Razzi Armansur

Rumah RM8 juta tetap ada pembelinya

Jangan kata tak laku, sebaliknya, ingatlah, walau semahal mana sesuatu produk itu, pasti tetap ada pembelinya. Contohnya, di Sungai Pencala, Kuala Lumpur ini — tanah sekangkang kera pun sudah beratus ribu ringgit, apatah lagi tanah beberapa kangkang kera, tetap ada pembelinya. Rumah berharga RM8.4 juta di Damansara Country Height (jiran Sungai Pencala atau memang di Sungai Pencala), pun dibeli orang.

Jadi tak ada istilah tidak laku untuk produk mahal. Mahal pada kita (atau saya) tetapi murah bagi yang mempunyai wang berlebih-lebih. Sampai satu peringkat, mereka bukan membeli produk tetapi membeli prestij. Sampai satu peringkat, mereka membeli kerana ego sebagaimana carta piramid Abraham Maslow — tahap keperluan manusia yang teratas sekali adalah ego.

Jangan kata tak laku, sebaliknya memang ada pembelinya yang membeli kerana prestij. Kalau untuk melihat masa saja, jam tangan beli di Mydin sudah boleh digunakan untuk melihat masa, tetapi mengapa kedai atau butik jam berprestij di Starhill, Bukit Bintang makin bertambah maju? Butik ini menjual jam yang tidak pernah kita dengar jenamanya seperti Patek Phillipe, Chopard, Blancpain, IWC, Vacheron Constantin, Girard-Perregaux, Cartier, Girard-Perregaux dan entah apa-apa lagi. Kita tertanya-tanya, “Laku ke, siapa yang membelinya?” Itu persepsi kita tetapi butik tersebut ada persepsi sendiri, “Semahal mana sekalipun, tetap ada pembelinya.” Saya tak akan masuk ke kedai tersebut, sebab golongan seperti saya bukan “target market” butik tersebut.

Mengatasi segalanya ialah Hukum Seimbang yang menyebut — “Tak semua orang mahu dan tak semua orang tak mahu.”

Mengapa tiba-tiba saya bercakap tentang harga dan prestij? Kerana itu yang diceritakan oleh Azman Ching kepada saya tentang sistem pemasaran terkini. Azman menyebut, “Suatu masa dulu, rumah yang berharga RM250,000, sudah dikatakan mahal tetapi oleh kerana ada rumah yang berharga RM8 juta dan ada pembelinya, maka rumah yang berharga RM250,000 itu bukan lagi kategori mahal di kawasan tersebut. Ada pembelinya walau semahal mana rumah tersebut.”

Semasa mencari daging burger di Jusco OU, tiba-tiba Azman menelefon sesudah lebih kurang dua tahun tidak berhubung, melainkan SMS mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dan Selamat Hari Raya. Kebanyakan kawan yang menghilang terus lesap kerana saya amat optimis doa saya setiap hari memohon didekatkan kebaikan dan dijauhkan keburukan dimakbulkan Allah SWT. Saya amat optimis, Allah SWT mendekatkan Azman kepada saya kerana dia membawa kebaikan. Buktinya, jika ia bukan kebaikan, sudah tentu Azman lesap seperti kawan-kawan saya yang lain. Lesapnya mereka adalah atas doa dan permintaan saya. Bahkan ia terjadi secara automatik kerana Allah SWT lebih tahu mana yang buruk dan baik untuk kita, sekarang dan akan datang.

Sehari dua ini memang ada beberapa orang sahabat lama yang menghubungi saya semula. Agak pelik juga kerana ia terjadi serentak. Namun apa pun saya amat bersyukur pada Allah SWT kerana setiap sesuatu itu adalah kehendak-Nya dan ada kebaikan di sebaliknya.

Marini Azahri, sahabat se PTS juga menghubungi saya melalui YM dan telefon. Lama benar tak mendengar khabar beritanya. Bagaimana dengan 3 buah buku yang ditulisnya? Sudahkah dihantar ke PTS? Bersabarlah, manuskrip di PTS memang bertimbun, ditambah dengan krisis ekonomi yang melanda bukan sahaja industri penerbitan bahkan segala rupa industri di Malaysia ini. Hanya kesabaran sahaja penawarnya. Kali terakhir bertemunya kira-kira 2 tahun lepas ketika membincangkan buku baru tulisannya — novel kerjaya.

“Jangan lupa, solat di masjid Kang… Kalau rumah Allah pun malas nak dikunjungi, macam mana Allah nak beri perhatian pada kita.”

