Razzi Armansur

Semangat Helang, Menaja Ala Helang, Semangat Tandas

Semalam saya singgah di syarikat MLM ada urusan pembekalan buku MLM. Sementara itu datang seseorang yang mendakwa dirinya sebagai “Motivator”. Kalau dia tahu makna sebenar “Motivation” dia akan segan silu dengan makna “Motivator” sebab terang-terangan “Motivator” tak ada makna dan 100 peratus salah anggap, salah tafsir tentang “Motivasi”.

(photo)
Keterangan Gambar: Sebelah kiri: Burung Helang yang sarangnya berkecamuk dan asal siap. Sebelah kanan: Burung Tempua. Sarangnya sangat kemas, cantik dan selalu dijadikan perhiasan.

Kononnya dia seorang “Trainer”. Begitu kononnya. Kononnya ada beza antara “Trainer” dengan “Speaker”. Kononnya, begitulah di dalam MLM yang semakin mengarut itu. Walhal kedua-duanya sama saja cuma dilainkan dari segi istilah. Tidak ada apa yang dilatih selain penceramah membebel selama 2 hari atau 2 jam. Tidak ada ilmu keusahawanan, pemasaran, perakaunan, branding dan sebagainya.

Di dalam apa yang dikatakan seminar itu selalunya ada bebel-bebel, ada peserta yang disuruh baring antara 2 kerusi kemudian dipijak, ada bab lampu malap, kenang masa lalu dan menangis. Memang begitulah stail apa yang dikatakan “training” sejak dari tahun 70’an.

Soalnya sekarang, untuk apa itu semua? Apakah menangis, pijak-pijak badan itu boleh dibawa ke alam perniagaan MLM sebenar? Esok peserta akan mula menjual, menaja, menguruskan kumpulan, mana ilmunya yang sepatutnya diperolehi dari apa yang digembar-gemburkan sebagai “training” itu? Adakah dengan mengulang tayang “mengenang masa lampau, waktu sayu, diringi lampu malap, pakai lilin, diiringi muzik sayu” boleh menghasilkan jualan? Hendak menjual perlukan ilmu penjualan. Hendak menaja perlukan ilmu menaja, bukan ilmu pijak-pijak badan. Dalam MLM tak perlu pijak-pijak badan.

Saya suka bercakap tentang IMPAK. Apa impaknya? Tak ada apa, melainkan membuang masa dan sakit telinga.

Kononnya, Si Motivator tadi akan memberikan seminar berjudul “Semangat Helang.” Saya tak tahu mengapa “Helang” ini sejenis spesis burung yang begitu glamour di dalam MLM. Ada Semangat Helang, Menaja Seperti Helang, Seminar Kuasa Helang. Pelik? Agak pelik kerana helang taklah sehebat mana, mengapa dikaitkan, di’branding’kan sebagai hebat. Siapa dikaitkan dengan helang akan menjadi hebat. Mengapa helang pula yang menjadi idola?

Saya rasa Semangat Tandas lebih bagus. Semangat tandas bagi saya — adalah semangat luar biasa. Kuasa Tandas adalah luar biasa. Jika anda akan ke tandas, anda akan ke tandas dengan bersemangat. Siapa berani menghalang anda jika anda memang MESTI ke tandas? Bagaimana kalau Semangat Tandas itu dibawa ke dalam MLM? Kemahuan padu tanpa boleh disekat — semangat sebegitu kalau di bawa ke MLM pasti akan membawa anda ke arah kejayaan.

Tak perlu Semangat Helang kalau dah tahu fungsi dan kekuatan Semangat Tandas. Lagipun Helang tak perlukan tandas, boleh berak merata-rata. Semangat Tandas 1000 kali lebih baik dari Semangat Helang.

Mengatasi semuanya ialah Semangat Tempua jauh lebih baik dari Semangat Helang. Di dalam MLM oleh kerana Burung Helang menjadi idola tanpa mengetahui keburukannya, Semangat Tempua tidak dipedulikan sehinggalah saya menceritakan kehebatan burung tempua di dalam buku saya “Jutawan MLM.” Hanya dengan meniru stail burung Tempua, boleh menjadi kaya dan jutawan. Ramai yang mengikuti “Semangat Helang, menaja ala helang atau menjadi helang” hanya menjadi cendawan.

