Razzi Armansur

Semua penyakit boleh disembuhkan dengan Habbatusauda?

Sembuh dengan Habbatusauda? Semua penyakit boleh disembuhkan dengan Habbatusauda? Kalau begitu tidak perlulah kajian dan penghasilan ubat-ubatan oleh tokoh-tokoh perubatan dan herba Islam seperti Ibnu Sina, Al-Razi, Al-Zahrawi, Ibnu Rusdy, Ibnu El-Nafis dan ramai lagi.

Kalau semua penyakit boleh sembuh, cukuplah menggunakan jintan hitam (Habbatusauda) itu sampai hari ini untuk mengubati apa saja penyakit.

SUNAH? MEROSAKKAN BUAH PINGGANG
Bahkan ada doktor yang pesakitnya menjadi lebih teruk lagi bila mengamalkan Habbatusauda, kononnya untuk merawat penyakit buah pinggang. Jadi, di mana yang dikatakan boleh merawat semua, apa saja penyakit?

Bahkan ramai juga yang memandai-mandai mengaitkan Habbatassauda itu sebagai sunah. Termasuk juga, Habbatassauda itu dianggap ‘makanan sunah’. Nota: Sunah hanyalah pada pemakanan, adab, disiplin pemakanan, bukan pada makanan. Buktinya, Abu Jahal pun memakan buah kurma, tidak eksklusif untuk Rasulullah SAW.

SALAH FAHAM HADIS
Puncanya adalah salah faham mengenai hadis sahih:

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Pada Habbatassauda itu ada penawar/ubat bagi semua penyakit kecuali mati.” [Riwayat Al-Bukhari dalam Sahihnya, kitab Al-Tibb no. 5687; Riwayat Muslim no. 2215]

Hadis ini sahih. Yang tidak sahih ialah pemahaman mengenai maksud hadis ini, terutama perkataan ‘semua’. Hadis ini juga merupakan lafaz umum, tetapi maknanya khusus.

Maksud ‘semua’ di sini ialah semua penyakit yang boleh diubati oleh sifat Habbatassauda, bukannya ‘semua’ penyakit di alam maya ini sejak 1,400 tahun dahulu hingga hari ini.

Untuk itu, diperjelaskan fungsi ‘semua’ dalam hadis tersebut:

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (wafat 852H) berkata: “Disebutkan bahawa sesungguhnya ucapan baginda “Seluruh penyakit” itu maksudnya ia boleh dijadikan ubat dengannya (yakni Habbatussauda). Sesungguhnya ia bermanfaat bagi penyakit-penyakit sejuk sedangkan penyakit panas maka tidak (berkesan).” [Fath Al-Bari 10/144]

Imam Ibn Jauzi juga menyebutkan: “Yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah penawar/ubat bagi penyakit-penyakit berkaitan lembab, berkahak yang mana Habbatussauda itu sifatnya panas dan kering (berlawanan).” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]

SEJUK LAWANNYA PANAS
Semua penyakit-penyakit sejuk sahaja yang mampu diubati Habbatusauda. Itulah maksud ‘semua’ dalam hadis tersebut.

‘Mati’ pula membawa maksud — kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit sejuk seperti selesema, batuk, demam. Bukan kematian yang berpunca dari apa juga penyakit di alam maya ini.

Sesungguhnya Habbatusauda tidak bersalah, yang bersalah adalah orang yang salah faham dengan kefahaman hadis ini. Termasuk juga penjual-penjual Habbatusauda — semua penyakit kecuali mati itu dijadikan faktor pelaris.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.