Dua hari lepas terserempak dengan sahabat lama, Musradh yang sedang berbelanja bersama keluarganya di Tesco Mutiara Damansara.
Siapa Musradh? Dia ialah pemain bass kumpulan Exists. Nama betulnya Musa Radhi. Memang agak rapat dengan kumpulan ini (Musa, Along, Ujang, Ezad) suatu masa dulu ketika industri muzik sedang rancak dan NAR Record di Taman Tun itu sedang buat duit. Rapat bukan kerana mereka glemer tetapi kerana selalu bertemu dan pemikiran mereka yang tinggi membuatkan perbincangan apa isu pun dengan mereka memang menyeronokkan.
Kini NAR Records pun dah tak aktif. Dibuka cuma untuk menguruskan album yang sedia ada. Sudah tidak lagi dijadikan ‘port’ lepak kumpulan rocks dan nasyid sementara menuggu giliran rekording. Salah seorang yang memainkan peranan penting dalam industri muzik, Man Toba, pun sudah meninggal baru-baru ini. man Toba dulu bekerja dengan NAR.
Industri muzik pun dah merudum. Syarikat rakaman gergasi tidak lagi mengeluarkan album Melayu baru. Kini syarikat-syarikat tersebut hanya galak mengeluarkan album kompilasi yang rendah risiko dan amat sedikit modalnya.
Exists membuka studio sendiri di Bandar Seri Damansara, satu blok dengan studio dan pejabat Inteam.
Jadi, apa yang Musradh buat sekarang? Dulu dia bekerja dengan NAR sambil bermain muzik sambil menguruskan Ada Exists Sdn Bhd.
“Saya jual kereta Kang, kerja dengan Perodua.” Kata Musa sambil menghulurkan kad. Sepanjang perbualan diselang-selikan dengan cakap Jawa.
“Wah hebat…” Kata saya memberi galakan.
“Boleh tahan lah..”
Kata Musa, beliau menjual lingkungan 4 hingga 6 buah kereta Perodua dalam sebuilan. Pendapatannya juga semakin meningkat.
Apa yang sangat menarik ialah kata-kata Musa ini:
“Dulu saya ingat, nak jual satu pun susah. Bila saya dah masuk dalam bidang ini, barulah tahu keadaan sebenar. Senang saja jual 4, 6 buah kereta.”
Musa menambah, “Kalau saya tahu, dulu lagi saya buat full time, main muzik saya buat part time.”
Begitulah yang dikatakan, anggapan awal, jangkaan awal, persepsi awal, prasangka awal memang merugikan. Kita memandang dari persepsi kita sedangkan persepsi sebenar perlu kita alami sendiri barulah kita tahu keadaan sebenar.
Kita ambil contoh mudah. Ini pun memang persepsi, anggapan, jangkaan dan prasangka awal saya sendiri. Saya terlalu musykil sejak dahulu lagi. Setiap kali saya melihat kedai cermin mata (optical) pasti saya tertanya-tanya. Persaingan sengit, banyak sangat kedai cermin mata, dekat-dekat bahkan sebelah-menyebelah, besar-besar belaka, sewanya mencecah puluhan ribu, pekerjanya ramai. Dan pastikan kebenaran ini: setiap kali anda lalu, pasti kedai tersebut lengang. Namun, yang pasti, tidak ada kedai cermin mata yang tutup, sebaliknya makin maju dan bertahan berpuluh tahun atau semakin membesar, semakin banyak cawangan.
Itu persepsi dan anggapan awal saya sendiri. Saya tidak tahu sebab tidak masuk ke dalam bidang itu. Dan sudah tentu anggapan awal begitu merugikan saya.
Ini sekali lagi mengingatkan saya kepada Hukum Seimbang ciptaan saya yang beberapa kali saya ketengahkan: “Tidak semua orang suka dan tidak semua orang tak suka; tidak semua orang mahu, tidak semua tak mahu.”
Setiap kali ada yang menyukai, pasti ada yang membenci; setiap kali ada yang membenci, pasti ada yang menyukai. Sentiasa seimbang.