Kononnya inilah keistimewaan Helang:

1. Ia sentiasa berada di tempat tinggi: Satu anggapan yang salah; sebagai seorang yang terlibat di dalam perniagaan MLM, tidak boleh sentiasa tinggi dan meninggi.

2. Helang khabarnya, walau serendah mana sekalipun turun, kakinya tak akan jejak ke bumi. Kena pastikan, tunggu National Geographic menyiarkan tentang habitat helang. Kenapa dikaitkan dengan MLM? Apa perlunya? Ia melambangkan ego, enggan menjejak di bumi nyata. Kesamaan dengan orang-orang MLM? Carilah sendiri.

3. Helang jarang dilihat. Kata mereka ia dikaitkan dengan pemimpin memang jarang ditemui. Kalau dalam MLM disebut Leader. Memang sukar hendak melihat Leader sebenar di dalam MLM. Yang banyak ialah Leader Sengkek dan Leader Bahlul.

4. Mata helang tajam mudah mengenal mangsa walau jauh. Apa kaitan dengan MLM? Mata monyet lagi tajam, boleh zoom berpuluh kali ganda. Kenapa monyet tidak dijadikan analogi? Memang betul, lihat saja cara orang-orang MLM yang lepak di kedai kopi berhampiran syarikat MLM atau stokis MLM, mereka akan memandang sebagaimana anda seorang mangsa dan dinilai sama ada anda boleh dijadikan mangsa kelentong atau “boleh makan”. Buktikan sendiri.

5. Helang dikaitkan dengan pemimpin. Satu kenyataan yang salah. Helang selalunya terbang bersendirian, siapa yang hendak dipimpin?

6. Helang sentiasa bersendirian. Inilah kaitan paling bodoh. Kalau dah bersendirian, tentulah tiada kerjasama sedangkan kerjasama amat penting dalam apa jua bidang.

Itu sebahagian dari Semangat Helang, Menaja Ala Helang yang sangat diagung-agungkan di dalam MLM dan dalam masa yang sama sangat mengelirukan. Tidak tepat, tidak betul sama sekali. Kerana itulah, penganut Semangat Helang dan Menaja Ala Helang adalah gagal! Dalam masa yang sama hendak melihat mereka yang gagal di dalam MLM adalah semudah melihat tandas. Senang sangat hendak melihat tandas yang tidak dimasuki helang. Hendak melihat orang yang berjaya sama seperti melihat burung helang. Di Kuala Lumpur ini, nak lihat gambar helang pun susah.

Sejak saya mengaitkan kehebatan burung tempua dengan kejayaan MLM, saya rasa dalam ceramah, seminar dan sebagainya ia sudah beratus atau mungkin beribu kali disebut-sebut.

Mengapa saya kata Semangat Tempua jauh lebih baik dari Semangat Helang, Semangat Tandas? Ini buktinya:

1. Tempua adalah sejenis burung yang sangat penyabar. Sehelai demi sehelai daun lalang kering diusung dan dianyam hingga menjadi ‘masterpiece’ yang sangat mengkagumkan. Persamaannya? Berapa orangkah yang penyabar di dalam MLM berbanding yang “Mula hari ini, minggu depan dah ada duit, tahun ini jadi jutawan.”

2. Tempua selalu berkawan bersama-sama, bekerjasama. Seandainya di dalam MLM tidak ada kerjasama, susah hendak berjaya.

3. Burung tempua mengamalkan seni dan teknologi dalam membina sarang. Lihat ke dalam sarang tempua untuk melihat sendiri bagaimana canggihnya teknologi ‘bilik’ tempua. Dalam masa yang sama saksikan sendiri betapa halusnya hasil seni burung tempua. Kalau diiaplikasikan di dalam MLM, pasti mendatangkan hasil cemerlang.

4. Burung tempua sentiasa prihatin kepada anak-anak yang baru dilahirkan. Dijaga, dididik sehingga boleh berdikari. Di dalam MLM, didikan amat penting. Motivasi melaung-laung angin kosong, tak perlu. Yang perlu ialah pendidikan.

Sekarang buktikan sendiri, mana lebih baik, mana yang lebih berkesan? Semangat Helang, Tandas atau Semangat Tempua? Buktikan sendiri. Jangan hendaknya menjadi orang yang terpedaya. Sentiasa ada yang memperbodohkan jika sentiasa ada yang boleh diperbodohkan dengan Semangat Helang, Menaja Ala Helang melalui seminar angin.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.