“Memanglah solat di masjid, tapi kena jamak selalu. Flight ke Jeddah 8 jam, lepas tu ke Masjidil Haram dalam 5 jam. Kang solat di situ atau di Masjid Nabawi sahaja.”

“Dah dua tahun tak berubah lagi. Masih kuat temberangnya… Hari-hari berzikir tak?”

“Tengah zikir lah ni…”

“Tahajud kena buat selalu, masa itulah kita terasa rapat sangat dengan Allah. Buat tak ni?”

“Tengah tahajud lah ni… ”

“Tahajud apa petang-petang begini?”

“Ini di Mekah lah, malam, dinihari…”

Dua hari selepas itu Datuk Dr. Azman Ching, sahabat yang dikasihi menelefon. Kedengarannya dia seperti kecewa kerana saya tak menghubunginya sejak setahun dua lepas. Ligat kepala saya memikirkan alasan yang sesuai, namun tidak menemuinya. “Dah 13 tahun kita bersahabat, takkan kau nak diam dan ghaib begitu sahaja.” Kata Azman. Masih lagi ligat mencari alasan. Seperti tadi, tidak menemui sebarang alasan mengapa saya tidak menghubungi Azman.

Walaupun kedudukannya sejuta kali lebih tinggi dari saya, namun nilai persahabatan tidak diukur dari kedudukan. Walaupun sepatutnya saya yang menelefon Azman, tetapi nilai persahabatan bukan begitu ukurannya. Azman masih seperti dahulu lagi, masih mengutamakan “memberi,” terutama memberi ilmu. Bahkan komputer yang sedang saya gunakan ini pun hadiah pemberian dari Azman Ching tak lama dulu.

Barang akan musnah, ilmu kekal sehingga hari kiamat, jadi pemberian ilmu lebih berharga. Sejak sekian lama tak sudah-sudah Azman mencurahkan ilmu bukan saja kepada saya bahkan kepada siapa sahaja yang dikenalinya. Ilmu milik Allah dan Azman hanya menyampaikan sahaja. Ilmu beralih atau berenang ke laut biru yang tenang mendamaikan dari laut merah yang bergelora dan berdarah juga saya pelajari dari Azman. Beliau mempelajari dari buku “Blue Ocean Strategy” dan seminarnya. Beliau menggunakan contoh supaya lebih faham. “Kedai kopi adalah biasa dan persaingan memang sengit. Dengan menambah sedikit nilai, boleh melompat kepada laut biru. Contohnya, kopi adalah kopi tetapi mengapa orang lebih suka minum kopi di Starbuck, Kopitiam? Dengan menambah nilai kepada kedai kopi, boleh beralih kepada Kopitiam dan kedai kopi ala Starbuck yang masih kurang persaingan. Selagi kekal kedai kopi tradisional, selagi itulah kekal di laut merah yang penuh persaingan. Masih mengekalkan sikap semulajadi manusia yang suka lepak dan sembang-sembang, tetapi di lautan yang lebih tenang dan kurang pesaing.”

Melalui telefon, Azman menceritakan tentang teknik pemasaran terkini, “Pemasaran M”. Saya perlu medengar dan memahami lebih lanjut dari beliau, suatu hari nanti kerana kata Sir Isaac Newton, “Tahu sedikit adalah bahaya.” Namun secara kasarnya, “Walau semahal mana sesuatu produk, tetap ada pembelinya. Yang dulu dianggap mahal, kini tidak lagi kerana produk atau servis yang lebih mahal, tetap ada pembelinya.” Itu secara ringkas. Kata Azman lagi, “Kau dalam industri buku tahu kan ada buku berharga RM400? Dulu buku yang berharga RM20 dikatakan mahal tetapi oleh kerana ada buku yang lebih mahal lagi dan ada pembelinya, yang RM20 itu sudah dikatakan murah.” Satu ilmu baru yang mesti saya dapatkan lanjutannya dari mulut Azman Ching.

Namun saya berasa sedih apabila ilmu yang beliau sampaikan itu dicedok oleh orang lain dan kemudian dikatakan itu adalah berasal darinya (dari orang menceduk itu, padahal disampaikan oleh Azman Ching).

“Aku tak setuju Man, memang tak setuju. Kita tak boleh mengaku ia ilmu kita sebaliknya, apa salahnya menyebut, “Sebagaimana yang dikatakan oleh Azman Ching…” kan lebih baik.”

“Tak apalah… ilmu kalau banyak kita beri, makin banyak yang kita terima.” Kata Azman Ching.

