dilakukan. Ikat jaminnya, selalunya mencecah juta.
Bilakah selalunya muncul dengan rancaknya skim ini? Saat kegawatan, kelembapan atau kemelesetan ekonomi. Di mana? Di serata dunia ada skim ponzi. Di Malaysia? Banyak sekali dan ia sentiasa berlindung di sebalik perkataan yang agak elit seperti ‘pelaburan jariah’.
Mengapa skim ini amat sukar dihapuskan dan sentiasa berulang-ulang? Kerana sebenarnya kita semua sedang mengulang sejarah. Secara mudah, berasaskan peribahasa India, “Jikalau seseorang kena tipu, yang bersalah bukan yang menipu,” maka kita dengan mudah mengaitkan, “Selagi ada yang boleh diperdaya dan rela diperdaya, selagi itulah akan ada yang memperdaya.” Mudah? Biasa? Memang terlalu biasa dan dipandang remeh kerana itu sabah hari kita akan mendengar begitu ramai yang kena pedaya.
Dan yang pasti, tidak ada istilah ‘taubat’. Orang yang pernah kena dengan rela hati membiarkan dirinya ‘terkena’ lagi. Bahkan ‘membela’. “Heh… ini lain… ” Katanya. Inilah kesempatan yang diambil oleh ‘tauke’ skim ponzi. Tidak akan ada yang taubat dan sepanjang zaman sentiasa ada peminatnya.
Bagaimana hendak mengetahui ia sebagai satu skin ponzi yang pasti penghujungnya membawa kesengsaraan? Amat mudah iaitu berdasarkan gerak hati yang telah lama berada di dunia ini: “Jikalau ia sukar dipercayai sememangnya ia sukar dipercayai.” Ditambah dengan satu lagi kepastian: “Jikalau lampu dipasang gemerlapan, perangkap sedang dipasang.” Mudah? Sangat mudah sebab itu selalu dipandang remeh.
Al-kisahnya pada suatu hari hampir saya terpedaya dengan skim ponzi yang berlindung di sebalik ‘future trading’. Pasaran hadapan pun tidak saya tahu dengan pasti, tetapi kawan saya ini beria-ia mengajak untuk turut sama ‘melihat-lihat’ dulu. Tempatnya di Rawang.
Mengapa hati saya berdetak ia adalah skim ponzi? Mudah saja, berdasarkan, “Jika ia sukar dipercayai sememangnya ia sukar dipercayai.” Di samping satu lagi yang penting iaitu, “Jikalau ia terlalu mengiyakan bermakna ia adalah penipuan.” Segala rupa sijil di gantung di dinding, hatta sijil pendaftaran perniagaan pun dipamerkan. Tidak ada pejabat yang menggantung sijil pendaftaran syarikat (ROC) tetapi sijil tersebut digantung di pejabat tersebut. Khabarnya ialah ‘pasaran hadapan isirong kelapa sawit’ atau ‘crude palm oil’ — ringkasnya CPO. Ada beberapa orang pekerja kononnya sedang meneliti geraf pasaran turun naik di skrin komputer. ‘Traders’nya (konon-kononnya), sedang bersembang antara satu sama lain. Begitukah cara pasaran hadapan dijalankan? Saya yang hanya dengar-dengar ini pun sudah mula syak, bukan begitu cara pasaran hadapan dijalankan. Bukan sembang-sembang sambil refresh komputer dan menunjukkan kepada umum geraf-geraf yang kononnya turun naik harga CPO.
Hati saya semakin berdetak apabila diberitahu pulangan bulanan adalah antara 8% sehingga 12% SEMINGGU atau lingkungan 32% SEBULAN atau melebihi 300% SETAHUN. Jika ia sukar dipercayai sememangnya ia sukar dipercayai. Sedangkan saham amanah yang dijalankan dengan profesional pun adakalanya hanya mencecah 7% setahun. Persoalan timbul ialah, “Apa yang membolehkan mendapat pulangan sehingga 300% setahun”? Mana ada dalam dunia ini pulangan bisnes yang begitu dahsyat? Jikalau pulangannya pun 300%, berapa agaknya keuntungan syarikat tersebut setahun? Sejuta peratus?
Pernah dulu saya mendengar, bahawa pasaran hadapan tidak menetapkan jumlah pulangannya, melainkan berdasarkan kebijksanaan kita menguruskan pelaburan.
Apabila saya bertanya tentang kebenaran Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti dengan selamba pekerjanya menjawab, “Boss ada kawan di Bank Negara.” Adakah Bank Negara itu kepuyaan bapanya? Suruhanjaya Sekuriti? Bukan pekerja itu yang menjawab sebaliknya kawan saya yang sebelah menjawab, “Tak payah… ini bukan pelaburan nak guna kebenaran Suruhanjaya Sekuriti”. Jadi benarlah, yang menyebabkan diri kita ini terpedaya adalah diri kita sendiri. Kerana kita ‘menyokong’lah maka kita terpedaya. Dalam hal ini tidak rugi jikalau kita berasa was-was dan sentiasa bersoal-jawab dengan diri sendiri.
Telinga kita pun dah muak dengan ayat, “Ada kenalan di…” Adakah kenalan itu menjamin pelaburan kita selamat?
Kemudian kawan saya itu semakin mengiyakan, “Kita tak tahu berapa banyak yang dia buat sehari. Yang dibagi kita cuma 8 peratus seminggu.” Memang sah, siapa sebenarnya yang membenarkan diri diperdaya? Diri sendiri atau orang lain yang membenarkan diperdaya?
Sejarah akan sentiasa berulang dan manusia akan sentiasa mengulang sejarah. Orang yang berhati-hati pun akan terkena apatah lagi jikalau tidak berhati-hati. Sentiasa patuh dengan kata-kata lama, “Jikalau ia sukar dipercayai, sememangnya ia sukar dipercayai.” Dengar pada gerak hati sendiri. Jikalau tidak mahu mendengar atau buat-buat tak dengar kepada gerak hati sendiri, gerak hati siapakah yang hendak didengar?