Razzi Armansur

Sekali lagi terpedaya kerana membenarkan diri dipedaya…

Hanya angka. Minggu lepas melihat gambar perkahwinan dalam album. Antaranya yang disemadikan dalam gambar ialah gambar cek hantaran. Ya, cek hantaran. Hanya angka, tulis saja berapa yang anda suka dalam cek tersebut. Angka dalam cek tersebut ialah RM10,000.00. Hanya angka.

(photo)
Sampah! Memang sampah. Pertama, tengok tarikh: sejak bila bulan September sampai 31hb? Kedua, saya tak ada duit sebanyak itu. Kalau ada sudah lama saya bina perniagaan JUM.BIZ. Walaupun sampah, cek ini boleh saya gunakan untuk hantaran. Panggil press, kemudian saya mendapat jolokan “Manusia dengan hantaran termahal.” Perlukah dimasukkan ke dalam Guiness World Record?

“Kenapa letak hanya RM10,000.00? Kalau saya, tambah satu lagi kosong, baru gah” Kata saya.

Selalunya akan kedengaran perkataan “Kita kena bersangka baik…” Kerana bersangka baiklah, kita selalu kena perdaya. Sangka baik dan sangka buruk mesti bertempat. Kita dikurniakan akal untuk berfikir. Kerana hendak sangat bersangka baik, bolehkah kita meminta jasa baik penyamun untuk menjaga rumah kita?” Kerana sangka baik, bolehkah kita minta monyet menjaga tandanan pisang?

Jika begitu, bolehkah anda bersangka baik terhadap saya? Saya tulis sekeping cek berjumlah RM555,555.55. Tak pasti sama ada saya ini nak menunjuk atau ada masalah dengan otak saya — saya anggap semua orang bodoh dan percaya dengan jumlah wang di dalam cek tersebut memang wujud. Yang pasti, cek tersebut pasti melantun kerana saya tidak ada wang sebanyak itu di dalam dan luar akaun.

Tapi, saya gunakan cek tersebut untuk hantaran. Saya mendapat publisiti. Dua perkara akan terjadi selepas menerima hantaran cek tersebut:

1. Cek tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun dan melantun. Si perempuan telah menjadi isteri saya dengan hantaran cek melantun. Takkan si dia hendak meberitahu umum cek tersebut melantun. Malulah dia. Ingat, saya sudah lama hidup dan sudah berpengalaman. Saya akan kata, “Alahai… duit tak masuk lagi… Macam mana mereka buat kerja? Tak apalah… simpan dulu cek itu, nanti ganti dengan yang lain…”

2. Atau saya akan memujuk perempuan yang menjadi isteri itu supaya bersabar sekejap, jangan dimasukkan ke dalam akaun terlebih dahulu. Saya sendiri pun tidak tahu, berapa lama ‘sekejap’ yang saya maksudkan. Mungkin selama-lamanya.

Jadi, saya selamat di samping mendapat publisiti.

Oleh kerana saya ini jenis muka tebal saya tak tahu malu. Sepatutnya, saya malu dengan kerabat DiRaja, anak-anak sultan yang memang ada duit tetapi tidak mengada-ada dengan hantaran begitu. Saya tak berduit tetapi mengada-ada dengan hantaran angka-angka begitu. Peduli apa, yang penting ialah saya dipandang gah dan dapat publisiti.

Nasihat kepada saya sendiri, jangan sekali-kali terpedaya. Selagi ada yang boleh diperdaya selagi itulah akan ada yang memperdaya:

1. Kalau hantaran dengan cek dan angkanya agak mengada-ada atau banyak, jadikan ia bahan gelak. Cek hanya sekeping kertas, anda boleh meletak apa saja angka di situ. Kalau tahun 70-an, mungkin bangga memiliki dan berurusan dengan cek. Tapi kalau seudah millenium ada yang berbangga bila berurusan dengan cek — perlu diperiksa otaknya.

2. Kalau hantaran itu menggunakan BANK DRAF atau TUNAI, ia adalah betul walaupun angkanya banyak dan mengada-ada.

3. Sejak zaman purba, sehingga sehari sebelum kiamat, ungkapan “Tong kosong memang kuat bunyinya” adalah setiasa betul dan tepat!

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.