Berbagai-bagai perkara yang runtuh di Malaysia dulu kini dan selamanya. Dari keruntuhan moral di kalangan remaja hinggalah kepada tanah runtuh. Silap jikalau kita mengatakan bahawa hanya remaja sahaja yang mengalami keruntuhan moral. Semua peringkat sedang mengalami keruntuhan moral, bermula dari kanak-kanak dan remaja. Di mana puncanya? Pemimpin. Siapa pemimpin? Dari menteri, wakil rakyat, hinggalah kepada ibu bapa. Bahkan diri kita ini adalah pemimpin kepada diri kita sendiri?
(photo)
6 Disember 2008. Tanah runtuih di Bukit Antarabangsa, meragut 4 nyawa dan meranapkan 14 rumah mewah.
Bukankah sekarang masanya, mereka yang mendakwa dan didakwa sebagai ‘pakar motivasi’ mengubah cara seminar atau kursus mereka. Kalau kursus kepimpinan, biarlah betul-betul kursus kepimpinan, bukan ‘seminar motivasi’ yang penuh dengan ‘hype’ sahaja.
Tanah runtuh. Macam biasa kita dengar. Seperti sudah terlalu biasa. Tidak lama lagi kita akan menjadi lali. Kita sentiasa mengulang sejarah atau sejarah akan sentiasa berulang. Kerana itu dikatakan setiap kejadian ada hikmahnya tersendiri. Atau ada mesej di sebaliknya. Cuma malangnya, manusia enggan belajar dari sejarah, enggan mengkaji mesej yang disampaikan.
Peristiwa kondo tumbang, tanah runtuh, lebuhraya mendap, rumah tenggelam akan terus berulang di bumi Malaysia ini sehingga hari kiamat selagi tidak belajar dari sejarah.
11 Disember 1993, kondo Highland Tower tumbang, mengorbankan puluhan nyawa. Peristiwa bersejarah itu saya catatkan di dalam buku saya “Dunia Ini Penuh Wang” yang saya kaitkan dengan asas pencarian wang. Kehidupan kita boleh tumbang sebagaimana kondo tersebut jikalau asas pencarian wang kita tidak bersih dan halal.
Maka sebagaimana biasa, sentiasa ada yang mengambil kesempatan mencari publisiti apabila terjadi sesuatu peristiwa. Semasa tumbangnya Highland Tower, dari menteri hinggalah bomoh datang melawat sambil mencari publisiti. Begitu juga dengan tragedi Bukit Antarabangsa ini, anda boleh menyaksikan sendiri, sampaikan menteri yang tak berkenaan pun datang mencari publisiti.
Prihatin? Kalau prihatin, masih ingat lagi tragedi runtuhan tanah (hampir sama) di Kampung Pasir pada 31 Mei 2006. Ada lawatan menteri? Prihatin? Zulkifli Ismail, sahabat saya dari Kajang menghantar SMS, “Kang, kalau tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, ramai menteri bersuara, tetapi di kawasan miskin seperti Kampung Pasir hampir tidak ada yang bersuara.”
Maka, sejarah berulang lagi. Selepas tragedi Highland Tower, kerajaan dengan tegas melarang pembinaan di lereng atau cerun bukit. Tak lama, hanya 6 bulan kemudian, larangan tersebut ditarik balik. Mengapa? Semuanya kerana wang dan politik.
Semasa tragedi Highland Tower, gegak-gempita, berdegar-degar, riuh rendahnya amatlah lantang kedengaran seluruh alam. Kebanyakannya adalah bertujuan untuk publisiti menunjukkan kepada umum betapa prihatinnya dan serba tahunya mereka. Tak lama kemudian, ia sepi dan dilupakan. Jika anda perhatikan, semakin lama semakin singkat tempoh melupakan itu. Kalau tragedi Highland Tower, gegak-gempitanya agak lama iaitu lebih kurang sebulan, tetapi kita perhatikan tragedi Bukit Antarabangsa ini hanya bertahan lebih kurang seminggu sahaja. Lepas seminggu ia akan dilupakan kecuali oleh yang mengalaminya. Kita bahkan sudah lupa dengan tragedi rumah ranap, dua mati beradik tertimbus di Ulu Yam, pada 30 November 2008.
Tidak ramai yang masih ingat kepada pesanan Mufti Selangor Allahyarham Dato’ Ishak Baharum semasa tragedi Highland Tower tersebut, “Gunung-ganang, bukit-bukau adalah pasak bumi ini. Jangan diusik pasak bumi.” Maksud jangan diusik ialah jangan sekali-kali menebang pokok-pokok di gunung dan bukit, kerana akar pokok menguatkan lagi struktur tanah. Pokok-pokok adalah penguat struktur. Namun sejak tragedi Highland Tower, lebih banyak pokok di bukit dan gunung yang ditebang berbanding yang ditanam.
Selagi kita enggan belajar dan melaksanakan mesej di sebalik kejadian, keruntuhan, termasuk keruntuhan diri, keluarga, akan kekal berlaku di mana, berulang-ulang.