Razzi Armansur

Setinggi Langit (Ingin bertemu Tony)

Hasrat saya kini ialah bertemu dengan Tony Fernandez. Ingin menginterbiu “Marketing Genius” tersebut. Tony adalah Airasia dan Airasia adalah Tony. Saya ingin bertemu membongkar menggali ilmu darinya, kemudian akan dibukukan diberi judul “Setinggi Langit”

(photo)
Apa cara sekalipun saya mesti menemui dan menginterbiu Tony. Kalau saya gagal, saya akan cuba mendekati Pahamin Rejab. Beliau membina kompleks rumah untuk keluarga dan menantunya di Sungai Pencala, tak jauh dari rumah saya. Belajar dari orang yang berjaya, dan genius. Bukan belajar dari “Pakar Motivasi” atau “Pakar Penglipurlara”.

Saya mengikuti perkembangan AirAsia untuk belajar. Ramalan saya, suatu hari nanti AirAsia akan menelan MAS hampir menjadi kenyataan. Sama seperti Bank Commerce menelan Bank Bumiputera. Sekarang ini pun, MAS yang dilanda “tamparan” AirAsia. Bagaimana dengan 5 tahun lagi? Ular lidi menelan naga bukan sesuatu yang mustahil zaman sekarang ini lebih-lebih lagi kalau ular lidi itu bijak, telan sikit-sikit, bukan serentak. Tapi masalah dalam MAS bukan baru. Kenapa membiarkan “bocor kecil” menenggelamkan kapal besar? Tahukah mereka kalau ada sikit sahaja kebocoran mampatan udara pada badan kapal terbang boleh menyebabkan kapal terbang hilang imbangan dan terhempas. Hutang bertimbun, pembaziran berterusan, campur tangan politik makin menjadi-jadi menyebabkan kudis MAS menjadi siplis dan kanser.

Agama dan politik tak boleh dipisahkan tetapi campur tangan politik dalam perniagaan dan pertubuhan (termasuk universiti) akan hanya merosakkan. Kerana campur tangan politiklah, pasukan bola sepak, majlis sukan, tahap kecemerlangan sukan negara kita merosot jauh di bawah sana. Universiti-universiti di Malaysia dulu memang cemerlang tetapi sejak campur tangan politik, kualiti siswa sama tahap dengan murid tingkatan 5, menghasilkan siswa yang jumud, bisu dan penakut bagai kerbau dicucuk hidung. Banyak sudah terbukti. Banyak sangat tangan-tangan politik bercampur dalam MAS menyebabkan kerugian, hutang yang bertimbun-timbun. Mana nak cari duit untuk menyelamatkan MAS? Takkan MAS pun nak di bailout?

Bagaimana Tony yang terlibat dengan industri muzik berubah 180 darjah kepada industri penerbangan amat menarik minat saya dan akan saya masukkan dalam buku yang dijangka best-seller, “Setinggi Langit.” Juga bagaimana AirAsia yang bertahun-tahun mengalami kerugian mampu mendapat keuntungan RM500 (untung, bukan rugi RM500) pada tahun pertama operasi akan saya korek dari Tony. Bagaimana teknik pengurusan AirAsia akan saya kaji untuk dibentangkan kepada umum bagi panduan usahawan-usahawan Melayu yang sekian lama ketandusan ilmu pengurusan.

Yang penting sekali dalam buku tersebut ialah bagaimana AirAsia yang masih bayi berjaya “menampar” MAS yang sudah tua. Apa rahsianya? Apa teknik yang boleh digunakan untuk perniagaan lain selain penerbangan. Sama seperti bagaimana NTV7 (bayi merah)berjaya “menampar” RTM yang dah berusia 60 tahun. Itu bukan tampar, hanya sekadar jentik sahaja RTM sudah terpelanting jauh!

Asasnya ialah pengurusan. Apa saja perniagaan, asasnya ialah pengurusan yang mesti dipelajari dari buku dan praktikal. Sepatah kata Aziz Bakar, “Kita berniaga dengan monyet dapat kacang…” Jadi, tak kiralah apa jenis perniagaan dan industri ? keutamaan ialah ilmu pengurusan. Kalau tak mampu menguruskan, kumpulkan dana, lantik jururunding sebagaimana yang AirAsia lakukan. Lantik jururunding, bukan lantik “Pakar Motivasi”.