“Bukan begitu maksud aku, Man. Maksud aku, jangan mengaku barang yang bukan milik kita. Kau tengok ye, setiap hadis mesti disebut perawinya. Aku sendiri dah berbelas tahun kawan dengan kau tak berani nak mengaku ilmu tersebut dari aku. Mesti aku sebut datangnya dari kau.”

Kami beralih cerita. Tentang bisnes. “Aku dengar kau dah makin kaya-raya, multi-jutawan.” Saya bertanya.

“Mengarutlah, mana ada. Kau lebih kaya dari aku.” Kata Azman. Perli agaknya. Tapi ia mengiyakan teori ciptaan saya: ‘Tidak akan kedengaran sekelumit pun perkataan jutawan dan kaya dari orang yang benar-benar jutawan dan kaya’. Orang yang tinggal dalam rumah bernilai lebih RM4 juta di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam ini tak pernah mengaku dirinya jutawan.

“Last sekali aku nampak kau pakai kereta BMW 7 Series. Sebelum itu pakai Jaguar masa tauke pengedar Jaguar itu menembak dirinya sendiri kerana tak tahan kesakitan kanser. Sekarang pakai kereta apa?”

Sedikit pun saya tak terkejut mendengar jawapan Azman. “Rolls Royce,” kerana bapak Roll Royce pun dia mampu membelinya,

“Tapi aku lebih suka Jaguar. Roll Royce ini kereta orang tua.”

“Kau kan dah tua Man… ”

“Mana ada, aku muda lagilah…” Katanya gelak.

“Taklah Man, sebenarnya Roll Royce kereta Sultan, bukan kereta untuk orang tua atau muda. Kau kan Sultan of MLM.” Ada macam bunyi-bunyi mengampu.

Itu ilmu yang diajar oleh Azman tanpa menyebutnya. Ada rahsia mengapa beliau membeli kereta yang mahal-mahal dan sentiasa ada peningkatan. Selain imej bagi menunjukkan bahawa MLM adalah perniagaan yang boleh membawa kejayaan jikalau diusahakan dengan tekun dan bersungguh-sungguh (sama seperti perniagaan lain), ia adalah untuk “membuang lemak.”

Istilah “membuang lemak” itu adalah aktif. Kalau selesa, duduk diam-diam, lemak makin bertimbun. “Kalau kau beli harta yang mahal belaka, kau tak akan duduk diam, kau mesti gigih berusaha mencari duit membayar ansuran. Kalau kau aktif, otak jalan, fizikal bergerak, kau makin sihat dan makin bertambah kaya.”

“Tapi bagaimana kalau tak mampu?”

“Itu yang kau akan dapat sebab kau fokus kepada tak mampu. Soal mampu ke tak ni macam telur dengan ayam — yang mana dulu. Kalau tunggu mampu baru beli, memang tak akan terbeli, sebaliknya, beli dulu baru mampu datang selepas itu. Ini yang aku belajar dari usahawan Cina. Kalau kau ada komitmen nak bayar berpuluh ribu ringgit setiap bulan, kau nak ke lepak-lepak, sembang-sembang, membuang masa? Kau mesti berusaha dapatkan ratus ribu, walau apa terjadi. Ini sebenarnya ajaran Islam. Islam kan melarang kita membuang masa.”

Azman menyambung, “Duit memang ada di sekeliling kita, macam kau tulis dalam buku kau Dunia Ini Penuh Wang. Kita hanya perlu mengambilnya sahaja. Tapi kita kena berusaha nak mengambilnya. Kita kadang-kadang tak nak berusaha kalau tak terpaksa. Aku beli harta mahal-mahal supaya aku ada komitmen. Kalau ada komitmen barulah aku aktif berusaha. Kalau tak ada komitmen aku lepak di kedai kopi, mengumpat orang, sambil korek hidung.”

“Aku setuju Man. Kau memang hebat.”

“Tak adalah. Kau lebih hebat. Jadi apa kau nak buat sekarang. Apa bisnes kau nak buat sebenarnya?”

“Aku nak buat bisnes yang boleh membantu orang ramai. Ada dalam otak aku ini. Aku taknak buat bisnes selfish, menguntungkan aku sendiri sebaliknya yang boleh menguntungkan orang ramai, macam yang kau buat sekarang ini. MLM adalah bisnes membantu orang ramai.” Kata saya.

“Berapa modalnya?”

“Dalam RM500 ribu hingga RM1 juta.” Kata saya dengan tegas.

“Minggu depan kita jumpa.” Kata Azman Ching, pun dengan tegas.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.