Razzi Armansur

Tak mati pun…

Bila keyakinan saya menurun, sebagaimana manusia lain, keyakinan diri boleh menurun dan meningkat saya akan menaikkan semula dengan mengingati 4 perkara penting:

  1. Saat saya paling yakin di masa lalu.
  2. Berulang-ulang menyebut, “Tak mati pun…”
  3. Bertanya, “Apa yang paling buruk akan terjadi?”
  4. Teringat kepada seorang yang tahap keyakinannya sangat tinggi di tempat letak kereta Tesco. Ada masalah dengan motosikalnya. Dia memulas minyak motorsikal dengan sekuat-kuatnya dan begitu lama, tanpa memperdulikan siapapun. Bunyi bising dari motorsikalnya memang menyakitkan telinga. Tanpa memperdulikan berpuluh-puluh pasang mata memandangnya dan melaung yang bukan-bukan memarahinya. Dia terus menerus memulas. Saya berkata kepada anak saya Edika, “Itulah contoh manusia yang mempunyai tahap keyakinan yang tinggi!”

Hari ini tiba-tiba saja saya teringat kepada sahabat karib saya Albert Lim dan keluarganya yang saya kenali sejak 1994. Mula berkenalan semasa beliau mengusahakan satu lot kedai buku kecil di Pudu Plaza bersebelahan dengan Zhulian. Mula berkenalan semasa membawa 4 buku saya untuk diterbitkan serentak. Sejak dari itu persahabatan kami menjadi karib, bahkan saya menganggap dia dan keluarganya sebagai keluarga saya sendiri. Selepas dari itu banyak buku-buku saya yang belaiu terbitkan di bawah label SN Future. Pasaran untuk buku-buku saya adalah syarikat MLM dan insurans.

Seingat saya, lebih kurang 20 judul buku saya yang telah diterbitkan oleh SN Future dan Readers Worlds Sdn Bhd. Readers World adalah rangkaian kedai buku yang besar belaka. Satu kesilapannya ialah perniagaan Albert berkembang terlalu cepat. Saya masih ingat, kedai Reader’s World di tingkat atas Kompleks Kotaraya Kuala Lumpur adalah yang terbesar di Kuala Lumpur. Kemudian ada 5 buah lagi kedai buku di Kuala Lumpur, 1 di Batu Pahat, 1 di Penang dan 1 di Sarawak.

Perniagaan Albert memang sangat maju. Tetapi atas kesilapan berkembang terlalu pesat, satu demi satu kedai buku beliau terpaksa tutup. Beliau meneruskan perniagaannya dalam bidang mengimport segala rupa buku-buku, kaset, video dari Taiwan. Dalam masa yang sama Albert sudah memulakan bisnes baru iaitu menjadi penganjur seminar. Bermula di PWTC dengan seminar besar-besar untuk “Kejayaan”. Biasanya 2 hari dengan 8 penceramah handalan ? 6 dari luar negara dan 2 dari tempatan. Pengunjungnya antara 1,000 hingga 2,000 peserta. Kalau seorang peserta antara RM400 hingga RM600, dharab sajalah.

Seminar yang besar terbahagi 2. Kedua-duanya dalam bahasa Cina. Satu untuk Insurans dan satu lagi untuk MLM. Di situlah dengan jelas saya melihat perbezaan perwatakan dan wajah antara peserta insuran dan MLM. Yang insurans nampak lebih berpelajaran berbanding MLM yang nampak lebih muka kedai kopi dan putar alam.

Kini saya semakin jarang bertemu dengan Albert. Sesekali bila sesak duit saya akan menelefon, meminjam atau meminta sikit. Sesekali juga, bila sesak saya selalunya meminta pertolongan dari Datuk Dr Azman Ching. Bila Raya, mereka datang. Tanpa diduga, kadang-kadang Azman Ching tersembul di muka pintu dengan sergahan, “Hoih…”

Sejak kenal dengan Albert saya mengenali beberapa usahawan Cina penting. Beliau yang memperkenalkannya. Antaranya ialah Azman Ching, Gan Ah Seng dan ramai lagi. Tidak keterlaluan kalau tidak mengenali Albert saya takkan banyak kali ke rumah Azman Ching yang bernilai RM2 juta itu, atau kerap ke rumah Gan Ah Seng di Tropicana yang bernilai RM3 juta itu. Dari situ saya mula mempelajari sedikit sebanyak cara orang Cina berniaga. Kesemua cara mereka sebenarnya cara Islam yang sudah diabaikan oleh orang Islam tetapi diamalkan oleh bukan Islam: Percaya, dipercayai, mempercayai, rajin, optimis, kerjasama, membantu dibantu, tidak berputus asa, dan segala yang berkaitan dengan ajaran Islam.

Kini syarikat penerbitan Albert telah tutup. Belum sempat buku-buku saya diterbitkan oleh CANI SUCCESS (syarikat baru beliau) beliau tidak lagi mengusahakan penerbitan buku kerana bisnes ditumpukan kepada seminar, kursus dan latihan. Terbaru, saya bertemu Albert, mendapat tahu bahawa perniagaannya sangat maju. Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana tanpa usaha beliau menerbitkan buku-buku saya sebelum ini, pasti saya tidak dikenali. Walaupun urusan bisnes sudah tidak ada lagi, ikatan persahabatan tetap kukuh.

Satu ayat yang Albert ajar dan kekal sehingga bila-bila ialah, “Tak mati pun….” Ayat tersebut perlu disebut seandainya hendak bertangguh bila hendak melakukan sesuatu yang baik. Saya menggunakan ayat itu semasa hendak berhenti merokok 2 tahun dulu. Saya tak berapa suka bercakap di depan kerana takut sangat dicop sebagai “Pakar Motivasi” — itu yang sangat saya takuti, dicop dan dikaitkan. Tapi Albert mendesak dengan ayat, “Tak mati pun…” Saya terhutang budi kepada Albert dan berazam akan membalas budi beliau, InsyaAllah.

Baru-baru ini, Puan Linda, CEO Desquera Worldwide menyampaikan kata-kata seseorang kepada saya. Katanya, (orang itu berkata) “Kalaulah Razzi Armansur nak bercakap, dia dah lama menjadi kaya.” Saya hanya senyum sinis sebab yang menjadi kaya dengan menjadi penceramah dan jurulatih (yang saya kenal) hanya Gan Ah Seng. Yang berkata itu pun sengkek (dia mengaku dirinya sebagai ‘motivator’ satu istilah yang lucu dan pelik).

Saya tak akan berdiri di depan kerana selain bimbang dicop sebagai “Pakar Motivasi”, saya lebih selesa membantu orang lain dengan ilmu yang padu dan benar. Bukan rekaan, bukan angin. Saya lebih suka membantu melalui bahan bacaan, bukan “bum-bam-bum-bam” di atas pentas. Kalau benar apa yang mereka katakan ? sudah ada lebih dari 20 jutawan yang terhasil berkat mengamalkan saranan dari buku-buku saya. Syukur ke hadrat Allah SWT. Agak ramai juga yang mampu memperolehi pendapatan tambahan untuk keselesaan keluarga berkat mengamalkan apa yang disarankan dari beberapa buku saya. Saya bersyukur, walaupun hidup sederhana saja, malah jauh, sangat jauh lagi dari menjadi jutawan. Bukan tak boleh, tetapi belum.

Impak. saya suka bercakap tentang impak. Suatu masa nanti, Razzi Armansur akan meninggalkan dunia ini. Salah satu harta yang ditinggalkan ialah buku-buku beliau. Beliau lebih suka dikenali sebagai penulis berbanding penceramah, apatah lagi motivator.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.