Dari pengamatan saya sejak AirAsia mula ditubuhkan (dimulakan dengan MBO ? Management Buy Out), AirAsia menggunakan teknik yang disyorkan oleh AlRies & Jack Trout, “Marketing Gurus” idola saya. Kata AlRies and Jack Trout, “The battle of the product is the battle of mind.” Yang pertama, yang masuk ke dalam otak perngguna itulah yang berjaya. Namun untuk menjadi pertama adalah mustahil. Tetapi ada peluang tersembunyi iaitu menjadi pertama dalam kategori. Contoh: Pampers bukan lampin pakai buang yang pertama. Yang pertama ialah Johnson & Johnson. AirAsia bukan yang pertama. Syarikat penerbangan yang pertama ialah MSA kemudian MAS dan disusuli oleh beberapa syarikat penerbangan kecil seperti Berjaya Air, Langkawi Air. Tapi mengapa dengan “sekelip mata” AirAsia hampir menjadi yang pertama?

Tunggu 5 tahun lagi, AirAsia akan menjadi yang pertama. Ini ramalan peribadi saya berdasarkan bagaimana MAS mengendeng-ngendeng AirAsia dan dramatiknya pengurusan AirAsia kini. Bagaimana? Kerana menggunakan Kategori. Ia adalah yang pertama dalam kategori tambang murah. AirAsia hanya berjanji tambang murah sahaja, ia tak pernah menjikan kelas dalam penerbangan. Duduklah di mana-mana saja pun.

Sebelum ini tambang murah tidak pernah wujud, ia adalah ciptaan AirAsia sendiri. MAS sepatutnya menggali telaga sebelum kehausan. Saya turunkan satu lagi rahsia pengurusan AirAsia. Satu saja. Yang lain kena tunggu buku “Setinggi Langit”. Saya rasa teknik ini tidak diajar di mana-mana sekolah pengurusan. Hanya rekaan saya sendiri. AirAsia menggunakan teknik LINKING. Lihat warna AirAsia yang merah. Ia dikaitkan dengan pertubuhan warna merah lain yang sangat popular dan besar. Manchester United sangat popular dan besar. Kaitkan dengan Manchester United yang juga berwarna merah. UMN* pun berwarna merah tapi kalau AirAsia dikaitkan dengan UM*O nampaknya sama seperti mengaitkan dengan kubur.

Nampak? Apa mesej yang boleh dipelajari? Bagaimana mengaitkan usaha dan perniagaan anda kini dengan pertubuhan dan perniagaan yang besar? Mesti ada cara dan peluang jika dicari. Tapi awas jangan tersalah kait, contohnya mengaitkan dengan artis sebagai duta konon — ia ibarat sama seperti mengaitkan dengan kubur. Perniagaan gergasi seperti Giant, Tesco, KFC, McD, Microsoft, Armansur.com, tak payah pun pakai duta.

Kontroversi juga amat penting dalam perniagaan. Kontroversi boleh menghasilkan publisiti. Publisiti 1000 kali ganda lebih baik dari iklan. Mana lebih baik — mengiklankan diri sendiri atau baring di depan pejabat TV3? Bahkan, mana lebih baik, baring di depan TV3 atau RTM? Kena pandai memilih tempat baring barulah menjadi kontroversi.

Perkataan “Tambang murah” itu sendiri adalah kontroversi yang mengejutkan. AirAsia berjaya mencetuskan kontroversi. Bahkan slogan terbaiknya, “Now veryone can fly” amat tepat, terbaik dan genius, menambahkan lagi kontroversi dan publisiti. Apa mesej yang boleh anda perolehi untuk perniagaan dan usaha anda? Saya dengan selamba meniru slogan tersebut untuk Supermarket Ukhwah.com (Now everyone can buy)…..

(photo)
Tony Fernandez: “Pada usia saya 60 tahun nanti saya akan lebih menyesal kerana tidak melakukan apa yang sepatutnya saya lakukan pada hari ini.”

Bila dalam perniagaan, tidak ada yang remeh-temeh. Kadang yang remeh temeh itulah yang utama. Apa mesej yang dibawa oleh Tony sejak akhir-aklhir ini? Mengapa beliau sentiasa memakai topi merah AirAsia? Mengapa Pahamin Rejab memakai topi koboi berwarna merah? Apa mesej yang nak disampaikan? Bagi orang lain ia dianggap remeh tetapi dalam perniagaan, pemasaran ia bukan remeh sebaliknya penting! Tunggu buku best-seller SETINGGI LANGIT.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.