Kisah berlaku suatu masa dulu. Penyiar yang belum berapa tahu menyebut .com.my sebagai dot com dot mai. Biasa mendengar begitu? Bahkan orang yang kononnya memberikan kursus internet, jual barang melalui internet pun masih menyebut dot mai. Pelik? Ia adalah perkara asas, paling asas. Kalau yang asas pun dah salah, bagaimana yang lain?
(photo)
Keterangan gambar: Pemain bola yang tidak memerlukan Tendangan Bebas. Dari kiri: Iqbal dan adiknya, Ezika Armansur, Aliff, Khuzzir, Faris dan arnab bernama Ban.
.my adalah sambungan untuk negara. Kalau Singapura misalnya ialah .sg, Korea .kr New Zealand .nz Australia .au dan sebagainya. Hanya kerana sambungan Malaysia berbunyi mai, maka ia disebut mai sedangkan tak boleh disebut begitu. Kalau begitu bagaimana dengan, katalah sambungan untuk Singapura .sg? Nak sebut apa? sebut dot seg? dot ker? dot nez? dot auw?
Kalau yang menyebutnya orang biasa tak mengapa sebab tak tahu. Ini yang menyebutnya ialah orang yang memberi kursus internet dan penyiar. Ibarat cikgu yang mengajar Matematik tapi tak tahu 1 + 2.
Yang mengajar saya tentang sebutan dan sambungan negeri itu ialah Mr Kee dari Ipxcess.com. Dialah sebenarnya yang terlalu banyak mengajar saya tentang internet, web, server, hosting, domain dan sebagainya sejak dari tahun 1997. Sedikit pun tak kedekut ilmu. Yang kedekut ilmu selalunya orang Melayu.
Maka suatu hari saya menghantar emel kepada TV3 menjelaskan tentang sebutan itu. Maka, sedikit demi sedikit, hingga kini, semakin kurang, hanya tinggal satu dua penyiar TV3 yang menyebut dot mai.
Begitu juga dengan sebutan “Tendangan Percuma” terjemahan terus dari “Free Kick”. Kini TV3 sudah mula menyebutnya sebagai “Tendangan bebas” sebab itulah sebenarnya terjemahan yang paling tepat. Kalau ada tendangan percuma, bermakna tendangan yang lain kena beli.
Mungkin penyiar tersebut membaca web saya ini (ehem…) setelah saya menyebut bahawa “Tendangan percuma” bukan terjemahan yang tepat untuk “Free Kick.” Pemain, bebas nak menendang ke mana saja yang dia suka. Nak masukkan gol sendiri, nak tendang keluar stadium, dia punya suka, dia punya pasal. Jadi, di mana yang dikatakan “Tendangan percuma”?
Saya juga ada menghantar emel kepada TV3 sebelum ini untuk menjelaskan tentang “Tendangan percuma” itu. Alhamdulillah, saranan saya diterima.
Selepas ini, saya akan menghantar emel lagi kepada TV3 meminta supaya berhenti:
1. Menggunakan perkataan “Pakar” seperti “Pakar Motivasi.” Perkataan ‘Motivasi’ itu sendiri mengelirukan, ditambah pula dengan perkataan “Pakar”.
2. Menjemput Dr. Ayam yang hanya layak memberi ceramah kepada ayam atau anak ayam.
3. Artis Malaysia tak payahlah dihighlightkan sangat seolah-olah maksum dan boleh dijadikan idola. Ada artis yang kelentong meletakkan Dr. di depan namanya. Sejak bila artis tidak berbohong dan kelentong? Tak percaya? Pergilah geledah di forum cari.com.my