Razzi Armansur

RAHSIA AJAIB

RAHSIA AJAIB — Another Bestseller by Razzi Armansur

PENGENALAN

RAMLI bangun, pada pagi ini, tidak seperti hari-hari biasa. Ada harapan baru. Ada harapan untuk hidup senang, kaya dihormati sebagai manusia dan semestinya bebas dari kemiskinan, kegagalan, penghinaan yang terpaksa ditanggung sejak dari lahir. Dalam usia yang sepatutnya sudah mencapai kejayaan hidup atau sekurang-kurang tinggal beberapa langkah lagi untuk memasuki alam kejayaan, kehidupan Ramli sebenarnya beratus-ratus atau beribu-ribu batu jauhnya dari apa yang dikatakan kejayaan.

Bangun pagi, saban hari, 365 hari setahun, bagi Ramli bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Kadang-kadang adakalanya Ramli berharap supaya tidak perlu bangun menghadapi sehari lagi dalam hidupnya. Gambaran pertama ialah hari yang akan membosankan, berlarutan dengan sepantas kilat pemikiran Ramli dibawa kepada masa lalu — kegagalan, keburukan, kesusahan dihimpunkan dibawa ke saat ini. Semuanya berlaku dengan amat pantas dan tepat ? dimainkan semula di depan Ramli dan bentuk wayang gambar berskrin besar, warna-warni diiringi dengan suara yang kuat di kanan kiri telinganya, Serta-merta perasaan Ramli menjadi amat susah hati. Walaupun gambaran, pendengaran dan perasaan itu menyebabkan susah hati, tetapi ia disukai. Buktinya, setiap kali bangun pagi, saban hari, 365 hari setahun, diulang-ulang, dicari-cari supaya boleh mengulang gambaran, pendengaran dan perasaan tersebut.

Pada kebanyakan masa, seketika sesudah itu, Ramli akan menjadi ?bomoh? ? meramalkan ramalan karut ? hari ini, esok dan seterusnya, sepanjang hayat dia akan mengalami apa yang telah dialami sepanjang masa lalu. Lebih menakjubkan ? ramalan Ramli tepat belaka. Itu yang diramal, itu yang terjadi. Ramli mempunyai bakat ?bomoh? semulajadi.

Tapi hari ini berbeza walaupun Ramli masih lagi meramalkan keburukan-keburukan yang bakal dialami 1, 5, 10 tahun akan datang. Ada harapan baru. Dia akan mendapat satu rahsia penting. Ada satu rahsia ajaib yang akan diperolehi dari rakan-rakan lamanya. Tapi betulkah ia rahsia ajaib? Apa yang ajaib sangat? Kalau benar ajaib kenapa begitu mudah kawan-kawannya akan menyampaikan rahsia itu kepadanya.

Ramli mencebik, “Ajaib konon!? Apa yang ajaib?” Bunyinya seperti Ramli tidak percaya dan rasa tidak percaya itu disertai dengan marah. Kekecewaan hidup membentuk Ramli menjadi seorang yang pemarah dan sesekali pembenci. Benci dia dengan perjalanan hidupnya sendiri. Bertambah memuncak kebencian jika dia mula membandingkan hidupnya dengan kehidupan orang lain. Kadang-kadang, bahkan selalunya dia mencari peluang untuk menyalahkan orang lain yang kononnya menjadi penyebab hidupnya yang tidak seperti dalam angan-angannya. Sifat dengki, cemburu, iri hati sangat menebal dalam diri Ramli — setiap kali ada yang menyebut tentang kejayaan orang lain, dia sudah bersedia dengan keburukan-keburukan yang ada dalam kejayaan itu. Bahkan keburukan-keburukan itu adalah rekaan semata-mata disebabkan oleh rasa dengki dan iri hati. Contohnya, bila ada yang berkata, “Wah makin besar bisnes orang itu,” Ramli dengan segera akan menyampuk, “Alah, banyak hutang. Aku pun boleh, kalau bisnes banyak hutang macam tu?”

