Razzi Armansur

Sekeping kad yang tumbuh

Dalam satu majlis baru-baru ini, seseorang meminta kad bisnes dari saya. Entah apa malang pada hari tersebut, saya tidak membawa kad bisnes seperti lazimnya. Lupa nak ‘load’ masukkan ke dalam dompet. Selama ini memang tak pernah lupa membawa kad bisnes ke mana-mana, sekurang-kurangnya sentiasa ada 20 keping di dalam dompet, tapi di hari tersebut memang tak membawanya. Sehari sebelumnya saya telah meletakkan timbunan kad bisnes di meja di booth PTS, semasa Pesta Buku 2007. Esoknya sudah lesap. Mungkin diambil orang ramai atau mungkin dialihkan oleh staff PTS.

(photo)
Saya mencetak 1000 kad bisnes. Tak tahu bila akan habis. Tanpa diminta, saya akan menghulurkan kad bisnes tersebut kepada siapa saja yang saya temui.

Tetapi agak pelik, kisah seperti di atas tadi, seseorang meminta, “Ada kad bisnes tak?” dan saya menjawab “Lupa nak bawa,” tetapi dia tidak pula menghulurkan kad bisnes, sedangkan pada masa itu dia sedang memegang kad bisnes. Maksudnya, dia seperti mahu “trade” kad bisnes dengan saya. Saya tak hulur, dia takkan menghulur. Ini satu keadaan yang pelik. Apa salahnya dia terus saja hulur kad bisnesnya. Suatu hari nanti, jika berkeperluan, saya akan menghubunginya. Bukankah itu guna dan fungsi kad bisnes? Adakah, sikap kedekut dan rasa sayang kepada kad bisnes menghalang dari menghulur kad bisnes? Kalau begitu, tak payahlah susah-payah mengeluarkan belanja mencetak kad bisnes. Adakah masih menganggap bahawa kad bisnes adalah aset berharga? Adakah menganggap hanya orang tertentu sahaja layak menerima kad bisnes? Adakah kerana “kalau orang lain tak hulur, saya tak perlu menghulur.”

Cara sebenar menyebarkan kad bisnes ialah, “Memberi sebelum diminta.” Jumpa siapa saja — hulur — jangan sampai orang minta — “Ada bisnes kad tak?” atau “Boleh bagi kad bisnes?”

Itu cara yang betul. Jangan gunakan cara yang salah kerana nanti tidak mendapat faedah dari kad bisnes. Apa faedahnya? Kad tersebut akan membawa bisnes kepada anda. Tak percaya? Ibaratkan saja kad bisnes adalah seperti benih. Katalah benih kangkong. Anda menaburnya. Katalah anda telah menabur 100. Di sini akan terjadi hukum angka. Kalau 10% yang berminat dan memerlukan produk atau servis anda — maka akan ada 10 orang menghubungi anda. Jika 1% akan ada 1 orang menghubungi anda untuk berurusniaga. Bila? Itu yang tidak diketahui. Mungkin cepat, mungkin sekali lambat. Yang pasti bila benih terkena tanah, ia akan tumbuh. Tak semua tumbuh dan tak semua tak tumbuh. Itu “Hukum Seimbang”.

Berapa harga sekeping kad bisnes? Katalah 10 sen atau paling tinggi 20 sen sekeping. Jadi, 100 keping = RM20.00. Katalah hanya ada 1 urusniaga terhasil dari 100 keping kad bisnes tersebut dengan jumlah urusniaga sebanyak RM21.00 — untung atau rugi? Ada untung RM1. Ingat, RM1 itu untung bukan rugi. Bagaimana pula kalau urus niaga tersebut RM200? Anda untung RM180. Bagaimana kalau RM2,000? RM20,000? RM200,000? Atau tidak mustahil RM2,000,000 (berapa digit ini?) Benihnya, modal benih hanya RM20 sahaja.

Jadi, hulurkan saja kad bisnes bila berkesempatan. Jangan tunggu diminta. Jangan sekali-kali fikir kad bisnes adalah aset berharga. Yang paling penting: jangan sekali-kali lupa membawa kad bisnes. Ia ibarat lupa “menjemput” bisnes.

Siapa yang mengajar semua ini? Kawan-kawan Cina saya seperti Albert Lim, Dr Azman Ching, Gan Ah Seng. Mereka yang mengajar saya melalui teladan — sebelum diminta, hulurkan saja kad bisnes. Itu yang saya lihat semasa bersama mereka.

Ia amat penting sekali hinggakan di dalam satu seminar bisnes (dalam bahasa Tionghua) anjuran Albert Lim — diadakan sesi bertukar kad bisnes.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.