Razzi Armansur

Raya sekelip mata

Suatu malam, beberapa tahun dahulu, saya mendengar kata-kata Presiden Amway melalui video dalam mesyuarat mingguan Amway, yang sememangnya ada kebenaran. Katanya, “Keseronokan adalah pada pencarian, bukan pada pemilikan.” Buktikan sendiri. Katakan anda mengidam telefon bimbit yang paling canggih di antara yang tercanggih. Kerana anda fokus, akhirnya anda mendapat telefon tersebut. Bandingkan di mana sebenarnya keseronokan dan thrill? Pada pencarian atau pada pemilikan?

(photo)
Beraya di perantauan. Sengaja mencipta ‘perantauan’ untuk merasai bagaimana agaknya beraya di perantauan. Beraya di hotel di Pantai Timur, tidak ada hidangan tradisi yang lazim di pagi Aidilfitri. Yang ada hanya pakaian Raya. Tidak ada suasana Hari Raya. Sesungguhnya, suasana dan kemeriahan letaknya di hati.

Jadi, apabila anda terdengar kata-kata, “Sesudah dapat ini, ini, saya hendak bersara….” sebenarnya kata-kata tersebut adalah di mulut sahaja, bukan di hati. Suatu masa dahulu terbaca kisah bagaimana sepasang suami isteri di luar negara, bersara, berhenti kerja sesudah memenangi loteri dengan jumlah yang amat banyak. Sebulan kemudian, pasangan tersebut bekerja semula. Keseronokan bukan pada pemilikan tetapi pada pencarian.

Khabarnya, berpoligami itu “best,” tetapi 10 orang yang saya tanya, jawapannya hampir sama, “Jangan cari penyakit….” Agaknya hanya seronok ketika mencari pasangan kedua, ketiga, keempat, tetapi sesudah memiliki, keseronokan itu hilang. Adakah ini mengiyakan lagi, “Keseronokan bukan pada pemilikan tetapi pada pencarian”?

Cerita rekaan ini pernah saya dengar semasa remaja dahulu dan mengiyakan lagi teori tersebut: Kisahnya ialah mengenai seorang perompak yang kerjanya, keseronokannya, kehidupannya hanya merompak, tidak ada pekerjaan lain yang dilakukan selain merompak. Suatu hari, semasa perompak ini melakukan rompakan tiba-tiba keadaan sekeliling menjadi amat terang dan berubah. Perompak tersebut pengsan. Apabila terjaga, dia mendapati dirinya berada di satu tempat yang asing. Apa saja yang dikehendaki tersedia. Tanpa perlu merompak, apa saya yang selama ini perlu merompak untuk mendapatkannya, telah tersedia.

Seminggu kemudian, perompak tersebut bertanya kepada salah seorang di situ. “Tumpang tanya, di sini mana ada bank yang boleh dirompak?”

Kerana itulah juga sering kedengaran tanpa penjelasan, “Kejayaan adalah perjalanan bukan destinasi.” Penjelasan yang hampir tepat: apabila kejayaan dianggap perhentian, hilanglah segala rupa keseronokan, thrill dan sebagainya. Berhenti itu sebenarnya melawan fitrah semulajadi manusia, sebab itu rasa tidak tentu arah apabila berhenti kerana ia bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang sentiasa mahu “bergerak”. Bila sebenarnya berhenti? Bila jantung sudah berhenti berdenyut.

Persamaannya? Manakah yang lebih thrill atau seronok (bagi kanak-kanak dan kita orang dewasa) — menunggu Hari Raya atau di Hari Raya itu sendiri? Manakah yang lebih seronok — masa berasak-asak HENDAK balik kampung atau SESUDAH berada di kampung? Di manakah sebenarnya situasi “hati melonjak riang” (bak kata Sudrman) sampaikan boleh tergadai nyawa? Sebelum atau selepas? Sebelum sampai kampung atau selepas sampai kampung?

