Razzi Armansur

Terbalikkan sampai boleh

Masuk ke hari ini, sudah lebih kurang 2 bulan saya tidak bersenam di waktu pagi nan hening di Taman Kiara, yang terletak di kaki Bukit Kiara nan permai — namun di sebelah sana, Bukit yang sehening Bukit Srengenge di Banggol Derdap sudah ditebuk dan dijadikan terowong Pencala Link dan meraih gelaran yang ‘ter’ — kalau tak silap yang terpanjang di Asia Tenggara. Memanglah terpanjang kalau dibandingkan dengan Kampuchea, Myanmar, Kemboja…

Hening atau tak hening Banggol Derdap itu sebenarnya? Saya pun tak pernah ke Banggol Derdap. Pernah sangat teringin ke sana untuk melihat Banggol Derdap itu sesudah banyak membaca buku Prof Emiritus Dato’ Shahnon Ahmad (masa itu cikgu lagi) yang berlatar belakangkan Banggol Derdap. Saya membaca Ranjau Sepanjang Jalan (karya pertama yang sememangnya tidak lari dari kena tempias novel lain — The Good Earth). Begitu juga dengan dengan cerita Srengenge — selepas membacanya teringin sangat hendak ke sana. Sampailah hari ini, tak pernah sampai lagi ke Banggol Derdap. Dan juga, tidak lagi suka membaca novel karya Shahnon Ahmad sejak beliau tidak lagi menulis mengikut selera pembaca sebaliknya mengikut selera sendiri — terlalu puitis, bersastera sangat dengan bahasa-bahasa yang terpaksa kita menelefon DPB (Dewan Perosak Bahasa) untuk bertanyakan maknanya. Ikan suka cacing, saya suka KFC, takkan saya memancing ikan menggunakan KFC?

Selalunya begitu, bila penulis sudah menang anugerah itu, anugerah ini, mulalah hilang pegangan. Dulu mungkin menulis kerana “Ikan suka cacing, saya suka KFC” tetapi bila sudah datang ego, mulalah bersastera, bahasa-bahasa puitis untuk syok sendiri dengan judul-judul buku yang pelik dan hanya difahami oleh dirinya sendiri. Masa itu mulalah, “Peduli apa aku, ikan suka cacing ke, ayam ke, yang penting aku suka KFC.”

Tahukah anda, tak semestinya menang anugerah itu novelnya akan laris. Mengikut rekod masa lalu — tambah tak laku.

Berbalik kepada Banggol Derdap tadi — begitulah kekuatan setting dalam satu-satu novel yang baik. Maksudnya yang tidak berpuitis, bersastera sangat sebaliknya yang diminati — yang mengumpan ikan dengan cacing, yang penceritaannya menarik tanpa perlu berpuitis dan sangat bersastera. Selepas habis membaca, teringin sangat hendak ke tempat tersebut melihat sendiri sebagaimana yang digambarkan melalui visual, auditory, kinesthetic dalam novel. Saya mengaku, sememangnya saya terpengaruh dengan gaya tulisan begitu. Saya memasukkannya di dalam KAMPUNG KAYA — sampai sekarang orang mungkin masih mencari kedai Turoji Soto, kilang sekaya, di mana Azmi, Salwa sekarang.

Memang saya terpengaruh dengan gaya setting Shahnon Ahmad dan satu lagi buku yang berjudul “Tamu 31 Ogos.” Dalam novel tersebut hanya menyebut singgah di sebuah rumah banglo di Banting, bersebelahan Sungai Langat. Tahu apa terjadi selepas itu? Setiap balik sekolah menengah selepas melewati jambatan Telok Datok yang merentasi Sungai Langat kemudian melewati Perpustakaan Awam, ada seperti kilang getah, selepasnya ialah sebuah banglo yang kosong. Setiap hari, saban hari bertanya saya dalam hati, “Inikah banglo yang diceritakan dalan novel itu?”

Semula, kisahnya saya tak bersenam pagi selama 2 bulan itu — anda nak alasan atau penyelesaian? Kalau alasan, memang ada segunung alasan. Kalau nak penyelesaian, baru hari ini saya mula bersenam kembali, keliling taman, kemudian pijak batu (refleksologi), kemudian buat tarik nafas dalam-dalam 10 — 15 kali untuk mengalirkan oksigen masuk ke dalam otak dan tubuh — rahsia awet muda agaknya.

Apa yang pelik — sebelum ini memang ramai yang menegur saya — badan saya semakin gemuk. Perut makin naik. Saya pun hairan, ramai orang lain yang badannya naik tetapi mengapa saya yang menjadi mangsa teguran? Menegur dengan ikhlas atau seronok melihat saya makin gemuk? Itu yang saya tak pasti.

Lebih pelik lagi — sejak dulu saya perhati — bila badan saya slim, tidak ada satu hamba Allah pun menegur, “Wah Kang! Hebatnya kamu ini, badan kamu slim! Muka pun tambah kacak!” Memang tidak pernah terjadi dalam sejarah, dulu kini dan selamanya. Pelik kan? Bila badan naik ada yang menegur dengan riangnya, bila badan slim, selamba saja.

Jika sekiranya saya dan anda mendengar teguran itu dan kemudian meresapkan ke dalam diri — anda akan menjadi semakin gemuk. Kenapa? Di situlah FOKUS sebagaimana yang saya tuliskan dalam buku terbaru saya RAHSIA AJAIB. Bila orang menyebut, “Kamu ini gemuklah sekarang,” apa sebenarnya fokus anda? Sudah tentu fokus anda adalah pada GEMUK. Perkataan “Aku gemuk, aku gemuk, aku gemuk” dimainkan berulang-ulang kali secaraa automatik dalam fikiran.

