Sehari dua ini sibuk (atau menyibuk) bersama Ustaz Akhil Hayy. Malam tadi bersama beliau lagi di IKIM.fm mempromosikan album Di Bawah Satu Cahaya yang menurut WES (Warner, EMI, Sony) sudah dikeluarkan dari gudang sebanyak 10,000 unit kerana permintaan yang ‘melampau’ dari pengedar. Dalam iklim industri muzik (apatah lagi nasyid) seperti hari ini, sesuatu yang di luar dugaan bila EMI mencetak melebihi 10,000 unit. Maknanya EMI sudah boleh membaca sejauh mana album kali ini boleh pergi.
(photo)
Keterangan gambar: Bersama dua sahabat di bilik konti IKIM.fm, DJ Erwan, kenalan sejak 2003 dan Akhil Hayy kenalan sejak 2006. Nota: yang sweater merah tu menyibuk…
Sambil mempromosikan album, sambil pula mempromosikan buku KAYA SEBELUM MISKIN yang akan terbit pada Mei 2007 ini. Buku ini beliau tulis bersama saya.
Kali terakhir saya ke IKIM.fm kalau tak silap pada tahun 2003. Saya bertanya kepada DJ Erwan, kalau-kalau masih ingat lagi bagaimana pada tahun-tahun tersebut nama “Kang Razzi” sering kedengaran di radio IKIM.fm (ehem…). Pada masa itu adalah awal penubuhan Ukhwah.com, ramailah yang menyampaikan ucapan melalui lagu kepada Pengasas dan Presiden Ukhwah.com.
Malam tadi juga, sekumpulan ustaz dari Darul Fuqaha membuat promosi buku di IKIM.fm. Bila saya menghulurkan kad, salah seorang seperti terkejut. “Ukhwah.com?” Dia menyoal. “Memang dah lama sangat saya nak jumpa anta.” Itulah gunanya kad bisnes sentiasa dalam poket.
Dia bertanya lagi, “Macam mana anta kendalikan Ukhwah.com sampaikan begitu terkenal?” Saya menjawab mudah saja, “Kami menguruskannya secara team. Kalau seorang tak mungkin maju. Ambil apa saja kesempatan untuk kontroversi dan publisiti. Ukhwah.com rasanya begitu kerap disebut di IKIM dan beberapa kali keluar di media cetak termasuklah akhbar The Edge.” Kemudian saya membawakan analogi empangan air. Bila kita korek lubang yang kecil pada empangan, air akan bocor sedikit demi sedikit kemudian akhirnya empangan itu akan pecah. Tak ada siapa yang mampu menahan air yang datang menderu itu. Mengorek lubang kecil itu diibaratkan kontroversi dan publisiti. Selepas itu semuanya berjalan dengan lancar dan hampir kepada automatik.
Saya menyambung lagi, “Kami beruntung sebab Presiden Ukhwah.com sememangnya berkelulusan dalam bidang pengurusan.”
Sekali lagi, dalam mana-mana pertemuan, sayalah yang paling memekak, paling becok dan paling bising. Jadi tak betul anggapan saya diam saja dan nampak seperti sombong. Saya sentiasa bersedia dengan bahan. Itulah salah satu gunanya banyak membaca, banyak mendengar dan banyak menonton wayang (bukan filem Yusoff Haslam, Aziz Osman, Mamak Maidin, tetapi filem karya Ron Howard, Steven Spielberg dan nama-nama terkenal lain).
Malam tadi juga saya belajar dari Akhil Hayy cara beliau menjawab soalan dengan penuh mesra dan mengembirakan hati yang bertanya. Diselang-selikan fakta dengan lawak yang ringan menjadikan jawapan itu menghiburkan.
Mengatasi segalanya, apa yang saya pelajari sehari dua ini dari Ustaz Akhil Hayy ialah pentingnya ikhlas dan banyakkan menghulur. Bila kita banyak menghulur dengan ikhlas, tanpa kita minta, pertolongan datang bertalu-talu dengan ikhlas. Bahkan tanpa diduga. Kata-kata, “Bila kita memudahkan jalan orang, dengan sendirinya jalan kita menjadi mudah,” sentiasa tepat.
Mengulang kisah dulu, selalunya selepas show atau promosi akan ada minum-minum di kedai berhampiran. Sedang duduk makan dan minum di restoran, Akhil Hayy memanggil, “Kang, itu ha Kang Herman.” Menoleh ialah saudara sekapal, Herman Tino atau nama betulnya Masron Tamsi minum teh dan sembang di restoran yang sama. Asalnya se Banting kemudian berpindah ke Tanjung Karang. Dia Kanchong Darat, saya sebelah kampung, Sungai Lang. Pada zaman “hey day” beliau, kalau diukur dari segi pendapatan, satu malam beliau memperolehi RM10,000 untuk 2 show. Lepas nyanyi 2 – 3 lagu di sebelah sini, dia akan lari ke show sebelah sana. Salah satu lagu yang saya minat ialah, “Derma Bukan Tontonan — Tangan kanan memberi, sorokkan tangan kiri, derma bukan tontonan, lakukan dalam sepi…”
“Kuwi kan biyen jaman jahiliyah.” Kata Herman bila saya timbulkan balik zaman show satu malam sampai mencecah RM10,000.00. Terjemahannya: “Itukan dulu, zaman jahiliyah.”
Selalunya bila Jawa bertemu Jawa ada kod tersembunyi (lebih kurang macam Da Vinci Code). Orang Jawa bila bertemu Jawa tak tanya, “Kabare?” sebaliknya terus kepada “Waras?” Itu kod tersembunyi yang dimaksudkan.
Kenangan sehari dua bersama Ustaz Rock, banyak sangat pengajaran yang diperolehi.