Malam tadi sahabat yang tidak pernah ditemui menelefon saya. Itulah peliknya — tak pernah bertemu tetapi terasa seperti ada keakraban. Kenal melalui buku “Rahsia Dari Damansara.”
(photo)
Ikatan persahabatan, bagi saya adalah kerana satu kaum iaitu kaum Jawa.
Namanya, saya ringkaskan atau rahsiakan kerana saya bimbang pacat akan berkeliaran menghisap darah beliau. Namanya, biarlah kita sebut sebagai “Rauf” sahaja bekerja di syarikat media yang unggul di kawasan sana tulah…
Teringat suatu masa dulu (ingat tak lagi) Haji Samerin? Beliau mendapat RM1 juta dari More Jutaria. Ramainya pacat berkerumun, sampaikan dengan khabar Mona Fendy (dah digantung) pada masa tu beria-ia hendak menemui Haji Samerin untuk menjadi pacat.
Apa istimewanya Rauf ini? Saya anggap, rakyat Malaysia anggap beliau adalah ORANG PERTAMA di Malaysia yang memenangi tandatangan unik. Kerana keunikan tandatangan beliau (selalu Rauf berkata, “Suatu hari nanti, tandatanganku ini berharga”) — Rauf menang RM100,000.00!!
Berjuta-juta tandatangan di Malaysia ini tetapi hanya tandatangan Rauf yang dikategorikan unik dan layak memenangi RM100,000.00.
Jadi, anda kini telah tahu mengapa tak lama lagi akan banyak pacat berkerumun di keliling Rauf. Bagi setengah orang jumlah RM100,000 itu kecil, tetapi bagi pacat ia adalah besar.
Bagi saya ia bukan setakat besar tetapi unik dan pelik. Dari tak ada menjadi ada. Kuasa Allah memberikan rezeki memang tak diduga. Dari 25 juta rakyat Malaysia, Allah SWT memilih Rauf untuk dianugerahkan “duit terpijak.”
Tapi benarkah duit terpijak? Saya rasa bukan. Seperti juga Haji Samerin, beliau mengambil langkah pertama — langkah utama yang sanagt penting. Kalau Haji Samerin tidak bertindak mengisi borang dan melangkah untuk menghantar borang, kemudian ke Kuala Lumpur untuk menjawab soalan-soalan, bolehkah beliau mendapat RM1 juta? Duit terpijak? Kalau Rauf tidak membeli 2 buah jam Alain Delon (RM400 = 4 borang), kemudian menurunkan tandatangan dan mengeposkannya, bolehkah beliau mendapat RM100,000 itu? Jam itu adalah hadiah kepada dirinya dan isterinya, hasil wang bonus.
Memanglah benar belaka — “Dah rezeki dia.” Itu anggapan semua orang. Hakikatnya, rezeki tidak akan melayang masuk ke dalam poket. Kita mesti mengambil langkah pertama, berusaha untuk mendapatkannya.
Bagaimana dengan sebahagian penduduk Sungai Pencala yang menjadi “instant millionaire” bila tanah diambil Sprint untuk dibuat Pencala Link? Itu pun kira duit terpijak? Sebahagiannya tidak berusaha apa-apa. Sebahagiannya berusaha “kecil” — dengan “memperjuangkan” supaya dilebihkan sikit harga. Sebahagian besar penduduk berusaha menentang — mengapa mesti merentasi Sungai Pencala? mengapa tidak merentasi Taman Tun atau Bandar Utama? Jutawan segera, kejutan budaya. Sebahagiannya kembali menjadi “cendawan”. Sebahagian lagi membina banglo. Namun untuk mengalir RM1.00 (dari RM1 juta) ke badan kebajikan jauh sekali.
Kagumkah saya dan penduduk lain Sungai Pencala? Sikit pun tak kagum sebab bukan titik peluh sendiri. Tanah itu adalah hasil penerokaan ayah atau datuk mereka. Hairankah kalau sebahagian besarnya kembali cendawan? Siapa yang hairan kerana “Si Bodoh dengan wang akan terpisah segera.”
Jadi, Rauf meminta idea saya bagaimana nak menyelamatkan wang anugerah Allah SWT itu. Rauf memberitahu saya (dengan segan silu) beliau sudah pun bersedekah kepada orang miskin, ibu tunggal, anak yatim tetapi jumlahnya belum cukup 10%.
Pertama sekali saya beritahu Rauf — hargai semasa ada, bila telah tiada, apa lagi yang hendak dihargai. Lindungi wang tersebut dari pacat. Dari tak ada menjadi ada, jangan sampai ia kembali tiada. Ia hanya terjadi sekali seumur hidup. Ia adalah sejarah. Hargai sejarah. Sejarah wang habis dihisap pacat akan sentiasa berulang.
“Apa bisnes nak buat sekarang?” Tanya Rauf. “Apa menyebabkan kamu rasa kamu boleh berniaga? Sudah cukup ilmu?”
Nasihat saya pada Rauf ringkas sahaja — jangan buat apa yang tidak tahu. Kalau ikut adat Jawa — mudah sahaja nak menggandakan duit RM100,000 itu. Dalam masa 10 tahun jika sabar, teliti dan bijak ia akan meningkat menjadi RM1 juta. Kalau dah dapat RM1 juta yang pertama, mudah untuk mendapat yang kedua, ketiga dan keempat.
Orang-orang Jawa ramai yang menjadi jutawan melalui kebun. Bukan jutawan fantasi tetapi benar-benar jutawan — ada harta melebihi RM1 juta dan ia tidak beku — setiap bulan mengalirkan wang untuk hidup mewah. Itulah yang saya syorkan kepada Rauf. Mungkin tak dapat banyak ekar. Mungkin setakat 2 atau 3 ekar. Dari 2 atau 3 ekar ditanam tanaman kelapa sawit, setiap bulan akan memperolehi wang tunai hasil tanaman. Tetapi 5 tahun yang pertama akan sedikit menderita kerana tidak ada hasil, hanya modal sahaja yang keluar. Sesudah mengeluarkan hasil, setiap bulan akan memperolehi wang tunai. Wang tunai ini dihimpun untuk membeli kebun yang lain. Begitulah seterusnya. Dari 2 — 3 ekar boleh menjadi 20 — 30 ekar, sebagaimana yang dilaksanakan oleh kaum Jawa di Banting. Tanamannya mudah — kelapa sawit.
Kalau ada 10 ekar, setiap ekar dinilai RM100,000, bukankah sudah boleh bergelar jutawan? Dan jangan lupa, setiap bulan 10 ekar itu akan menghasilkan wang lingkungan RM5,000 hingga RM10,000. Tak cukup?
Kepada Rauf, sekali lagi saya ucapkan tahniah. Anda adalah pilihan Allah SWT untuk dianugerahkan RM100,000