Razzi Armansur

Raya ke tak ni? Entah….

Nota: Tulisan lama. Tulisan ini saya hantar ke Cyberjawa.com pada 17/11/2004

Zaman berlalu, suasana berubah. Yang dulu merupakan sesuatu yang ghairah dinantikan, kini menjadi biasa saja. Dulu Hari Raya memang sangat dinantikan. 30 hari menantinya bagai 30 bulan. Kini semuanya berubah. Hari raya tetap menjelma selepas tamat Ramadhan. Yang membezakannya ialah suasana. Suasananya? Bagaimana nak menggambarkan suasana? Suasananya digambarkan sebagai, “Raya ke tak ni?” Sekurang-kurangnya untuk saya sendiri yang telah bertahun beraya di Bandaraya KL.

Zaman berlalu, suasana berubah. Yang dulu merupakan sesuatu yang ghairah dinantikan, kini menjadi biasa saja. Dulu Hari Raya memang sangat dinantikan. 30 hari menantinya bagai 30 bulan. Kini semuanya berubah. Hari raya tetap menjelma selepas tamat Ramadhan. Yang membezakannya ialah suasana. Suasananya? Bagaimana nak menggambarkan suasana? Suasananya digambarkan sebagai, “Raya ke tak ni?” Sekurang-kurangnya untuk saya sendiri yang telah bertahun beraya di Bandaraya KL.

Tapi kalau nak kata suasana, saya pernah beraya di kampung sekitar Negeri Sembilan. Kenapa jauh lebih meriah di Kuala Lumpur berbanding di kampung. Di Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya di rumah saya, ramai yang berkunjung. Kanak-kanak terutamanya bermula dari 1 Raya hingga 3 Raya. Walaupun motif mereka ialah untuk buat “collection” duit raya, tetapi sekurang-kurangnya masih menghidupkan “spirit” Hari Raya.

Di desa, apa yang terjadi sebaliknya: bukan kunjung-mengunjung. Yang memeriahkan Hari Raya ialah kanak-kanak dan remaja. Apa jadi kalau kanak-kanak dan remaja hanya baring di depan TV menonton lepas satu, satu lagi rancangan TV, sampailah ke malam? Itulah yang terjadi di desa tempat saya beraya dulu bila dibandingkan dengan beraya di Kuala Lumpur kini.

Kenapa saya beraya di Kuala Lumpur? Sebab saya tak ada lagi kampung halaman — adik beradik semuanya sudah bertebaran sejak ketiadaan orang tua. Isteri saya pun bukan orang desa, berasal dari Petaling Jaya.

Nostalgia: Memang semuanya berbeza. Kini kanak-kanak beraya kerana nak buat “collection”. Hari raya, hari biasa sama saja… sudah biasa makan sedap-sedap setiap hari. Sudah biasa pakai baju lawa setiap hari. Kuih-muih raya sudah dijual sepanjang tahun. Lemang, ketupat, rendang sudah ada setiap hari, tak payah menunggu Hari Raya. Kompleks, hypermarket beberapa langkah sahaja dari rumah. Berbeza dengan zaman saya dulu di mana masa Hari Raya inilah peluang untuk enjoy di pekan, sebab dalam setahun hanya sekali dua sahaja pergi ke pekan. Mungkin inilah peluang untuk menonton filem Melayu di Capitol atau Lido. Di dalam perancangan tidak terlintas sedikit pun pasal “collection” duit raya kerana ia bukan tujuan dan sememangnya bukan budaya pada zaman saya. Siap ada “countdown” untuk menunggu Hari Raya yang dinanti-nantikan! Setahun sekali, perayaan yang sememangnya hebat!

Bila melihat anak-anak saya mengadap komputer melayari internet dan bermain game di hari raya, terkenang saya di masa lalu di mana perancangan untuk menyambut Hari Raya diadakan dua atau tiga minggu sebelumnya. Rumah siapa akan dituju dan mengapa. Siapa “partner” untuk berhariraya. Nak jalan kaki atau naik basikal. Jalan mana yang akan diambil.

Diskusi diteruskan dengan mengecam atau mengenalpasti identiti rumah-rumah yang bakal dikunjungi. Misalnya: Rumah Kassim Jarodah ada banyak halwa. Rumah Embah Sangidi bahulunya sedap. Rumah Amat Tiak ada puding. Rumah Lek Beni ada maruku. Maka di hari raya berduyun-duyunlah yang wetan pergi ngulon, yang kulon pergi ke arah wetan. Yang lor ke arah kithol yang kithol ke arah lor. (Terjemahan: yang dari timur ke barat, dari barat ke timur dari utara ke selatan, dan dari selatan ke utara)

Punyalah seronok ketika itu. Raya kedua lagilah ramai yang keluar rumah ziarah-menziarahi. Bagi kaum veteren peluang untuk keluar rumah hanyalah selepas seminggu atau dua minggu hari raya. Ini kerana merekalah golongan paling ramai menerima tetamu. Golongan yang dihormati dan golongan yang paling ramai menerima tetamu.

Ayah saya seorang imam masjid ? Imam Mansur. Zaman ini memang kerjaya Imam itu tak glemer. Tapi zaman ayah saya itu memang setanding glemer dengan ketua kampung. Jadi selepas berkunjung ke rumah ketua kampung, rumah saya menjadi tumpuan. Atau kalau rumah ketua kampung “full house”, penduduk kampung akan ke rumah pak imam dulu. Seingat saya tetamu terpaksa “Q” untuk bersalam dan bermaafan. Tak sempat minum dan menjamah kuih raya. Ada yang menunggu giliran di bawah rumah, di halaman sebelum yang di atas rumah turun.

Dalam masyarakat Jawa di sekitar Banting, berhari raya pada waktu malam sudah menjadi budaya sejak bertahun, menyambung ziarah di siang hari.

Berbeza dengan budak-budak sekarang, di mana Hari Raya adalah hari untuk buat “collection” duit. Lupakan kuih-muih, lupakan menziarahi, yang penting dapat duit raya. Adakalanya tak nak makan tak nak minum, datang semata-mata nak duit raya. Lebih sakit jiwa, duit raya itu dibuka di depan pintu dan sampul angpau dibuang merata-rata, sambil adakalanya merungut, “Ala seringgit aje….”

Impian saya: Tidak ada rancangan TV yang menarik pada Hari Raya supaya tidak akan ada yang baring-baring depan TV pada Hari Raya. Supaya Hari Raya kembali meriah dengan budaya kunjung-mengunjung. Harapan saya: Kalau selama ini ada berbagai-bagai kempen termasuk kempen yang pelik-pelik, mengapa tak diadakan kempen mengembalikan kemeriahan ziarah-menziarahi di Hari Raya? Kalau kempen lain menelan belanja berjuta-juta, mengapa tidak ada peruntukan untuk kempen mengembalikan kemeriahan Hari Raya?

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.