Razzi Armansur

Zubli Zainordin: Yang terbaik masih belum diteroka

Minggu ini, seperti ada kebetulan yang terjadi. Sedang berkemas buku, terpandang buku lama yang dihadiahkan oleh sahabat lama, Jaffri Md Yatim, Pengurus Galeri Ilmu, syarikat penerbitan buku dan majalah sekitar pertengahan 90-an. Tidak tahu di mana beliau kini. Seakan terpancar tentang majalah setelah melihat buku tersebut. Majalah itu juga pemberian seorang Jutawan MLM Zhulian, Sheikh Ibrahim.

(Photo)
Buku karya Zubli Zainordin “Rahsia Menjadi Insan Bahagia” yang diterbitkan pada tahun 1994 dan artikel dalam majalah Zhulian keluaran Oktober — Disember 1995.

Buku itu berjudul “Rahsia Menjadi Insan Bahagia” karya Zubli Zainordin, seorang penceramah terkenal sekitar tahun tersebut.

Begitu permulaannya. Kembali kepada tahun lepas, Rozita Abd Razak Editor Pengurusan PTS, forward e-mel dan e-mel Zubli tertera di situ. Kemudian Zubli meng-emel saya bertanya khabar.

Saya memang lupa. Seakan pernah mendengar nama itu. Saya bertanya Rozita kembali, siapakah Zubli Zainordin. Sehari kemudian, saya teringat Jaffri Md Yatim. Ingatan itu berkait pula dengan buku. Buku pula berkait dengan Zubli kerana Galeri Ilmu juga penerbit pertama buku MEMBINA MASA DEPAN MELALUI MLM dan GALERI MLM.

Makin jelas makin dekat dengan Zubli Zainordin. Dalam pada itu tertanya-tanya sesuatu yang negatif kepada diri sendiri, “Mengapa jadi pelupa?” Sudah pasti saya akan terus “pelupa” kerana perkataan yang di hujung itulah yang paling diingati dan menjadi fokus. Apa yang di hujung menjadi fokus. “Jangan takut hantu” — apa yang menjadi fokus? “Jauhi Dadah!” — apa yang menjadi fokus, diingati dan dicari-cari?

Mungkinkah terlalu banyak berkecamuk di fikiran, judul baru yang tiba-tiba datang, idea, judul lama dan sebagainya menyebabkan “lupa sementara”? Ada satu lawak pada sekitar tahun 1998 dan ada kaitan dengan otak:

“Seseorang yang otaknya rosak menemui doktor untuk membeli dan memasang otak baru menggantikan otak yang telah rosak.

“Kata doktor, “Yang pertama ini otak jurutera, murah. Yang kedua ini otak arkitek, pun murah. Yang ketiga ini, otak penulis, murah saja. Yang keempat ini mahal sebab otak orang UM*O.”

“Kenapa otak orang UMN* lebih mahal pulak?”

“Sebab elok lagi, tak pernah guna.” Jawab doktor tersebut.

Berbalik kepada Zubli Zainordin. Selang tidak lama kemudian saya terlihat tulisannya di Tranungkite.net dan link di Cari.com.my, dan sudah tentu sesekali terlihat nama beliau di UniversitiPTS.com. Membaca tulisannya di tempat-tempat tersebut, fahamlah, Zubli Zainordin sefikrah dengan saya. Orang dulu kata, “satu kem”. Tepat seperti kata peribahasa, “Burung sejenis terbang bersama.”

Ingatan saya kembali kepada penghujung tahun 90-an, menjelang millenium. Seseorang bertanya kepada saya, “Mana Zubli sekarang?” Sudah tentu saya terkejut kerana saya tidak rapat dengan Zubli. Hanya kenal nama dan melihat 2 buku beliau, “Rahsia Menjadi Insan Bahagia” dan “Lebuhraya Agung Menuju Kekayaan.”

Juga hanya mendengar suara beliau melalui radio, dan melihat wajahnya di TV dalam rancangan perbincangan (saya tak ingat slot apakah ia) dan pernah menelefonnya pada suatu malam. Butir perbualan seperti telah kabur tetapi ada menyebut tentang seruan Azan. Seingat saya Zubli berkata, “Setiap hari kita diseru sebanyak 5 kali dalam sehari, dalam azan mengajak “Marilah menuju kejayaan” (al-Falah) tetapi ramai yang masih tidak mencapai kejayaan.” Seingat saya juga, mulut gatal saya menyampuk, “Mungkin tidak melaksanakan seruan sebelum Falah iaitu Solah. Solah dulu baru Falah.”

