Razzi Armansur

Selamat Tinggal Dunia…

Bagai nak gugur jantung saya bila mendengar berita salah seorang sahabat karib, Abang Pattihi, yang juga rakan perniagaan saya meninggal dunia pada 16 Januari 2006, pukul 12.30 tengahari di Hospital Selayang.

(photo)

Waktu itu sedang berbincang dengan Arief Hakim, boss besar PTS Publishing, saya menyebut nama Pattihi kerana mengaitkan cara pemasaran buku oleh Pattihi yang begitu efektif. Arief memberitahu, Pattihi sudah meninggal seminggu lepas. Saya terkedu walaupun memang sudah menjangka. Cuma kesal tak sudah tak dapat bertemunya pada saat-saat akhir. Kali terakhir bertemu di Wangsa Melawati, bulan Ogos 2005. Berkali-kali Pattihi mengajak datang tetapi saya tak dapat memenuhi permintaannya. Berbagai alasan yang saya beri.

Saya sangat menyesal kerana tidak dapat menunaikan permintaan terakhirnya. Permintaannya adalah untuk membuatkan flyer untuk mengedarkan buku secara mail-order ke sekolah-sekolah. Buku agama Islam, cuma saya tak setuju kerana beliau mahu meletakkan perkataan Hadhari. Saya masih lagi ingat dialog beliau, “Aku pun tak suka Hadhari-hadhari ini, mana ada Islam Hadhari, Islam hanya ada satu saja.” Kemudian, dari sehari ke sehari saya menanggguhkan untuk menemuinya. Terakhir hanya sempat bercakap di telefon semasa dia terlantar.

Sejak berumur 28 tahun beliau telah mengidap darah tinggi. Selepas itu satu per satu penyakit datang. Kencing manis, lemah jantung, buah pinggang dan terakhir sekali luekimia. Beberapa bulan sebelum pergi tak kembali, beliau telah menjadi buta, mengalami strok dan lumpuh. Memang malang sungguh nasibnya. Begitu kehendak Allah SWT ke atas hambaNya yang pasti ada hikmah tersembunyi.

Saya mengenali Pattihi kira-kira 15 tahun dulu. Masa itu dia masih di Bintulu. Suatu malam dia menelefon saya dan sejak dari itu menjadi sahabat yang tak melihat wajah. Beliau mengenali saya melalui buku sulung saya “Rahsia Dari Damansara” yang saya jual melalui pos. Dia adalah salah seorang pelanggan saya. Kemudian Abang Pattihi berhijrah ke Kuala Lumpur. Sebenarnya, dari Kuala Lumpur berhijrah ke Bintulu (kampung halamannya) kemudian ke Kuala Lumpur semula dan berakhir hayatnya di Kuala Lumpur.

Pertama kali bertemu di depan Sogo kemudian ke Holiday Inn On The Park, sembang-sembang dan sejak dari itu menjadi kawan yang rapat.

Perjalanan hidup Abang Pattihi yang singkat di muka bumi ini begitu berwarna-warni. Turun naik, miskin kaya, terhempas, melambung, semuanya lengkap. Masa mula berhijrah semula ke Kuala Lumpur beliau sekeluarga tinggal di pangsapuri mewah dan berkereta BMW 7 Siries.

Persahabatan saya dengan beliau pun asyik terputus dan bersambung semula kerana tiba-tiba beliau hilang. Bertemu kembali, hilang dan bertemu kembali. Kerana kehidupannya yang turun naik tak hairanlah beliau pernah menjaja apa saja produk untuk menyara hidup.

Kemudian, pada sekitar tahun 2000 saya bertemu semula sesudah hilang sekian tahun, kali ini di kawasan setinggan di bawah stesen LRT, Paramount Garden, Petaling Jaya. Selepas dari itu hilang semula. Bertahun saya mengharap agar dapat bertemunya semula.

Melalui seorang sahabat — Aliry Alias, saya mendapat nombor telefon Abang Pattihi pada tahun 2005, bulan Januari, lebih kurang 2 minggu selepas Hari Raya. Pertemuan semula di KL Sentral itu membuka semula lembaran persahabatan.

Sepanjang tahun 2005 saya melihat sendiri Abang Pattihi melaksanakan apa yang sangat diminatinya iaitu Perniagaan Pesan Pos (Mail Order Business). Produknya ialah buku dan peralatan pembelajaran. Pasarannya ialah sekolah dan KEMAS. Antara pembekalnya ialah Penerbitan PTS. Awal dan pertengahan tahun 2005 sempat juga saya mengendalikan beberapa urusniaga bersama beliau. Memang kerap sangat kami bertemu di Wangsa Maju, Setiawangsa, Wangsa Melawati sama ada untuk perbincangan atau urusan.

Pada bulan Julai, Abang Pattihi mula mengadu penglihatannya mula kabur, buah pinggangnya selalu sakit. Tak lama selepas itu Abang Pattihi telah terlantar. Di telefon dia memberitahu saya, bahawa kini dia berulang alik ke IJN, Hospital dan tak ketinggalan perubatan tradisional.

Dalam sayu beliau memberitahu berbagai penyakit ada dalam dirinya termasuklah luekimia. Janji Allah SWT telah sampai. Abang Pattihi telah pergi dulu, mengucapkan selamat tinggal kepada dunia yang penuh dengan duri dan liku-liku. Dia berpindah ke alam lain. Kebaikan yang dilakukan di muka bumi ini akan dibawa ke alam sana.

Sepanjang yang saya kenal, Abang Pattihi rela susah asalkan dapat membantu orang lain. Itulah kebaikan yang sukar saya temui pada orang lain yang saya kenali. Saya berjanji akan meniru kebaikannya itu.

Al-Fatihah.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.