Razzi Armansur

Wanita Besi terus berjuang selagi masih bernyawa

GIGIH, KOMITED, berjuang dengan ikhlas (ikhlas di sini maksudnya, berjuang tanpa mengharap balasan, tanpa dibayar apa-apa), bersunguh-sungguh, itulah gambaran tepat kepada ‘Wanita Besi’ bernama Mbakyu Ainon Mohd. Canceslor Universiti PTS ini, kini sedang bermatian-matian memperjuangkan supaya pembelajaran Sains dan Matematik dikembalikan kepada Bahasa Melayu. Membantah supaya pembelajaran 2 subjek tersebut tidak diteruskan dalam Bahasa Inggeris.

Pergilah ke UniversitiPTS.com dan saksikan sendiri, selama berminggu, berbulan atau sudah bertahun Mbakyu Ainon Mohd bersama suami beliau berterusan membela dan membantah isu tersebut.

Professor Emeritus Dr Abdullah Hassan, suami Mbakyu sama gigih berjuang membantah dan membela. Beliau adalah betul-betul Prof. bukan Prof. dalam MLM atau perubatan tradisional. Prof. Emiritus adalah pangkat yang kekal, boleh terus diletakkan di pangkal nama walaupun tidak lagi berkhidmat dengan Universiti. Boleh terus dipanggil Professor. Kalau bukan Emiritus, pangkat atau gelaran tersebut ditinggalkan apabila keluar atau berpindah ke universiti lain. Paling rendah ialah Prof. Madya, di mana jikalau anda seorang pensyarah anda boleh memohon untuk mendapatkan Prof. Madya. Professor Emiritus adalah anugerah. Moralnya: jangan sebarangan meletakkan gelaran Professor dan Dr. di depan nama. Jangan menyangka orang lain sebodoh diri sendiri.

Kembali kepada perjuangan Mbakyu Ainon Mohd. Inilah yang dikatakan perjuangan sebenar! Cuba fikirkan, adakah Mbakyu dan PTS akan memperoleh faedah langsung atau tidak langsung dari perjuangan beliau? Jika ada, bentangkan, apa faedah yang akan beliau peroleh? Faedahnya Allah SWT yang akan tentukan dan beri. Jika kerana mengharap dan mendapat faedah, itu namanya bukan perjuangan!

Jika perjuangan untuk diri sendiri, itu bukan perjuangan. Itu berkepentingan namanya. Perjuangan Mbakyu adalah untuk orang lain, untuk masa depan, untuk generasi akan datang.

Setiap orang ada peranan masing-masing. Mbakyu berjuang melalui penulisan. Jangan hanya pandai cakap, “mata pena lebih tajam dari mata pedang.” Inilah masanya menggunakan “mata pedang” tersebut.

Perjuangan Mbakyu juga bukan berkisar kepada “Mengapa” sahaja seperti orang lain, bahkan kepada “Bagaimana” sahaja. Nampaknya, hanya orang mendakwa dirinya sebagai “Pakar Motivasi” sahaja lebih gemar menggunakan “Mengapa” kerana tidak tahu “Bagaimana”. Kerana “Mengapa” lebih mudah, hanya perlu membebel. “Bagaimana” memang sukar kerana terpaksa membuat kajian dan memperoleh fakta yang tepat. Mana lebih mudah, “Mengapa mentol menyala” berbanding, “Bagaimana mentol boleh menyala”? Rasululah SAW tidak hanya, “Mengapa perlu Islam,” sebaliknya, “Bagaimana mengamalkan Islam.”

Contohi bagaimana Mbakyu melaksanakan “Bagaimana”, saksikan sendiri bagaimana tindakan beliau berjuang setelah mendapat punca, “Mengapa pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris MESTI dihentikan serta-merta.”

Apa puncanya? Apa asal mulanya semua ini? Asal mulanya adalah kerana WANG semata-mata. Apabila diubah dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris, ia melibatkan banyak pertukaran dan perubahan, terutamanya sudah tentu buku. Bayangkan berapa ratus juta atau bilion yang akan dibelanjakan untuk pertukaran sistem tersebut. Tentu ada puak-puak atau kaum-kaum yang akan memperoleh faedah dari perbelanjaan yang mencecah bilion tersebut. Kemudian, jikalau tukar kembali ke Bahasa Malaysia, pun akan melibatkan perbelanjaan yang mencecah bilion.

Kesimpulannya, murid sekolah, dulu, kini dan selamanya menjadi bahan ujikaji. apabila politik masuk ke sekolah-sekolah, yang menjadi mangsa adalah murid sekolah dan rakyat jelata.

Apa pula sebelum WANG? Tentulah kerana melanggar sabda Rasulullah, “Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, tunggulah kehancurannya.” Cuba lihat kembali, “Sesuaikan orang itu menjadi menteri dan diletakkan di situ?” Memang tak sesuai sama-sekali. Bahkan ramai yang mengatakan orang itu pun tidak layak menjadi kerani di kementeran itu.

Dan siapa yang berani mengatakan bahawa Bahasa Inggeris adalah bahasa kemajuan maka dia adalah orang yang bebal. Bahasa Inggeris bukan bahasa kemajuan, bahkan ramai yang mengatakan ia adalah bahasa kemunduran. Mengikut Mbakyu Ainon Mohd., negara terkaya di dunia, Norway tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Contoh terdekat, Jepun dan Korea, negara yang produknya ‘menjajah dunia’ tidak menjadikan Inggeris sebagai bahasa rasmi.

Kita pergi kepada satu lagi contoh paling penting: Di Asia Tenggara, tidak ada manusia yang lebih ramai, lebih fasih berbahasa Inggeris selain Filipina. Ini fakta, kerana bahasa rasmi Filipina adalah Inggeris.

Marilah sama-sama kita membantu perjuangan Mbakyu Ainon Mohd., jikalau kita sayangkan generasi akan datang. Tak ada sebab mengapa Sains dan Matematik perlu diajar dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Melayu, jika kita telah tahu bahawa Bahasa Innggeris itu bukan bahasa kemajuan.

Jika tidak mampu, sekurang-kurangnya kita berdoa, mendoakan kejayaan perjuangan Mbakyu Ainon Mohd dan suami.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.