Yang terbaik masih belum diteroka. Yang telah diteroka oleh Zubli hanya yang baik-baik belaka tetapi yang mengatasi baik yakni terbaik belum lagi diteroka. Di mana Zubli kini? Semoga beliau meneruskan perjuangannya, memberi sinar kepada seramai mungkin manusia yang memerlukan. Perjuangan tidak boleh berhenti kerana dari baik mesti meningkat kepada terbaik. Selepas itu dari terbaik meningkat lagi menjadi lebih baik dari terbaik. Perjuangan memberi kebaikan kepada manusia yang memerlukan hanya boleh berhenti apabila jantung kita berhenti mengepam darah. Ia belum berakhir selagi belum berakhir. Dan saya yakin Zubli tidak berhenti. Masih meneruskan perjuangan menerusi medium penulisan dan ceramah. UNIVERSITI KEJAYAAN MALAYSIA yang menjadi cita-cita Zubli sudah tentu masih menjadi cita-cita utama beliau dan sedang diusahakan.

Seingat saya, Zubli menjadi “trendsetter” pada masa itu. Beliau yang memulakan 2 perkara penting ini dan selalu disebut melalui ceramahnya, di atas pentas, radio, TV:

1. Takdir: Manusia suka sangat berserah pada takdir. Memang kita wajib percaya dengan takdir. Namun jangan sekali-kali lupa kita juga wajib berusaha. Takdir dengan menyerah adalah dua perkara berbeza. Menyerah kalah dengan mengatakan, “Apa susahnya, kalau dah ditakdirkan kaya, pusing macam mana pun akan kaya juga,” adalah ucapan orang yang merosakkan diri sendiri dan orang yang mendengarnya. Kita hanya tahu takdir yang telah berlalu tetapi takdir masa depan adalah urusan Allah. Takdir di tangan Allah, tadbir di tangan manusia. Bagi membuktikan, selalunya Zubli akan membawa mancis dan kertas diletakkan bersebelahan. Katanya, “Jikalau tidak ada tangan yang memetik mancis ini dan membakar kertas ini, sampai hari kiamat pun kertas yang diletakkan bersebelahan tidak akan terbakar. Sampai hari kiamat pun, mancis tidak akan menyala sendiri dan bergerak sendiri membakar kertas.”

2. Mengampunkan. Teknik sebelum tidur malam mengampunkan semua orang berasal, dimulakan oleh Zubli Zainordin. Beliau menggalinya dari Hadis. Dalam ceramah Zubli menyebut, “Setiap malam sebelum tidur, ampunkanlah, maafkanlah semua orang yang bersalah kepada kita. Kita akan bahagia dan rezeki kita akan meningkat. Bukan itu saja, sesiapa pun yang bersalah dengan kita sama da kesalahan itu baru saja sesaat berlaku, ampunkan serta-merta. Marah dan dendam menghalang kebahagiaan, kejayaan dan rezeki.”

Dua ‘trendsetting’ ini masih kekal berada di udara. Sesekali terdengar penceramah lain menyebut akan dua perkara penting tersebut. Dari mana saya mendengarnya? Dari kawan yang bertanya, “Mana Zubli sekarang?”

Saya ambil sedikit sedutan dari buku RAHSIA MENJADI INSAN BAHAGIA:

  1. Tidak ada pintu menuju bahagia kerana bahagia itulah pintunya
  2. Untuk menjadi bahagia kelak, jadilah bahagia sekarang
  3. Bantulah orang lain menjadi bahagia, kita akan menjadi lebih bahagia

Pernah suatu masa saya terlihat nama Rastom di UniversitiPTS.com. Kerana Rastom nama yang unik, maka ia senang diingat. Di belakang buku ini juga tercatat nama Rastom dari Radio 3, Ipoh. Adakah beliau orang yang sama yang menjadi sahabat Zubli?

Saya percaya, Zubli Zainordin, Pengasas Sains dan Seni Kejayaan Diri yang mula menulis dari tahun 1973 ini akan terus melangkah menjayakan cita-citanya dan harapannya untuk menyebarkan kebaikan demi kebaikan kepada mereka yang memerlukan. Amin.

—-
Sambungan:

Pada petang ini saya menerima e-mel dari Zubli Zainordin. Dia mengirimkan salam ingatan dan kasih sayang kepada anda pengunjung laman web ini. Disertakan juga foto beliau terkini dan jawatan beliau. Masih lagi berjuang dengan buku dan ceramah. Saya siarkan di sini, dengan izin beliau:

(photo)

Zubli Zainordin
COO Chief Operations Officer National Book Development Foundation
Penceramah Akademi Buku Malaysia
Timbalan Ketua Komunikasi bukuonline.org

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.