Angan-angannya, dia seorang yang kaya, berjaya, dianggap penting, dihormati sebagai manusia biasa. Itu angan-angannya, tetapi hakikatnya — miskin (hanya atas sikit dari papa kedana), gagal dalam semua bidang bahkan Ramli dapat menjangkakan kegagalannya itu akan diwarisi oleh anak-anaknya yang hanya 4 orang itu. Penting? Tidak ada siapa yang menganggap seorang yang miskin itu penting. Kalau dianggap penting, ia hanyalah pura-pura sahaja. Sama seperti kata-kata Ramli yang hanya dianggap angin, walaupun sekali-sekala kata-katanya betul. Dianggap penting? Penghormatan? Tidak ada dalam hidup Ramli, bukan saja sejak akhir-akhir ini bahkan sejak puluhan tahun dulu. Sebagai manusia, tidak seorang pun manusia yang tidak mahu dianggap penting dan dihormati. Ia tidak ada dalam kehidupan orang miskin dan gagal — sama seperti keadaan sekarang ? perubatan adalah untuk orang kaya sahaja. Orang miskin, kalau sakit kronik, mati di rumah saja kerana perubatan hanya untuk orang yang berduit.

Ramli miskin harta benda, miskin keluarga dan miskin sahabat. Sahabatnya tidak ramai. Kawan-kawan minum teh di kedai kopi saja yang ramai. Bahkan menjadi agenda Ramli untuk lepak di kedai kopi bergaul dengan kawan-kawan sehaluan, sehati sejiwa. Sehari tak lepak, serasa tak sempurna hidupnya sehari itu kerana lepak itu adalah pelengkap hidupnya.

Sekali dulu, Ramli pernah mengajak kawannya untuk lepak sama di kedai, meramaikan ?pejuang lepak?, menambahkan lagi jumlah manusia yang membuang masa, menambahkan lagi dosa kerana tidak ada lepak yang tidak diselang-selikan dengan dosa, menambahkan lagi kebodohan kerana selalunya dalam lepak di kedai kopi bukan fakta yang menjadi bahan cerita tetapi 99 peratus adalah rekaan sendiri, persepsi sendiri. Jika ada ‘kaki pancing’ di dalam kumpulan itu pasti akan hanya kedengaran temberang dan kelentong kaki pancing tersebut kerana khabarnya begitu ? kaki pancing memang kuat kelentong — “Ikan yang terlepas itulah yang besar. Yang dapat dan dibawa balik kecil saja.”

“Aku nak lepak sama? Kenapa?” Tanya kawan Ramli itu.

“Seronoklah, campur masyarakat.” Balas Ramli.

“Campur masyarakat? Masyarakat mana yang kita kena campur sebenarnya?” Tanya kawan itu. “Memang kita kena campur masyarakat, tapi bukan masyarakat yang merosak?”

“Siapa merosak?” Ramli melenting.

“Bagi kamu ia tak merosak. Tapi bagi aku ia merosak dan aku takkan nak campur masyarakat yang merosak. Kalau kita campur dengan orang yang rosak dan merosak, kita akan menjadi rosak. Kalau terus-menerus bergaul, kita terus-menerus rosak. Itu saja.” Kawan itu membalas sambil menasihati.

Sambil menahan marah Ramli mengakui kebenaran kata-kata kawannya itu. Namun, kerana sudah terlalu lama bergaul dengan ‘kaki lepak’, sudah sebati dan menjadi darah daging, sekiranya Ramli tidak lepak bersama rakan-rakan seperjuangan, badannya terasa seperti akan demam. Bila menjejakkan kaki di tempat lepak, tiba-tiba Ramli menjadi sihat dan gembira. Tanpa disedari juga, Ramli mula ‘menyalin’ beberapa sikap kawan-kawan (sahabat-sahabat, sebenarnya). Jika ada 10 orang sahabat setia kaki lepak yang didampingi setiap petang, maka Ramli akan ?menyalin? kesemua 10 sikap dari 10 orang sahabat. Di antara sahabat sejati itu ada yang sentiasa hendak menang bila bercakap sehingga urat-urat lehernya sentiasa tegang, sepanjang masa. Ada yang kaki temberang, kuat kelentong, ada yang umurnya saja makin tinggi tapi otaknya makin rendah, bahkan ada yang tidak tahu apa sebenarnya yang dicakap. Ada yang bodoh tapi lagak serba-tahu. Sikap-sikap itulah yang diserap oleh Ramli diadun menjadi sebati, tanpa disedari, sejak bertahun-tahun.