Kemudian — sebagaimana HUKUM FOKUS menyebut — “Kita bergerak mengusahakan untuk mendapatkan apa yang kita fokus.” — kita selepas itu berusaha untuk menjadi gemuk — tanpa disedari. Berhati-hati dengan apa yang menjadi fokus anda.

Begitu juga dengan kata-kata seperti, “Kenapa kamu ini makin kurus?” Kita akan terus bergerak berusaha sepenuh jiwa raga untuk menjadi lebih kurus lagi.

Jadi, apa caranya? Terbalikkan sampai boleh. Terbalikkan menjadi sebaliknya.

Bertanyakan soalan universal (salah satu modul dalam NLP) pun boleh. Contohnya, ‘Kamu ini makin gemuklah…” Tanyakan kembali, “Pada pendapat kamu, bagaimana saya boleh menjadi slim?” “Pada pandangan kamu, apa yang perlu saya lakukan supaya badan saya berisi?”

Atau terbalikkan teguran yang diterima. Terbalikkan menggunkan auditory — terbalikkan menjadi apa yang anda ingini. Contohnya: “Kamu ini makin gemuk.” Terbalikkan, kedengaran suara (auditory) orang yang berkata itu terbalik menjadi, “Kamu ini semakin slim.” Ulang berkali-kali dan bergema dalam fikiran anda berkali-kali, sekurang-kurangnya 5 kali untuk menenggelamkan kata-katanya yang asal. Boleh? Mula-mula memang agak susah tapi lama-kelamaan nanti ia senang sangat. Ulangan sangat penting.

Bukan saja untuk gemuk dan kurus bahkan untuk apa saja yang logik. Pendek kata ia untuk apa saja jenis kejayaan.

Lagi: Bila melihat cermin, terbalikkan. Bukan menterbalikkan cermin sebaliknya terbalikkan pandangan anda. Bila anda melihat diri anda yang gemuk (misalnya) di cermin — ia akan menjadi fokus dan anda akan bergerak ke arah menjadi lebih gemuk lagi. Sekarang, gunakan kekuatan visual anda — terbalikkan gambaran itu — anda melihat diri anda menjadi slim! Serentak dengan itu keluarkan auditory. “Saya kini slim!” serta-merta juga keluarkan perasaan sangat gembira (kinesthethic). Boleh? Buat latihan berkali-kali, nanti dengan mudah sekali anda melakukannya. Dan jangan sekali-kali lupa akan ulangan. Dalam apa jua latihan, ulangan sangat penting!

Sentiasa terbalikkan sampai boleh. Bila anda terlihat orang yang gemuk kemudian anda mengatakan “gemuk” (dalam hati) maka sekali lagi, “gemuk” itu menjadi fokus. Terbalikkan saja. Gunakan kekuatan visual anda mengubah bentuk badan orang itu menjadi slim. Maka sekarang, fokus anda adalah kepada slim. Jangan lupa untuk memasukkan auditory, “Beruntung dia seorang yang slim.” Serentak dengan itu anda menjadi begitu gembira (kinesthetic).

Bagaimana kalau terlihat seorang yang slim dan fit? Anda hendak menterbalikkan menjadi gemuk? Boleh, tak ada masalah jika fokus anda adalah kepada gemuk. Bagi saya, di taman, bila terlihat orang yang fit, slim, cergas, saya akan mengeluarkan auditory, “Itulah saya!” serentak dengan itu saya melihat “diri saya” — saya melihat orang yang cergas, fit, slim itu sebagai diri saya. Sudah tentu fokus saya adalah kepada cergas, fit, slim. Mudah saja! Kita fokus kepada yang kita mahu bukan kepada yang kita tidak mahu. Pergi kedai nak beli barang yang kita mahu, bukan barang yang kita tak mahu. Kita menuju arah yang kita nak tuju bukan arah yang kita tak nak tuju.

Bila buka MSN Health anda akan melihat kejayaan-kejayaan bagaimana orang yang gemuk gedempul akhirnya boleh menjadi slim dan fit. Itu yang berjaya; takkan nak paparkan yang tak berjaya. Serupa juga dengan Gamat Healin — takkan nak paparkan yang tak berjaya.

Saya panggil kedua-dua pewaris Armansur.com Berhad — Edika dan Ezika untuk disoal. “Apa mesejnya?” Tak ada jawapan. Saya mengulangi lagi, “Apa mesejnya?” “Err… tidak mustahil.” Jawapan yang hampir tepat. Yang tepat ialah — “Boleh! selagi kita fokus kepada boleh.”

Memang sentiasa boleh kalau fokus kita tepat. Kerana itu saya kurang setuju dengan “No Pain, No Gain.” Mengapa mesti kejayaan, perolehan dikaitkan dengan kesakitan — tak mungkin sama sekali kita akan bergerak menuju ke arah kesakitan. Kita mengelakkan kesakitan bukan mencari kesakitan. Kerana itulah ramai yang gagal kerana mengaitkan perolehan, kejayaan dengan kesakitan. Kesakitan mesti dielakkan melainkan anda orang syiah yang suka menyebat badan sendiri kerana merasai kesakitan yang dialami oleh cucu Rasulullah, kononnya. Itu ajaran Islam? Lebih kurang macam orang Kristian yang menyebat dan menyeksa diri sendiri (dalam Da Vinci Code), kononnya untuk merasai kesakitan Nabi Isa A.S. ketika disalib.

Fokus tidak akan terhasil kalau dikaitkan dengan kesakitan. Jadi, sekali lagi, terbalikkan sampai boleh kerana sememangnya ia boleh. Hanya persepsi dan fokus saja yang menyebabkan tidak boleh.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.