Razzi Armansur

Raya dulu, puasa kemudian

Jika anda perhatikan, sekarang ini, sejak 3 — 4 tahun lepas, belum pun masuk bulan puasa, Hari Raya dan semua yang berkaitan dengan Hari Raya terlebih dahulu diiklankan, dipromosikan. Seperti mendahului takdir.

Yang belum disiarkan cuma lagu Raya. Tapi percayalah, pada hari puasa yang pertama, masuklah ke dalam kompleks membeli-belah — sudah kedengaran lagu Raya. Mereka melakukan ‘linking’ untuk melariskan produk mereka. Apa linking lagu Raya? Sejak kita kecil lagi, dari sudut psikologi — lagu Raya dikaitkan dengan Hari Raya. Dan Hari Raya itu pula dikaitkan dengan berbelanja. Itu amalan sejak berpuluh tahun. Bila dengar lagu Raya, automatik terjadi ‘linking’ — datang satu perasaan hendak segera membeli, berbelanja kelengkapan Hari Raya seperti pakaian, makanan, perhiasan. Atau sekurang-kurangnya memasang cita-cita untuk segera membeli. Itulah keajaiban ‘linking’.

Dari sudut pemasaran memang agak elok — “a few step ahead,” namun dari satu sudut lain ada yang tak elok. Bukankah memang begitu — tidak ada sesuatu pun yang sempurna.

Tidak boleh diamalkan mengutamakan Hari Raya berbanding puasa. Hari Raya adalah perayaan, sedangkan puasa adalah perintah dan suruhan Allah SWT. Puasa adalah wajib, Hari Raya adalah untuk merayakan kemenangan berpuasa sebulan. Tapi berapa orangkah sebenarnya yang menjadikan Hari Raya sebagai hari kemenangan? Mungkin satu dua orang. Berapa ramaikah yang menjadikan Hari Raya sebagai perayaan, pesta (termasuk pesta kematian di jalan raya)? Ramai sekali!

Keseronokan, kegembiraan, faedah, sebenarnya adalah pada puasa, bukan pada Hari Raya. Buktikan sendiri. Berapa ramai di antara kita yang berasa seperti kehilangan sesuatu bila penghujung puasa dan berharap supaya bulan puasa menjadi lebih panjang lagi. Dan secara kontras — berapa ramai di antara kita yang berharap agar perayaan Hari Raya segera berakhir. Selepas masuk Hari Raya kedua atau ketiga, suasana sudah menjadi hambar — seperti tak berbaloi menunggu ketibaan Hari Raya. Setuju? Masa nak balik kampung memang seronok, tetapi bila sudah berada di kampung kesoronokannya makin menurun.

Begitulah manusia — semasa ada di depan mata tidak ramai yang menghargai. Semasa menghadapi bulan puasa tidak dimanfaatkan sepenuh-penuhnya tetapi bila sudah berakhir bulan puasa, terkenang-kenang dan berharap supaya bulan puasa itu lebih lama lagi.

Saya dan anda seperti merasai ada satu percubaan oleh pihak tertentu supaya semakin ramai orang Islam yang menganggap Hari Raya lebih penting dari ibadah puasa. Setuju? Sudahkah anda nampak usaha-usaha itu sejak 4 — 5 tahun lepas? Ada percubaan supaya mengutamakan sukaria berbanding ibadat wajib. Mungkin belum kelihatan sangat, tapi bagaimana 10 — 20 tahun lagi? Usaha ini tidak akan berhenti, ia akan berterusan setiap tahun. Kejayaannya sudah mula kelihatan.

Kita bimbang nanti — puasa hanya sebagai ritual tanpa isi, tanpa nikmat. Bahkan kita semakin takut jika suatu hari nanti puasa “seperti tidak ada” dan perlu “dihindari”, “tidak dikenali”. Tidakkah anda bimbang?

Masih ingat buku sekolah rendah tentang 3 sahabat — Ali, Tong Seng, Ramasami? Mereka sahabat karib dan sama-sama ke sekolah, bermain. Sila lihat di mana silapnya kisah Ali ini — “Ali bangun pagi, selepas itu mandi, memakai uniform sekolah dan bersarapan. Sesudah selesai, Ali keluar rumah untuk ke sekolah bersama Tong Seng dan Ramasami.” Apa yang tertinggal dalam kisah Ali? Solat! Ali anak orang Islam yang tidak perlu solat!

Sekarang lihat pula kesannya hari ini. Pada hari ini, apa pula anggapan sebahagian besar umat Islam terhadap solat? Mana satu yang betul — lebih ramai yang solat atau lebih ramai yang tidak solat? Mana satu yang betul — lebih ramai yang meringankan solat atau yang mengutamakan solat? Adakah suatu hari nanti, puasa pun akan menjadi begitu? Sama-sama kita tunggu. Tapi, bukankah lebih baik sama-sama kita mencegah sebelum parah?

Dua Rukun Islam telah ‘diasak’ supaya dijauhi. Rukun Islam ke 5 pun sudah lama ‘diasak’ supaya tidak dilaksanakan. Golongan muda menjadi mangsa. Tanyalah sebahagian besar golongan muda — mana yang lebih menjadi cita-cita — Umrah atau Haji? Saya tak tahu jawapannya. Bagaimana kalau anda sendiri bertanya untuk mendapat jawapan yang tepat. Sekali lagi, kita bimbang kalau-kalau suatu hari nanti Haji tidak utama, Umrah yang lebih utama dan penting. Kita semakin bimbang kalau-kalau suatu masa nanti menunaikan Haji, Rukun Islam Ke 5 hanya dianggap sebagai melancong.

Dan kebimbangan kita semakin berasas bila ditanya pada golongan muda (juga tua) — ramai yang menggelengkan kepala bila ditanya tentang Rukun Islam pertama — Mengucap. Memang menakutkan — ramai yang tidak tahu mengucap dua kalimah syahadat. Ini ditambah pula dengan semakin ramai yang tidak tahu motif dan makna Mengucap.

Begitulah usaha-usaha untuk meringan-ringankan Rukun Islam di negara kita tercinta. Soalnya sekarang — apakah peranan kita kerana “Agama kita adalah tanggung jawab kita.”

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.