Kadang-kadang Ramli seperti merajuk bila kata-katanya yang dianggap bernas (padahal rekaan sendiri) tidak dihiraukan. Tapi dia hanya merajuk melalui ekspresi muka dan dalam hati saja. Ramli mesti menjaga maruah, takkan nak merajuk melalui kata-kata. Hanya, yang pasti hatinya pasti akan berkata, “Aku ni orang miskin, sebab itu cakap aku orang tak percaya.” Itulah yang diulang-ulang sejak dulu lagi dan akan terus diulang-ulang di masa akan datang. Perkataan, “Aku miskin” sentiasa diulang-ulang sejak bertahun-tahun lamanya dan akan terus diulang bertahun-tahun akan datang. Kata-kata itu mantap dan amat diyakini dengan penuh kepercayaan sejak dulu dan akan datang.

Itu tidak mencukupi. Untuk lebih ‘menyempurnakan’ lagi, keluhan menjadi agenda utama Ramli setiap hari. Tidak ada satu hari pun yang dia tidak mengeluh. Kerana seperti sudah sebati dan terlajak, sekalipun dia memperolehi sesuatu yang baik, akan tetap dicari keburukannya supaya boleh dijadikan bahan keluhan. Sekali lagi, seperti lepak, keluhan adalah pelengkap hidup Ramli. Terasa ada yang tak kena jika tidak mengeluh dalam sehari itu.

Dalam pada itu, Ramli menaruh impian kehidupannya akan menjadi lebih baik di masa akan datang. Lintasan-lintasan angan-angan itu terjadi sekali-sekala dalam hidup Ramli. Tapi yang pasti angan-angan itu akan segera ditenggelamkan oleh keluhan. Tetapi, baru-baru ini bila terjadi lintasan angan-angan untuk hidup senang, dia teringat akan “Rahsia Ajaib” yang sudah lebih dari 6 bulan didengarnya. Oleh kerana pengaruh dari kedai kopi, sikap bertangguh telah menjadi agenda utama hidup Ramli. Sepatutnya 6 bulan lepas Ramli telah mendapat Rahsia Ajaib itu, sudah mengamalkannya dan sudah pun memperolehi keajaibannya kerana sebagaimana yang pernah didengar oleh Ramli, ada yang baru sebulan mengamalkan Rahsia Ajaib tersebut sudah merasai kesannya. Apatah lagi 6 bulan. Tapi oleh kerana bertangguh menjadi keutamaan, kegemaran ditambah dengan rasa tidak percaya yang menebal, Ramli membiarkan melupakan sahaja Rahsia Ajaib tersebut. Bahkan ia dicari bahagian yang boleh dikutuk, “Ajaib konon? Apa yang ajaib sangat? Kalau tak payah ajaib tak boleh? Aku ni tak payah ajaib, tak payah rahsia boleh saja kalau nak kaya, nak berjaya? Belum sampai lagi masanya.”

Itu anggapan enam bulan lepas. Kini, pada pagi Ramli bangun dengan satu azam baru (mungkin azam sementara saja), entah mimpi apa yang melandanya malam tadi, Ramli teringat semula dengan Rahsia Ajaib. Dalam pada dia tidak berapa gembira (sebagaimana biasa) selepas bangun pagi, tiba-tiba ada satu perkataan bergema di dalam dirinya, “Apa salahnya mencuba?” Itulah permulaan keinginan Ramli untuk mencuba Rahsia Ajaib.

Ramli segera bangun untuk mendapatkan Rahsia Ajaib yang tidak diketahui di mana ia berada dan bagaimana dia mesti mendapatkannya. Dalam pada itu, sesekali terdengar rungutan di dalam hati, “Ajaib konon? apa yang ajaib sangat?”

Nota: Ini adalah Bab Pengenalan untuk buku baru saya yang berjudul RAHSIA AJAIB

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.