Razzi Armansur

Tazkirah di bawah jambatan

Agak terkejut, di belakang sekali, sedang melakukan solat sunat lepas solat Jumaat, ialah Akhil Hayy, dalam Masjid Sungai Pencala. Selalunya beliau solat Jumaat di Bandar Seri Damansara, tak jauh dari pejabat Inteam jikalau berada di sekitar Damansara dan yang sewaktu dengannya.

(photo)
“Bukan untuk posing majalah, tapi untuk kenangan.” Kata saya. “Lain macam saja Kang, macamlah kita tak jumpa lagi lepas ni.” Jawab Akhil Hayy

“Jom ke rumah Kang.”

“Tak sempatlah, lain kali saja. Pukul 4 nak ke Kelantan ni. Ana nak jumpa Tuan Guru Nik Aziz nak minta semangat…” Katanya dalam bergurau.

“Semangat apa lagi Ustaz…”

Hanya senyum-senyum.

“Tadi Suhaimie ada sembahyang di sini.” Kata saya semasa melangkah keluar masjid.

“Suhaimie mana? Suhaimie Inteam?” Tanya Akhil Hayy.

“Ex-Inteam. Tapi mereka bergabung semula dalam album baru. Kelima-limanya bergabung. Kreatif betul pengurusan Inteam.”

Maka kami pun bergerak menuju ke gerai di bawah jembatan untuk minum kopi. Akhil Hayy tak makan nasi waktu tengah hari atau mungkin sudah terbiasa, kerana jadualnya yang ketat, selalu tidak makan tengahari.

“Tapi Ustaz, boleh ke di bawah jembatan ini. Tak hilang glamor ke Ustaz?”

“Glamor apa benda ni Kang. Lagi Ana suka sebab sekarang ni ramai dah kata Ana sombong. Duduk di gerai begini boleh buang perasaan dan perasan.”

Banyaklah yang diceritakan di bawah jembatan itu. Kami mengungkit kisah-kisah silam, zaman jahiliyah, bukan untuk berbangga tapi untuk mengingatkan diri. Seperti sealiran, agak ramai orang yang berkawan dengan Akhil Hayy pernah juga menjadi kawan saya. Mengungkit kisah silam diselang-selikan dengan gelak ketawa lucu.

“Agaknya kenapa Ustaz, saya pelik tengok Nassier Wahab, sampai sekarang masih macam dulu. Awet muda dan slim. Botox?” Tanya saya. Kebetulan Nassier Wahab itu adalah kawan baik Akhil Hayy.

“Bukan botox. Saya tak fikir botox. Semangat dia.” Kata Akhil Hayy.

“Kang pun bersemangat Ustaz, tapi kenapa tak awet muda.”

Hanya gelak.

Tak ketinggalan tazkirah-tazkirah ringkas dari Akhil Hayy untuk saya. Dan sedikit sebanyak pesanan dari saya untuknya.

Sebelum memberikan tazkirah penting, Akhil Hayy menceritakan sedikit sebanyak kisah “Dark Side” dalam dunia artis. Kisah begitu telah lama saya dengari sejak tahun 80-an lagi semasa berkawan dengan beberapa artis 80-an. Cuma kata-kata Akhil Hayy hari ini mengesahkan.

“Kalaulah Ana hanya fikirkan dunia, sekarang ini Ana dah hampir sama taraf dengan Freddie Fernandez dari sudut kewangan. Tapi hidup ini bukan untuk wang semata-mata. Apa yang ada sekarang sudah lebih dari cukup. Ana cuma takut tak cukup masa untuk buat perkara lain jikalau hanya tumpu kepada wang. Bagaimana tanggung jawab kita untuk berdakwah?”

Akhil Hayy menyambung, “Di akhir zaman, agama dijadikan platform ekonomi. Di belakang mereka yang mengadakan rancangan agama adalah mereka yang menghindari agama. Tak semua, tapi agak ramai.”

Saya mengangguk tanda setuju. “Bagaimana cara mengatasinya, Ustaz.”

“Ana rasa, ia di luar bidang kita. Cuma apa yang boleh kita buat ialah tidak melakukannya. Kita beri peringatan kepada diri kita, keluarga, keturunan dan sahabat-sahabat kita, supaya jangan mengikut jejak langkah mereka.”

Akhil Hayy kemudian menceritakan bagaimana sebahagian mereka yang terlibat dalam dunia artis, kebanyakannya, penghujungnya begitu menyedihkan.

Giliran saya memberikan sedikit pesanan sebagaimana penghujung ayat Wal ‘Asri supaya kita berpesan-pesan saling mengingatkan tentang kebaikan, “Suatu masa nanti Ustaz pun akan sampai ke penghujung itu. Sekarang ini tengah lebat, banyakkan sedekah. Rasa-rasanya pada pendapat Kang yang jahil ini, itu sahaja penghalang dari penghujung yang menyedihkan. Ini pesanan untuk Kang juga tau Ustaz.”

Kemudian saya menceritakan kisah benar yang berlaku semasa perjalanan pulang dari MMU Melaka, selepas mengadakan persembahan nasyid bersama kumpulan Inteam di universiti tersebut, beberapa tahun dahulu. Saya sekereta dengan pengurus kumpulan tersebut. Ada sekatan jalan raya. Tiba-tiba ada kereta yang dipandu selaju-lajunya terbabas. Hanya seinci lagi akan melanggar kereta kami. Tak habis-habis mengucapkan syukur. “Agaknya, seinci tadi dihalang oleh sedekah yang baru saja kita bagi pada kumpulan nasyid lain.” Kata pengurus tadi.

Dalam pertemuan yang tidak dirancang, hampir 2 jam itu, Akhil Hayy mengadu betapa banyak sekali tohmahan, cercaan, fitnah yang melanda beliau sekarang. “Kadang-kadang Ana tak tahan.”

“Kalau boleh Kang cakap sikit. Kita buat macam mana, apa pun, tetap salah saja pada pandangan orang. Kita buat baik salah, kita buat jahat apatah lagi. Kalau kita ambil pusing dengan kata-kata orang, kita akan hanya menghabiskan usia. Kita habiskan masa depan kita untuk menangani, ambil pusing dengan kata orang. Jadi, sebaiknya kita ikut sabda Rasulullah yang menyebut, ‘Silence is golden’. Sampai bila pun, kata-kata orang sekeliling tak akan tamat. Ada saja yang tak kena. Jadi, buat apa nak ambil tahu, bukan ada apa-apa faedah pun. Apa pandangan Ustaz?”

“Setuju.” Akhil Hayy menangguk sebelum bangun dan berpisah.

Agak pelik juga, jikalau dirancang sukar hendak bertemu, jikalau tanpa dirancang boleh lepak sampai 2 jam.

Semasa menuju ke keretanya, Akhil Hayy berkata, “Kalau Ana ada 2 kereta macam ini, satu Ana bagi kat Kang. Ana tahu dari dulu Kang minat Murano.”

“Erkkk….”

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.