Begitulah apabila bercakap tentang keseronokan dalam penantian dan pencarian. Seluruh dunia mengatakan, keseronokan sebenar adalah semasa mencari atau semasa berusaha mendapatkan. Tak percaya, imbas semula Hari Raya tahun 2008 yang baru beberapa hari berlalu. Manakah yang lebih menyeronokkan anda? Semasa ‘melangkah’ menuju Hari Raya atau semasa Berhari Raya? Apa seronoknya Hari Raya kalau setakat baring-baring di depan TV, menonton filem dan drama Melayu yang memualkan, kecuali filem karya Mamat Khalid, “Rocks”.

Mengenai drama atau filem Melayu, saya berkata kepada anak-anak saya yang turut sama baring di depan TV, di bilik hotel di Pantai Timur, “Sudah boleh baca.” Maksud saya sangat mudah. Apabila kita menonton filem dan drama Melayu, seumpama kita memegang skripnya dan boleh mengagak, meneka dengan tepat apa yang akan berlaku berikutnya. Wajib ada: kubur dengan hujan. Entah mengapa, seperti tidak lengkap seandainya tidak ada dua objek tersebut di dalam drama Melayu. Wajib ada.

“Sudah boleh baca” juga membawa maksud, tidak ada ‘twist’ dalam cerita. Twist amat penting dalam cerita, hatta drama yang singkat. Apa itu twist? Ia adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka. Ia ‘penyegar mata’ — menyebabkan kita terbeliak dan mulut atau hati menyebut, “Ohhh… begitu..” Nak melihat ‘twist’ yang berbilang dan berulang-ulang, tontonlah drama penyiasatan CSI yang cuba ditiru oleh penerbit Malaysia tetapi menjadi bahan gelak ketawa. Grey Anatomy pun ditiru tetapi menghasilkan bahan gelak yang menggelikan.

Begitulah sedihnya. Banyak filem, drama, novel yang penuh dengan unsur-unsur kebetulan hingga mencacatkan jalan cerita. Satu dua tak mengapa tetapi banyak sangat unsur kebetulan. Sudahlah begitu, hampir tidak ada ‘twist’. Kecuali novel tulisan Faisal Tehrani dan Ramlee Awang Murshid. Mereka berdua ini memang berpengalaman dalam penulisan novel.

Raya tahun 2008 sudah berlalu. Maka kedengaranlah suara agak sumbang yang disuarakan oleh siapa saya tidak tahu dan kedengarannya mendakwa sebagai pakar psikologi. Bunyinya, “Hendaklah pandai mengawal emosi akibat kekurangan wang selepas Hari Raya. Jika tidak, ia mengganggu pekerjaan dan kehidupan.” Saya rasa budak Tadika, tak payah ‘pakar’ psikologi boleh berkata demikian. Itu semua orang tahu. Yang menyedihkan, hanya “why” tidak ada “how” — sama seperti kebanyakan buku di pasaran sekarang. Lebih banyak “why” berbanding “how”. Kalau setakat “why”, budak Tadika pun tahu “why” — hanya sekadar membuka mulut dan bercakap ikut mulut bukan ikut otak.

Saya menunggu “how” maka kedengaran “how” yang agak pelik, “Hendaklah berhati-hati ketika berbelanja semasa menyambut perayaan.” Ya Rabbi! Ia telah terjadi. Apa yang orang perlukan ialah “how” untuk masa sekarang bukan tindakan sebelum Hari Raya. Bukan memberi solution kepada tindakan sebelum Hari Raya kerana ia telah terjadi. Bagi saya, kalau sebelum Hari Raya, cara paling mudah sekali ialah tahu membezakan antara KEPERLUAN dengan KEINGINAN. Itu saja cara paling selamat untuk mengelak berbelanja berlebihan. Soalnya sekarang kita perlukan solution atau “how” untuk masakini, ketika semua orang telah kekeringan wang. Saya tak ada jawapan kerana saya bukan ‘pakar’ psikologi. Saya hanya belajar psikologi.

Berlalu sudah Hari Raya 2008 yang membawa pelbagai kenangan. Yang baik diteruskan dan ditambah, yang buruk dikurangkan atau ditinggalkan terus.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.