Menjadi satu trend di dalam MLM sejak sekian lama — menambah beberapa kosong di dalam pendapatan. Katalah pendapatannya RM100, macam ajaib berubah menjadi RM1,000.00. Ada tambahan beberapa kosong, bukan di akaun bank tapi di bibir. Bukan sekali kumat-kamit memberitahu tambahan kosong itu tetapi berkali-kali — kerana jika sekali dua kurang efektif.
Seiringan dengan itu — satu lagi tradisi ialah menambahkan beberapa lagi benefit produk. Jika faedah atau khasiat produk itu dari A sampai C sahaja, rasanya kurang selesa jika tidak ditambah dan diubah dari A hingga Z.
Biasa melihat dan mendengar begitu? Mestilah biasa kerana ia adalah lumrah, bukan lagi sesuatu yang mengejutkan. Sama lumrahnya untuk melihat lambakan Dr. Ayam di dalam MLM. Sudah bukan isu dan sudah bukan perkara mengejutkan. Bahkan sudah ada ‘branding’ yang dicipta, “Kalau tak bohong bukan MLM.”
Mungkin mengejutkan di dalam industri lain, tetapi di dalam industri jualan lansung berasaskan MLM sudah tidak mengejutkan. Apa pula lepas ini? Nak letak “Sir”? Saya syorkan letak saja “Tun”, baru gah. Kalau letak “Sir” kemudian ditanya, “Dapat Knight dari mana?” “Er… er… sinilah…” Sebab mereka yang meletakkan “Sir” tidak tahu apa itu “knight” dan bagaimana upacara “knighting” dijalankan, siapa yang boleh meletakkan pedang di bahu, di mana dan bagaimana upacara “knighting” hingga membolehkan dipanggil “Sir”.
Inilah salah satu sebab mengapa semakin tahun, semakin orang mencebik bila disebut tentang MLM. Orang lebih rela menghabiskan tenaga dengan melarikan diri berbanding duduk mendengar penerangan tentang peluang perniagaan MLM atau produk MLM.
Apa ikhtiar? Sebelum mengetahui apa ikhtiar, lebih baik mencari puncanya? Puncanya ialah orang MLM sendiri yang menjadikan MLM sebagai gelanggang sarkis. Kita ambil diri kita sendiri — apa puncanya orang tidak suka mendekati kita? Adakah kerana orang lain atau diri kita sendiri puncanya?
Jika dihapuskan punca yang menyebabkan MLM makin dijauhi, InsyaAllah, sedikit demi sedikit MLM akan kembali kepada basic dan sudah tentu sedikit demi sedikit mula didekati semula.
Namun menghapuskan “pemain sarkis” di dalam MLM bukan mudah dan seakan mustahil, kerana ia makin membiak dan tepat sebagai kata peribahasa, “Ikan membusuk bermula dari kepala.” dan “Keruh di hulu, keruh di hilir.”
Sebaiknya MLM kembali kepada asas iaitu memahami apa makna sebenar MLM dan bagaimana struktur perniagaan MLM yang berasaskan produk bukan berasaskan ‘marketing plan’ — pelan pemasaran adalah untuk memasarkan produk. Produk adalah utama, bukan sampingan. Yang ada sekarang, produk adalah sampingan, pelan pemasaran yang utama.
Penerapan nilai-nilai Islam di dalam MLM boleh menghalang dari MLM terus dijauhi. Berbohong, kelentong, menambah bilangan kosong di belakang angka, menambah bilangan penyakit yang boleh diubat oleh produk bukan nilai-nilai Islam. Malangnya, apa yang dimaksudkan dengan nilai-nilai Islam sering disalah ertikan. Sebahagiannya menyangka, dengan menyebut “ummah” itulah nilai-nilai Islam. Itu bukan nilai-nilai Islam — itu helah supaya orang tertarik. Konon “ummah” tetapi mulut makin sedap berbohong, “Azman Ching tengah berucap di Seremban, saya bangun dan suruh berhenti kemudian saya tanya, kamu ini sudah masuk Islam ke, kenapa guna nama Azman Ching?” Berbohong? Memang berbohong. Alangkah sedihnya, yang berkata begitu ialah orang Islam yang selama ini sibuk hendak membangunkan “ekonomi ummah.” Soalannya — membangunkan ekonomi ummah atau membina “generasi ummah pembohong”? Sedih, teramat sedih, orang kafir tidak berbohong begitu.
Jika berpegang pada Islam sejak dari dulu, MLM kini semakin disegani. Sudah tentu murid-murid sekolah rendah sudah mula menjadikan “Usahawan MLM” sebagai cita-cita, kerana, pada tahun 2006, MLM di Malaysia sudah berusia 30 tahun.
Kalau usahawan MLM berpegang kepada ajaran Islam (sila ambil perhatian: ajaran Islam, Al-Quran, Hadis bukan hanya untuk orang Islam sahaja), dijadikan amalan, sudah pasti makin bertambah maju. Belum pernah terjadi di muka bumi ini sejak dari zaman Rasulullah SAW, orang (sesiapa saja) yang mengamalkan ajaran Islam akan mundur ke belakang.
Kalaulah diamalkan tentulah tidak sewenang-wenangnya menyebut, “Syarikat saya perolehannya RM13 juta tahun lepas.” Setahu kita, selama ini lalat pun enggan keluar masuk ke syarikat tersebut. Dari mana datangnya RM13 juta itu?
Tentu tidak akan kedengaran, “Pendapatan saya bulan lepas RM200 ribu.” Wow! Tak penatkah berbohong?
Jika diterapkan dan diamalkan nilai-nilai (ajaran, bukan nilai-nilai) Islam di dalam MLM tentu tidak memandai-mandai menyebut hasil perolehan dari industri jualan langsung adalah RM6 billion dan ia penyumbang ekonomi terbesar. Dari mana datangnya tambahan RM2 bilion itu sedangkan nilai sebenar adalah lingkungan RM4 billion. Yang menyebut itu tahukah, itu bukan hanya porolehan dari MLM sahaja; ia merangkumi keseluruhan jualan langsung yang terdiri dari, MLM, SLM, pesan pos. Ia penyumbang ekonomi nombor 4 atau 5, bukan nombor 1.
Pada pendapat saya, hanya ada satu cara saja mengembalikan MLM kepada basic dan kegemilangannya iaitu dengan menggunakan sistem peperiksaan seperti insurans — jika tidak lulus peperiksaan tidak boleh jadi agen insurans. Bahkan perkataan agen insurans yang membawa imej buruk pun telah ditukar menjadi “perunding kewangan.”.
Itu saja caranya, bagi pendapat saya. Setuju?